Oleh Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad
SALAH satu penyakit batin atau jiwa yang paling parah kepada seorang Muslim ialah riak. Hal ini berasaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya apa yang paling aku takuti menimpa umatku ialah riak dan keinginan nafsu yang tersembunyi di mana ia lebih tersembunyi daripada seekor semut yang hitam diletakkan di atas batu yang hitam pekat pada malam yang gelita." (Hadis Riwayat Ibn Majah dan al-Hakim)
Demikianlah betapa sulitnya untuk mengawal diri daripada penyakit ini kerana ia tersembunyi dan sukar dikesan. Justeru, ulama Islam sangat memberi perhatian kepada kesan buruk penyakit riak kepada umat Islam.
Riak berasal daripada perkataan Arab, Ru'yah yang bermaksud lihat. Orang yang riak ialah orang yang memperlihatkan amalannya kerana ingin mendapat pujian manusia. Riak boleh berlaku dalam pelbagai bentuk iaitu melalui fizikal, pakaian, perkataan, amalan, ramai kawan dan pengunjung.
Rasulullah SAW pernah ditanya: "Bagaimana untuk mendapat kejayaan? Jawab Baginda SAW: Seorang hamba yang beramal taat kepada Allah jangan beramal kerana mengharapkan sesuatu daripada manusia." (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Sabda Rasulullah SAW lagi yang maksudnya: "Perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah syirik kecil. Sahabat bertanya: Apa dia syirik kecil itu? Sabda Baginda: Allah berkata pada hari kiamat nanti ketika Dia memberi balasan amalan kepada hamba-Nya: Pergilah kamu kepada orang yang kamu tunjukkan amalan kamu di dunia dulu, mintalah balasan amalan kamu daripada mereka." (Hadis riwayat Ahmad dan al-Baihaqi)
Diriwayatkan Saidina Umar pernah ternampak seorang lelaki berjalan membongkokkan badannya, lantas beliau berkata: Hai si bongkok, luruskan badanmu. Khusyuk atau rendah diri itu bukan pada fizikal. Sesungguhnya khusyuk itu di dalam hati."
Abu Umamah al-Bahili ternampak seorang lelaki dalam masjid sedang menangis dalam sujudnya, lalu dia berkata: "Jika kamu lakukan ini di rumah kamu (adalah lebih baik)."
Saidina Ali berkata: "Tanda orang yang riak itu tiga, dia malas jika berada seorang diri, ia rajin apabila di tengah orang ramai dan ia menambah amalan jika dipuji dan mengurangkannya jika sebaliknya.
Keburukan riak tidak terhitung. Apabila seseorang rasa berbeza dalam dirinya jika ia beribadat dilihat orang dan tidak dilihat, itu adalah satu bentuk riak. Cara merawatnya ialah menjauhi terus daripada punca riak iaitu suka kepada kedudukan dan kemegahan.
Seburuk-buruk riak ialah seorang yang beribadat kepada Allah kerana hamba-Nya, bukan mengharapkan keredaan Allah. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Orang yang riak, nanti dipanggil pada hari kiamat di hadapan semua makhluk: Hai penjahat, Hai periak, Hai penipu, amalan kamu sesat, balasannya terhapus, pergilah kamu, mintalah balasannya daripada orang yang kamu beramal kerananya." (Hadis riwayat ibn Abi al-Dunya)
Berdasarkan keterangan di atas, sebagai seorang Muslim kita mestilah menjaga niat dalam setiap kerja amal dilakukan. Jangan sekali-kali terselit rasa kerana selain Allah, nanti di akhirat balasannya tidak akan diberi oleh Allah.
Sedarlah penyakit ini lebih parah daripada segala penyakit fizikal dunia, kerana ia akan merosakkan segala pahala yang diperlukan untuk kebahagiaan hidup kekal abadi di akhirat.
Monday, March 31, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment