Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali
IBN Manzur dalam kitabnya Lisan al-'Arab, menjelaskan makna pemikiran ialah pemakaian nalar atau lintasan hati terhadap sesuatu. Ini bererti pemikiran adalah aktiviti intelektual yang diungkapkan dengan kata-kata.
Ia adalah kaedah dilalui akal untuk mencapai ilmu pengetahuan atau cara digunakan oleh umat Islam untuk berfikir. Istilah pemikiran Islam bermaksud setiap hasil pemikiran umat Islam mencakup pengetahuan yang berhubung dengan Allah, alam dan manusia.
Ia adalah ijtihad akal manusia dalam menafsirkan pengetahuan umum menurut prinsip akidah, syariah dan akhlak Islam. Dengan itu, meskipun sesuatu pemikiran itu terbit daripada orang Islam tetapi bukan bersumberkan kefahaman kepada al-Quran dan al-Sunnah, tidak boleh dianggap pemikiran Islam.
Adalah tidak logik memberikan sifat Islam kepada pemikiran yang asing daripada sumber Islam. Menurut Irfan Abdul Hamid Fatah, pemikiran Islam boleh diistilahkan sebagai sesuatu yang sentiasa berkembang, satu gerakan benar-benar hidup, satu kesinambungan penuh dinamik, ia tidak mampu hidup dalam ruang yang tertutup.
Hasan al-Turabi menyebutkan tiga kelemahan pemikiran Islam masa kini iaitu pemikiran Islam yang tidak berteraskan kepada wahyu dan sunnah.
Ada tiga masalah pemikiran Islam yang melanda umat Islam kini. Pertama, banyaknya persoalan cabang dalam fiqh yang tidak lagi memerlukan penjelasan seperti hukum bersuci dan wuduk sedangkan perkara fiqh muamalat, ekonomi dan politik Islam tidak dapat ditangani dan dijelaskan dengan baik dalam konteks semasa.
Kedua, pemikiran Islam terpisah daripada ilmu pengetahuan rasional dan ketiga, pemikiran Islam tidak mampu menyesuaikan diri dengan realiti kehidupan manusia dan hanya menjadi pemikiran semata-mata.
Oleh itu pemikiran Islam perlu kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah yang sesuai dengan tradisi, interaksi ilmu agama dengan ilmu rasional seperti ekonomi, kemanusiaan atau ilmu fizik dan mengaitkan pemikiran Islam dengan realiti.
Pemikiran Islam dinamik ialah pemikiran yang mengatakan bahawa urusan dunia dan kemanusiaan perlu ditangani menurut perkembangan semasa kerana sesuatu yang diputuskan dulu tidak semestinya sesuai dengan zaman sekarang.
Tetapi yang menjadi masalah kini kebanyakan umat Islam melihat pemikiran dan ijtihad itu sebagai perkara agama dan wahyu yang maksum. Pembinaan pemikiran Islam hendaklah tetap dengan tasawur Islam sebenar untuk alam dan kehidupan manusia.
Tasawur itu berteraskan kepada tauhid berdasarkan kepada kitab Allah SWT dan sunnah, untuk alam dan undang-undang kewujudan serta mencapai syarat penguasaan dan khalifah di atas muka bumi.
Pemikiran Islam sebenar ialah pemikiran yang dapat mempraktikkan nilai wahyu dalam realiti, yang mampu melakar dan membina manhaj wahyu dalam realiti kehidupan manusia. Pada masa sama umat Islam harus mempunyai kajian untuk menangani strategi menghadapi globalisasi dunia Barat.
Muhammad Imarah melihat pemikiran Islam masa kini ada pembaharuan, pembaratan, penjernihan dan pemalsuan. Ini menunjukkan ada krisis pemikiran di kalangan umat Islam yang semakin parah pada pertengahan abad ke-18 masihi apabila seluruh dunia Islam menjadi sasaran terbuka bagi pemikiran Barat dengan tingkat yang berbeza.
Generasi Islam berhadapan serangan pemikiran Barat dan pemikiran Islam satu persatu lenyap serta kebekuan. Beliau membahagikan pemikiran Islam masa kini tiga bahagian utama:
l Orientasi konservatif yang membeku dalam budaya taklid. Aliran ini hanya berpegang kepada nas semata-mata, terpisah daripada konteks persekitaran dan terputus daripada maqasid al-shari'ah. Termasuk dalam kategori ini tarikat sufi dan institusi pengajian tradisional.
l Orientasi modenis-sekularis yang ingin melakukan perubahan dengan barat sebagai model. Mereka bergantung kepada metodologi barat dan sekular dalam membangunkan ketamadunan. Mereka hanya melihat kepada kebendaan dan realiti dunia yang nampak saja tanpa melihat kepada yang ghaib. Mereka juga menjadikan akal serta pengalaman sebagai sumber ilmu tanpa wahyu dan emosi.
l Orientasi Islahi-tajdidi yang berusaha memecah kebekuan taklid. Orientasi ini tercetus dorongan dalaman iaitu semangat tajdid dan cabaran luaran iaitu modenisme barat. Mereka ini seperti Jamaludin al-Afghani Muhammad Abduh, Rashid Rida dan Hassan al-Banna. Orientasi ini memberi impak kepada politik, dakwah dan pendidikan.
Pemikiran Islam adalah ijtihad dan pandangan yang dikemukakan dalam isu berkaitan keislaman yang berdasarkan sumber muktabar dalam Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Kedua-dua sumber itu membimbing akal manusia untuk membangunkan manusia serta alam ini.
Penulis ialah Felo bidang Pemikiran Islam di Future Global Network
Thursday, March 27, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment