Oleh Mohd Zamri Shafie
“USTAZ buat banyak program kelas pengajian di masjid, sampai kami tidak larat dengar, meleleh keluar melalui telinga. Imam ini, kalau kita jemput bagi jamuan makan cairlah dia.”
Itulah antara kata-kata sinis yang boleh menggambarkan betapa tugas ahli agama untuk menjalankan kerja dakwah akan ada halangan dan cabaran yang menanti.
Bagaimanapun jika hendak dibandingkan dengan apa yang dihadapi Rasulullah SAW dan sahabat serta nabi terdahulu dalam menyampaikan seruan dakwah dengan kata-kata sinis itu adalah terlalu kecil daripada sudut cabaran dan impaknya. Sekalipun begitu, sesekali ia boleh mencabar kesabaran.
Firman Allah yang bermaksud: “Maka hendaklah engkau (wahai Muhammad) tetap tekun memberi peringatan (dengan ajaran al-Quran yang diturunkan kepadamu, dan janganlah dihiraukan golongan yang ingkar), kerana engkau dengan nikmat Tuhanmu (yang dilimpahkan-Nya kepadamu itu) bukanlah seorang pawang dan bukan pula seorang gila.” (Surah at-Tur, ayat 29)
Ayat itu adalah motivasi berguna bagi penggerak dakwah dalam menongkah arus menyampaikan ajaran Islam.
Walau seberat mana tentangan, berkat kesungguhan Rasulullah SAW, umat akhir zaman dapat merasa nikmat kemanisan iman dan Islam yang dibawa baginda. Perjuangan Baginda menyampaikan misi dakwah adalah perangsang terbaik bagi kita meneruskan kesinambungan usaha itu.
Al-Quran banyak merakamkan kisah dan sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Baginda dicaci, dihina, diberi tentangan sehebatnya, namun Baginda tetap teguh dengan prinsip perjuangannya untuk menegakkan Islam.
Ini ditegaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: “Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (wahai Muhammad), maka katakanlah: Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang yang mengikutku. Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang yang ‘Ummi’ (orang musyrik Arab): Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (agama Islam yang aku bawa itu)?” Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hamba-Nya.” (Surah ali-Imran, ayat 20)
Al-Quran turut merakamkan kisah Nabi Nuh dalam menyampaikan dakwah menyeru kepada mengesakan Allah, namun Baginda menerima pelbagai cemuhan dan penghinaan berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh juga mendustakan (Rasulnya); iaitu mereka mendustakan hamba Kami (Nabi Nuh) serta mereka menuduhnya dengan berkata: Ia seorang gila; dan ia telah diancam (dan dihalang daripada menjalankan dakwah agama).” (Surah al-Qamar, ayat 9)
Tentangan diterima nabi dan pendukung dakwah Islamiah selepas mereka adalah lumrah dalam kehidupan sebagai pencinta agama. Rasulullah SAW sendiri memberi petunjuk kepada kita, bahawa pendakwah perlu mempunyai ciri berikut:
l Berniat dengan ikhlas bagi semua amalan adalah perkara asas dalam agama Islam sama ada perkataan atau perbuatan yang zahir atau batin. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat akan rupa bentuk kamu, tetapi Dia melihat akan niat dan keikhlasan hati kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
l Sifat sabar perlu disuburkan dalam diri sepanjang masa sama ada ketika diulit kesenangan atau kesusahan. Sifat sabar yang bersemadi dalam jiwa boleh memelihara diri daripada suatu ketetapan yang diputuskan oleh akal fikiran atau keputusan lain.
Sabar juga mampu mengawal diri daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan serta mampu mengolah segala suruhan Allah dengan hati tenang, iaitu tidak jemu atau berputus asa menghadapi kesulitan hidup.
Firman Allah yang bermaksud: “Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).” (Surah as-Syura, ayat 43)
l Setiap usaha dakwah perlu ditanam sifat istiqamah atau mempunyai pendirian yang lurus dengan berpegang teguh kepada prinsip berasaskan iman dan takwa. Istiqamah dalam melakukan sesuatu akan menghadirkan keteguhan dalam diri dengan mengharapkan keredaan Allah seperti firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad, ayat 7)
Manusia tidak dapat lari daripada perjuangan dalam meneruskan kelangsungan hidup. Menyeru manusia dengan dakwah Islamiah adalah perjuangan yang memerlukan kesungguhan. Setiap perit jerih pasti mendapat ganjaran besar di sisi Allah.
Oleh Mohd Zamri Shafie, Imam Masjid Jamek Al-Khadijiah, Jalan Pantai Dalam.
Saturday, March 22, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment