Monday, March 17, 2008

Memartabat ketinggian sahsiah, budi pekerti remaja

MANUSIA mempunyai dua fungsi dalam mengharungi kehidupan iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah. Hamba dalam makna mengikut segala titah perintah Allah sementara khalifah berperanan besar menyebarkan syiar kesyumulan Allah.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab memakmur dan mengimarah bumi berlandas hukum-hakam yang sudah termaktub dalam al-Quran dan sunnah Rasul-Nya, setiap individu mempunyai peranan yang perlu dipenuhi setiap masa.

Justeru, salah satu elemen terpenting dalam diri seseorang individu yang perlu dibangunkan terlebih dulu dalam usaha berjihad dan meletakkan Islam pada martabatnya tersendiri ialah pada ketinggian sahsiah dan budi pekerti.

Budi pekerti adalah perilaku yang terserap dalam jiwa seseorang. Daripada perilaku itulah lahirnya tindakan dan tindakan memerlukan kecerdasan kemantapan minda serta fikiran untuk mengawalnya supaya tidak terbabas daripada landasan.

Pepatah Arab ada menyatakan, kecantikan sebenar seseorang itu bukanlah terletak pada rupa paras, bentuk badan dan pakaian. Tetapi kecantikan hakiki ialah pada ketinggian ilmu, keunggulan akhlak dan sahsiah diri yang dimiliki.

Tugas membentuk sahsiah mulia bukanlah sesuatu yang mudah. Ia bermula daripada didikan awal pasangan ibu bapa terhadap anak yang dilahirkan. Menjadi ibu bapa hari ini bukan mudah kerana berhadapan pelbagai cabaran terutama dalam membentuk sahsiah anak.

Peringkat paling sukar ialah peringkat peralihan daripada zaman kanak-kanak kepada remaja apabila anak mula menunjukkan perubahan dalam tingkah laku, pergaulan, minat, pilihan kawan, peningkatan nafsu syahwat serta gaya berpakaian.

Inilah peringkat yang penuh dengan pelbagai pengaruh serta tekanan luar dan kebanyakannya membawa kesan tidak baik yang akhirnya merosakkan akhlak, menyebabkan salah laku dan jenayah di kalangan remaja.

Dengan pembangunan sosioekonomi yang berlaku begitu pesat, ketahanan jati diri mudah tergugat akibat pengaruh pemikiran yang diimport, budaya dan nilai luaran yang mencemari serta menghakis keperibadian berteraskan nilai Islam.

Kemewahan dan kebendaan ekoran daripada kekayaan dinikmati hasil usaha pembangunan ekonomi sedikit demi sedikit mula menghakis dan mencemari pemikiran, nilai dan budaya kita.

Akhirnya ketahanan diri remaja lentur dan pupus mengakibatkan sebahagian daripada mereka terjebak dengan penagihan dadah, aktiviti jenayah, lepak, pengangguran, maksiat dan pelbagai gejala yang kita sentiasa dengar atau baca daripada media elektronik serta cetak.

Patutkah kita meletakkan tanggungjawab segala masalah dan gejala itu ke atas bahu ibu bapa? Mungkinkah ada kuasa lain yang boleh membendung atau mengawal daripada merebaknya penyakit sosial di kalangan masyarakat?

Justeru, pembentukan sahsiah sejak dari awal penting dalam membekalkan remaja dengan benteng pertahanan yang kukuh terutama daripada aspek penerapan nilai murni serta keimanan kepada Allah supaya apabila mereka lalai, akan mudah sedar untuk kembali ke pangkal jalan.

Apa yang berlaku, ibu bapa terlepas pandang atau tidak tahu mengenai teknik menghadapi perubahan anak daripada kanak-kanak yang suka dibelai serta dimanja kepada seorang remaja yang mahu pendirian serta suara mereka didengari.

Tidak dinafikan remaja lebih mudah berinteraksi atau berkomunikasi dengan rakan sebaya tetapi mereka juga bersedia mendengar kata ibu bapa jika diberitahu mengikut cara yang betul. Ia perlu diberi perhatian ibu bapa hari ini kerana remaja sekarang tidak sama dengan remaja dulu.

Di sini pentingnya pembentukan sahsiah sebagai asas yang kuat supaya apa saja godaan atau cabaran mendatang, remaja hari ini dapat menghadapi dengan baik selain mampu menyaring apa juga maklumat termasuk budaya yang menerap masuk ke dunia mereka.

Memandangkan pentingnya pembinaan sahsiah serta jati diri, tumpuan ibu bapa kini menjadi lebih banyak. Selain memikirkan tanggungjawab memenuhi keperluan keluarga daripada aspek material, keselesaan dan pendidikan, ibu bapa juga perlu mempelajari pendekatan mendidik anak dalam dunia semakin mencabar.

Mungkin tiba masanya ibu bapa mencuba menjadi pendengar kepada keinginan anak remaja mereka dan pada masa sama memastikan kehidupan keluarga terus berlandaskan kepada syariat Islam supaya anak mendapat bimbingan menghadapi cabaran dunia serta hitungan di akhirat.

No comments: