Wednesday, March 19, 2008

Konsep Islam Hadhari terus diperkasa

Oleh Hasliza Hassan

Menteri ikrar laksana agenda pembangunan ummah, berlandas pendekatan universal

PERJUANGAN menegakkan Islam melalui pendekatan Islam Hadhari pastinya akan terus dilakukan secara lebih bijaksana oleh barisan kepemimpinan baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bagi mengangkat kedudukan sedia ada kepada tahap yang lebih baik.

Justeru, perlantikan mereka yang benar-benar memahami matlamat pendekatan Islam Hadhari yang menekankan aspek pembangunan menjurus kepada pembinaan peradaban melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta fizikal akan memudahkan usaha itu.

Pelantikan bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menerajui bahagian hal ehwal Islam dilihat sebagai langkah memperkasakan usaha mencapai 10 prinsip Islam Hadhari itu.

Begitu juga dengan kehadiran bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dengan pengalamannya akan memudahkan lagi usaha berkenaan.

Mengulas mengenai pelantikannya, Ahmad Zahid yang dihubungi Berita Harian semalam secara jujur mengakui tidak tahu sebab utama Perdana Menteri memilih beliau sebagai Menteri yang akan menjaga hal ehwal Islam.

Bagaimanapun katanya, andaian yang boleh dibuat ialah beliau sememangnya mempunyai pengetahuan serta terbabit secara meluas dalam kegiatan memberi kefahaman mengenai Islam Hadhari yang diperkenalkan sejak empat tahun lalu.

"Mungkin atas dasar itu, Perdana Menteri memberi kepercayaan kepada saya dan saya bersyukur kerana yakin apa yang berlaku ini pasti ada hikmahnya. Saya akan teruskan apa yang sudah dilaksanakan mengikut garis panduan yang akan diberi Perdana Menteri nanti," katanya.

Beliau akan menemui Perdana Menteri untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai garis panduan serta pendekatan yang bakal dilaksanakan bagi membolehkan rakyat bukan saja memahami malah menghayati manhaj Islam Hadhari.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Dewan Amal Islam Hadhari berkata, pembabitan secara langsung sebagai Timbalan Pengerusi Sekretariat Islam Hadhari turut memberi kelebihan kepada beliau untuk melaksanakan agenda pembangunan negara dan ummah berlandaskan pendekatan Islam yang universal.

Beliau berkata, pelaksanaan dan hala tuju Islam Hadhari akan diselaraskan dengan usaha penerangan memandangkan masih ada kekeliruan atau kekeliruan kerana putar belit pihak tertentu yang menganggap Islam Hadhari sebagai ajaran Islam yang baru.

"Anggapan bahawa Islam Hadhari sebagai ajaran atau mazhab baru masih wujud dan kita perlu perbetulkan anggapan ini dan memberitahu ia adalah usaha kerajaan untuk mengembalikan umat Islam kepada ajaran Islam sebenar menurut al-Quran dan al-Sunnah.

"Islam Hadhari adalah satu pendekatan anjakan paradigma untuk mengubah persepsi ummah terhadap ajaran Islam tanpa mengurangkan prinsip akidah dan syariah. Perkara yang ingin diperbetulkan ialah mengenai cara umat Islam memahami dan mengamalkan ajarannya," katanya.

Dalam hubungan itu beliau memerlukan sokongan semua pihak termasuk badan Islam serta mereka yang mahukan Islam direalisasikan sebagai ad-din atau cara hidup meliputi semua aspek kehidupan rakyat di negara ini.

Sementara itu, Dr Mashitah berkata beliau bersyukur dengan keyakinan yang diberi Perdana Menteri untuk mengendalikan perkara berkaitan hal ehwal agama.

Katanya, walaupun pengagihan tugas belum dijelaskan tetapi berdasarkan kenyataan Perdana Menteri yang yakin dengan kemampuannya mengendalikan hal berkaitan agama, beliau menjangkakan akan membantu Menteri yang menjaga hal ehwal Islam.

Beliau akan menggunakan pendekatan profesional untuk memastikan prinsip Islam Hadhari benar-benar dapat difahami semua lapisan masyarakat seterusnya dilaksanakan dengan berkesan.

"Langkah pertama yang akan diambil ialah mengumpulkan semua profesional dalam bidang agama yang berminat memberi kerjasama untuk mendapat nasihat bagaimana usaha itu dapat dilakukan dengan lebih berkesan," katanya.

Sementara itu, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, melahirkan keyakinan terhadap calon yang dipilih Perdana Menteri untuk meneruskan kelangsungan usaha memastikan visi serta misi pendekatan Islam Hadhari dapat dicapai.

INFO

Prinsip Islam Hadhari

Keimanan dan ketakwaan kepada Allah

Kerajaan yang adil dan beramanah

Rakyat berjiwa merdeka

Penguasaan ilmu pengetahuan

Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif

Kehidupan berkualiti

Pembelaan hak kumpulan minoriti

Keutuhan budaya dan moral

Pemuliharaan alam semula jadi

Kekuatan pertahanan

No comments: