Friday, March 21, 2008

Sifat terpuji Nabi teras kecemerlangan

Oleh Hasliza Hassan

EMPAT sifat pada Rasulullah SAW iaitu benar (siddiq), amanah, menyampaikan (tabligh) dan bijaksana (fathonah) yang menghiasi pentas persembahan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1429 Hijrah menjelaskan keperibadian Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah yang membawa rahmat serta nikmat besar kepada seluruh alam.

Pengertian sifat terpuji Rasulullah SAW itu diterjemahkan secara ringkas melalui persembahan menarik tayangan video, lakonan serta nyanyian nasyid yang menjadi acara kemuncak sambutan disaksikan kira-kira 14,000 hadirin yang membanjiri Stadium Putra, Bukit Jalil di ibu negara, semalam.

Sesungguhnya, Rasulullah SAW adalah model terbaik dijadikan ikutan, begitu juga sifat terpuji yang ada pada Baginda sepatutnya dihayati umat Islam dan dijadikan teras kepada usaha membangun ummah gemilang berasaskan ajaran Islam yang jelas.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1429 Hijrah dimulakan dengan perarakan kira-kira 130,000 peserta mewakili 103 kontinjen dari pekarangan Stadium Hoki hingga ke Stadium Putra sambil berselawat memohon kesejahteraan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Majlis dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Sultanah Nur Zahirah. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak serta Menteri Kabinet.

Dalam titahnya pada majlis itu, Seri Paduka mahukan umat Islam mencontohi keunggulan peribadi Rasulullah SAW demi melaksanakan perintah Allah ke arah melahirkan sebuah masyarakat Islam yang unggul serta menjadi contoh teladan kepada dunia.

“Perjuangan Rasulullah SAW berjaya membina kekuatan mental dan fizikal umat Islam sehingga mampu mencipta tamadun gemilang pada mata dunia. Beta yakin dengan panduan kitab suci al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, seluruh umat Islam di Malaysia mampu meneroka bidang sains dan teknologi serta mampu membina kekuatan dan pengaruh di seluruh masyarakat dunia,” titahnya.

Tuanku Mizan bertitah, seluruh umat Islam perlu menyedari bahawa Allah menganugerahkan potensi kecemerlangan dalam setiap diri insan dan umat Islam bertanggungjawab untuk mengembangkan potensi kecemerlangan itu melalui akal yang dikurniakan.

Seri Paduka bertitah, hanya melalui akal cerdas insan mampu meneroka ilmu dan seterusnya berupaya membimbing masyarakat ke arah kegemilangan serta menjadikan budaya kuat bekerja sebagai amalan harian.

Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong turut menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada lima penerima sebagai pengiktirafan kepada mereka yang melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah yang menjurus kepada kepentingan negara dan rakyat.

Mereka ialah pakar bedah jantung pertama negara, Tan Sri Yahya Tun Awang; Senator kurang upaya pertama negara, Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh; pelajar kurang upaya cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat Kebangsaan 2007, Nor Umairah Ahmad Jamhari; wanita Malaysia pertama sampai ke puncak Gunung Everest, Marina Ahmad dan angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.

Mereka menerima hadiah wang tunai RM5,000, plak, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

Sambutan bertemakan Menjana Ummah Gemilang yang mengajak umat Islam melakar kejayaan dalam semua aspek kehidupan berteraskan keimanan dapat disaksikan rakyat seluruh negara melalui siaran secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia.

Tema Menjana Ummah Gemilang memberi isyarat penting kepada rakyat negara ini bahawa pelaksanaan usaha pembangunan umat berlandaskan iman dan ajaran Islam menuntut pembabitan semua pihak.

Berasaskan prinsip itu, masyarakat Muslim akan berjaya melakar jati diri unggul seterusnya membina ketamadunan gemilang dalam sejarah meliputi aspek kekeluargaan, sosial, etika, politik, ekonomi, pendidikan dan kenegaraan.

Bidang pendidikan diberi perhatian serius oleh tamadun Islam kerana hanya individu berilmu, bermaklumat, mempunyai kepakaran efektif akan melahirkan komuniti atau ummah yang gemilang.

Selain menjadi manifestasi kecintaan kepada Rasulullah SAW dan menonjolkan semangat serta syiar Islam, kontinjen yang terbabit dalam perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1429 Hijrah turut diadili bagi menentukan johan dan naib johan berdasarkan kategori.

Enam kategori dipertandingkan iaitu kategori agensi kerajaan, badan berkanun, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT) dan institut latihan dan sekolah. Pemenang menerima plak, sijil dan hadiah iringan.

Johan kategori kementerian dan jabatan kerajaan ialah Jabatan Penjara Malaysia, diikuti Kementerian Penerangan Malaysia.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pula dipilih sebagai johan kategori badan berkanun dan naib johan, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Telekom Malaysia, johan kategori swasta dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) (naib johan).

Kontinjen Al-Falah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia menjadi johan kategori pertubuhan bukan kerajaan dan naib johan, kontinjen Orang Asli Malaysia.

Sementara itu, johan bagi kategori IPT dan institut latihan adalah Institut Kemahiran Mara dan naib johan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bagi kategori sekolah, johan menjadi milik Sekolah Menengah Agama Bandar Tun Razak dan naib johan, Sekolah Agama Hulu Langat.

No comments: