Wednesday, March 26, 2008

Peguam Syarie Menulis: Kerajaan dipilih perlu terus semarak ajaran Islam

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

TANGGAL 8 Mac 2008 akan terpahat dalam sejarah kenegaraan Malaysia. Rakyat Malaysia sudah membuat pilihan melalui Pilihan Raya Umum Ke-12. Walau apapun keputusannya, keputusan rakyat perlu dihormati.

Inilah kehendak rakyat walaupun ia diratapi sebahagian pemimpin dan dialu-alukan oleh sebahagian yang lain. Hari-hari seterusnya pula sentiasa dinantikan rakyat kerana mereka ingin tahu siapakah akan dilantik menerajui kepemimpinan pada peringkat Pusat dan negeri.

Jemaah menteri pada peringkat Pusat sudah diumumkan. Di sesetengah negeri pula kita terkejut dengan pemilihan Menteri Besar kerana tidak mengikuti amalan konvensional yang diamalkan selama ini.

Sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersikap non partisan dan tidak memihak kepada politik kepartian, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) terpanggil untuk mengupas isu politik negara berkisar kepada sifat pemimpin yang dipilih serta kebertanggungjawaban mereka terhadap Islam.

Setiap pemimpin dipilih hendaklah berbalik kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagai pegangan mereka. Terkeluar daripada landasan Islam hanya akan meminggirkan pemimpin daripada arus perdana.

Pemimpin yang adil juga amat ditunggu oleh rakyat. Keadilan mesti dilakukan kepada rakyat dan pemimpin itu sendiri. Nilai dan kehendak Islam hendaklah sentiasa dititikberatkan dalam pentadbiran kerana Islam menjadi paksi kepada kekuatan negara seperti yang tersurat dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Begitu juga Undang-Undang Tubuh di kebanyakan negeri yang menjelaskan perkara sama.

Kesempatan mengendalikan Kursus Acara Mal untuk Pendakwa Syarie, Pegawai Mahkamah Syariah dan Jabatan Agama anjuran Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei Darussalam selama tiga hari di Bandar Seri Begawan, saya terkesan apabila dimaklumkan keseluruhan Brunei bebas arak.

Ini bermakna tiada arak dijual di seluruh negara kesultanan Melayu itu. Saya dapat berasakan keamanan sebenar di sana. Tidak berasa jijik terhadap orang mabuk kerana tiada orang yang mabuk di sana.

Malah, sebuah hotel bertaraf enam bintang yang saya lawati juga tidak menjual arak. Saya begitu teruja dengan keadaan itu yang selama ini saya hanya membayangkan bahawa tanpa arak sesebuah hotel tidak akan maju.

Hotel yang saya maksudkan masih dikunjungi rakyat asing termasuk pelancong dari Barat. Pelancong dari luar bukan datang ke situ semata-mata untuk minum arak yang sudah tentunya memang mudah didapati di negara asal mereka.

Apa yang mereka cari ialah kelainan daripada apa yang ada di negara mereka seperti keramahan rakyat, perpaduan, adat resam dan mungkin mereka boleh belajar mengenai Islam daripada kerana di tempat asal mereka Islam sering dimomok dan disalah tafsir oleh golongan tertentu.

Brunei adalah tamsil yang baik boleh kita ikuti kerana pemimpin negara itu menyuntik Islam dalam pentadbiran mereka dan pada masa sama tidak menolak kemajuan. Begitu juga kontroversi bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah yang sering melanda negara kita dapat diselesaikan dengan baik di Brunei.

Umpamanya dalam hal ehwal undang-undang keluarga Brunei, Bab 5 Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam) 1999 menyatakan, peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam terpakai dalam sebarang hal di mana sekurang-kurangnya satu pihak menganut agama Islam dan sekurang-kurangnya salah satu pihak, sama ada atau tidak dia menganut agama Islam, bermukim atau bermastautin di negara itu, tetapi bermukim di luar negara.

Tiada mahkamah selain daripada Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mendengar atau memutuskan apa-apa tuntutan atau prosiding di mana sekurang-kurangnya salah satu pihak menganut agama Islam dan berkaitan dengan apa-apa perkara berbangkit dalam undang-undang keluarga itu.

Rakyat bukan Islam di Brunei tidak membantah pengenaan undang-undang ini ke atas mereka kerana mereka tahu ia bukan bertujuan untuk menukar kepercayaan agama mereka kepada Islam. Malah, mereka juga sedar undang-undang Islam menawarkan penawar lebih baik kepada pihak yang bertikai berbanding undang-undang sivil.

Saya juga dimaklumkan peserta kursus bahawa seorang ahli perniagaan Brunei yang tidak beragama Islam ketika membuat upacara perasmian gedung beli-belah menjemput orang Islam berzikir dan berselawat ketika upacara itu. Alangkah harmoninya keadaan sebegini.

Rahsia kejayaan Brunei ini mesti dirungkaikan supaya Malaysia dapat mempelajari kejayaan Brunei dalam aspek ini. Pemimpin Malaysia yang dipilih perlu ikhlas mendengar suara rakyat dan memastikan kehendak rakyat dipenuhi dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang meletak tinggi kedudukan Islam.

Islam tidak sama dengan kedudukan agama lain, namun itu tidak bermakna penganut agama lain disekat daripada menganut atau mengamalkan agama mereka. Menjadi tanggungjawab pemimpin dan rakyat Malaysia untuk membetulkan persepsi salah orang bukan Islam terhadap Islam.

Kita harus menongkah arus Islamphobia yang digelombangkan sebahagian masyarakat dan pemimpin Barat.

Kedudukan Islam dijelaskan Mohd Noor Abdullah dalam penghakiman beliau dalam kes Meor Atiqulrahman Ishak lawan Fatimah Sihi. Dalam penghakimannya beliau menyatakan: “Peruntukan Islam adalah agama bagi Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.”

Bermakna Islam adalah agama utama di antara agama lain yang dianuti di negara ini. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran.

Ini bermakna kerajaan bertanggungjawab memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam seperti yang termampu dilakukan kerajaan sekarang, dan agama lain hendaklah diatur suai dan dituju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman, damai dan tidak menggugat kedudukan utama agama Islam.

Dengan kedudukan penghakiman yang tidak pernah dilawan mahkamah atasan, jika umat Islam berjaya menzahirkan kecantikan dan keindahan Islam, tidak mustahil orang bukan Islam akan dapat menilainya dan menerima kebaikan Islam seperti Yahudi dan Nasrani bernaung di bawah kerajaan Islam pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat.

Tanggungjawab yang kita galas ini semakin hari semakin berat. Janganlah tunggu sehingga kudrat kita sudah tidak berdaya menanggungnya, barulah hendak berbuat sesuatu. Sama-samalah kita kembali kepada kegemilangan Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

No comments: