Oleh Dr Fariza Md Sham
KONSEP al-hikmah dalam berpolitik sama dengan konsep al-hikmah dalam berdakwah seperti dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad), dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)
Al-hikmah menurut al-Qurtubi ialah ilmu pengetahuan mengenai agama Allah, memahaminya dan mengikutinya. Ibn Hajar menyatakan, al-hikmah ialah segala sesuatu yang menghalang kejahilan dan mencegah daripada kejahatan.
Kesimpulannya, al-hikmah ialah meletakkan sesuatu di tempat benar berdasarkan ilmu yang tepat, benar dan jitu melalui perbuatan, ucapan dan sikap terhadap setiap golongan manusia.
Antara aspek hikmah yang perlu dilaksanakan dalam kempen politik ialah hikmah dalam tindakan atau tingkah laku, hikmah dalam sikap dan hikmah dalam ucapan, percakapan atau kata-kata.
Watson (1919) dalam bukunya Psychology from a Standpoint of a Behaviourist menyatakan tingkah laku adalah aktiviti seseorang yang dapat diamati. Ia adalah sains yang objektif yang bergantung pada data eksperimental dan makna yang dapat diamati.
Psikologi dakwah pula melihat tingkah laku sebagai suatu aktiviti seseorang yang mempunyai motivasi, dorongan dan tujuan tertentu selari dengan perasaan dan kesedaran akal pada satu-satu ketika.
Menurut Syed Qutb dalam bukunya Social Justice in Islam, politik dalam Islam menitikberatkan persefahaman antara pemerintah dengan yang diperintah. Kerjasama dan persefahaman adalah perkara pokok walaupun tidak ditetapkan cara khusus bagaimana pentadbiran negara itu dapat dijalankan.
Nabi Muhammad SAW sering mendapatkan nasihat dan pandangan orang Islam mengenai perkara selain daripada keagamaan. Baginda akan bertanya dengan orang yang lebih tahu dalam soal pentadbiran negara, peperangan dan perhubungan antarabangsa.
Dalam berkempen politik, bagi mendapatkan sokongan ramai, pengamal politik seharusnya bertingkah laku berdasarkan akhlak Islam dan selaras dengan apa yang mereka perkatakan. Dalam Islam tidak ada garis pemisah antara politik dengan etika.
Susunan politik Islam mewajibkan setiap kelakuan individu terutama pengamal politik dan kelakuan pentadbiran negara supaya sentiasa taat kepada kehendak politik Islam. Tindakan yang boleh merosakkan sistem politik dan pilihan raya perlu dielakkan seperti rasuah, politik wang, khianat terhadap negara dan mengeluarkan kenyataan yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
Apabila pengamal politik tidak berhikmah dalam tindakan dan tingkah laku, ini bermakna mereka sudah melanggar etika dalam politik dan melanggar ajaran Islam. Setiap tindakan dan kelakuan mereka seharusnya dalam batas etika Islam supaya ia menjadi contoh kepada pengikutnya.
Kejayaan Rasulullah SAW dalam penyebaran dakwah Islamiah adalah disebabkan tingkah laku mulia dan akhlak yang dimiliki Baginda.
Oleh kerana sikap mempengaruhi tingkah laku, pengamal politik sewajarnya berhikmah dalam sikap mereka, terutama apabila berhadapan dengan musuh politik. Kita boleh mengambil contoh sikap Nabi dan sahabat ketika berhadapan penentang dakwah.
Mereka sentiasa bersikap lemah lembut, berilmu dan berhemah. Sikap secara hikmah ini dijelaskan al-Quran ketika merujuk kepada pendirian Nabi Ibrahim terhadap ayahnya, kaumnya yang kufur dan sikap beliau terhadap pemerintah, Raja Namrud.
Manakala sikap Rasulullah SAW ialah berhikmah dengan kesabaran. Di Makkah, Rasulullah SAW sentiasa menghadapi kata-kata celaan, kejian, penghinaan, penganiayaan dan penyeksaan yang dilakukan orang Quraisy kepada para sahabat dan pengikut yang beriman.
Tetapi Rasulullah SAW dan sahabat sentiasa bersikap dengan kesabaran. Oleh itu, sebagai seorang Muslim, kita hendaklah bersikap dengan hikmah terhadap apa saja tentangan yang dihadapi. Pengamal politik ketika berkempen hendaklah mempamerkan kecintaan kepada Islam dan bukan mencari musuh dengan mana-mana pihak, walaupun musuh politik.
Pepatah Melayu ada menyatakan terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata tidak boleh ditarik balik. Dengan kata-kata orang boleh berpecah-belah dan berperang. Begitulah gambaran yang menunjukkan percakapan dan kata-kata amat berkesan kepada jiwa manusia.
Itulah sebabnya kebolehan berucap atau berpidato adalah kelebihan yang ada pada seseorang. Dengan kebolehan itu dia dapat mempengaruhi khalayak ramai untuk menyokong dirinya atau partinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment