Oleh Hasliza Hassan
Pelakon sinetron pegang prinsip setiap manusia diseru saling mengingati
PESANAN Rasulullah SAW kepada umatnya, "Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat." Justeru, tidak perlu menanti hingga bergelar ustazah barulah hendak mengajar atau membimbing masyarakat ke jalan yang diredai Allah SWT.
Itulah prinsip dipegang pelakon sinetron Indonesia, Inneke Koesherawati, 32, yang menjadikan bakat kurniaan Allah SWT dalam bidang lakonan sebagai landasan menyebarkan syiar Islam melalui drama berunsur keagamaan dan kemasyarakatan.
Katanya, soal sudah bersedia atau belum untuk memulakan misi sebagai pendakwah tidak timbul kerana setiap manusia diseru supaya saling ingat mengingatkan dan nasihat menasihati kerana fitrah insan itu mereka mudah lupa.
"Pesanan itu bukan ditujukan untuk golongan tertentu atau ulama saja tetapi semua umat Islam. Oleh itu, selagi boleh kita perlu sampaikan mengikut cara yang kita mampu," katanya ketika pertemuan pada majlis pelancaran program sempena sambutan Maulidur Rasul Astro Oasis, baru-baru ini.
Beliau yang lebih dikenali melalui watak Ibu Arini dalam drama bersiri Mutiara Hati tidak menafikan populariti sebagai pelakon akan memudahkan lagi usahanya untuk berdakwah dan meluaskan kelompok golongan yang ingin didekati.
Malah, kata pelakon utama drama bersiri Isteri Buat Suamiku yang masih ditayangkan di stesen televisyen tempatan, keizinan suami, Fahmi Darmawansyah, untuk terus berlakon juga adalah faktor yang mendorongnya meneruskan jihad berjuang mencari kesejahteraan kehidupan di akhirat.
Inneke berkata, walaupun berhadapan dugaan tatkala mengambil keputusan untuk mematuhi syariat Islam yang mewajibkan wanita menutup aurat, hatinya pasrah dan menyerahkan masa depan kerjaya sebagai pelakon kepada ketentuan Allah SWT.
Mengimbas sejarah permulaan perubahan perjalanan hidupnya, wanita kelahiran kota Jakarta itu berkata, semuanya terjadi apabila hatinya tiba-tiba tertarik untuk mendengar ceramah agama yang disiarkan di televisyen.
Sedangkan sebelum itu, ceramah agama pasti membuatkan matanya mengantuk tidak seperti menonton program gosip atau hiburan yang tidak pernah membosankan.
"Tidak tahu kenapa tiba-tiba saya senang menonton dan mendengar ceramah. Apabila kerap mendengar ceramah hati mula lembut untuk membuka al-Quran dan membacanya. Tapi baca saja dan tidak faham. Kemudian saya baca terjemahan al-Quran.
"Daripada itu saya sedar betapa banyaknya perintah Allah SWT dalam al-Quran yang tidak dituruti. Saya mula dengan solat. Dulu pun solat juga tetapi sehari solat, tiga bulan tidak. Sebulan solat, lima tahun tidak solat," katanya mengenang kembali kehidupan silam yang pernah dilalui.
Begitu juga dengan keputusan menutup aurat yang diperintahkan Allah SWT, juga kesan daripada pembacaan surah an-Nur dan al-Ahzab yang banyak menceritakan mengenai kewajipan wanita menutup auratnya.
Inneke berkata, jika itu adalah perintah Allah SWT, pastinya ada kebaikan di sebalik diwajibkan suruhan itu dan sebagai hamba-Nya, beliau cuba berbuat yang sebaiknya serta beristiqamah dengan ketentuan bakal dilalui selepas itu.
Bagaimanapun katanya, nikmat hidayah yang diberikan itu datang bersama dugaan kerana untuk mengekalkan perubahan dibuat lebih sukar berbanding membuat keputusan mengenakan tudung demi memenuhi tuntutan agama.
Ketika bertekad untuk tampil bertudung, beliau berhadapan dilema kerana gagal memujuk pihak produksi membenarkannya meneruskan penggambaran 52 episod drama dengan imej baru memandangkan watak yang dibawa, bukan watak wanita bertudung.
Tambahan, 10 episod sudah disiapkan dan untuk merombak skrip adalah sesuatu yang mustahil. Justeru, yakin dengan hikmah di sebalik apa yang berlaku, beliau tetap menyelesaikan penggambaran drama Jangan Ada Dusta, lakonan terakhir tanpa bertudung. Tetapi hanya di lokasi beliau tidak memakai tudung, pada waktu lainnya batas aurat cuba dijaga rapi.
Sebaik selesai penggambaran pada 2000, Inneke tampil dengan imej baru dan bermulalah perjuangan beliau menentang cubaan serta pujukan yang datang daripada tawaran berlakon yang mengenakan syarat supaya beliau membuka kain menutup mahkota wanita itu.
"Sememangnya penghijrahan ini tidak semudah disangka kerana godaan syaitan itu sangat luar biasa. Tawaran berlakon datang dengan imbuhan lumayan. Tidak kurang menetapkan syarat lima babak tidak pakai tudung dan selebihnya boleh kerana watak saya sebagai pesakit kanser.
"Saya beritahu, saya pakai tudung kerana kehendak hati, bukan kerana saya menghidap penyakit kanser. Saya berdoa kepada Allah SWT, jika benar dunia lakonan ini bukan untuk saya, saya rela berundur. Siapa sangka, selepas itu banyak tawaran datang," katanya.
Katanya, reaksi peminat juga berbeza kerana ada yang senang dengan imej barunya dan tidak kurang berterus terang mengakui lebih menyukai beliau di zaman jahiliahnya. Apa pun, yang penting ialah memilih keputusan terbaik bagi diri seterusnya menyesuaikan hidup dengan aturan agama kerana matlamatnya kini adalah untuk berdakwah.
Inneke berkata, pemilihan beliau sebagai Ikon Astro Oasis Indonesia dilihat sebagai pemudah cara yang memungkinkan beliau bergiat lebih aktif menyampaikan syiar Islam kepada khalayak lebih luas melalui program yang ditayangkan saluran televisyen swasta itu.
Tidak menyangkal ramai mengharapkan seorang ikon memiliki sifat yang sempurna dari semua segi terutama tingkah laku kerana menjadi perhatian umum, namun ia bukan tekanan baginya yang menetapkan untuk melakukan sesuatu selangkah demi selangkah.
Malah, beliau masih melalui proses memperbaiki dan mempertingkatkan diri mendalami serta mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan harian. Pada masa sama, meneruskan kerjaya bidang lakonan yang menjadi minatnya.
Cuma, nawaitu itu mungkin berbeza kerana lakonan kini bukan untuk mencari populariti tetapi mempopularkan syiar Islam melalui penerbitan drama dan lagu yang mempunyai unsur mengajak penonton serta pendengar ke jalan mencari keredaan Allah.
"Saya tidak menafikan populariti memudahkan usaha untuk berdakwah. Rasanya tidak salah saya menggunakan populariti yang ada untuk tujuan memberi ingatan kepada penonton melalui watak yang dilakonkan.
"Jika watak Ibu Arini mampu membawa perubahan yang positif kepada wanita, isteri serta kanak-kanak yang menonton, saya bersyukur. Apa yang kita lakukan membawa kesan baik, ia adalah tabungan amal buat kita," katanya.
Katanya, kegembiraan baginya ialah jika sumbangan kecil diberikan walau sekadar melakonkan watak dalam kisah drama berjaya menimbulkan kesedaran yang akhirnya mendorong seseorang itu menjadi umat Islam lebih baik.
Menurut Inneke, hidayah Allah SWT datang dalam pelbagai bentuk dan cara, yang penting ialah bagaimana seseorang itu merebut peluang yang diberi dan memanfaatkannya untuk kebaikan dirinya serta orang lain.
"Saya terharu menerima sepucuk surat daripada peminat memberitahu bahawa dia mengambil keputusan untuk memakai tudung selepas terbaca kisah hidup saya. Kita tidak tahu apa yang mampu kita hasilkan tetapi kita perlu mula melakukan kerja menyebarkan syiar," katanya.
PERSONALITI
Nama: Inneke Koesherawati.
Tarikh lahir: 13 Disember 1975.
Tempat lahir: Jakarta, Indonesia.
Kerjaya: Pelakon, produser.
Suami: Fahmi Darmawansyah.
Anak: Muhammad Rahlil Ibrahim
Thursday, March 27, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment