Oleh Hasliza Hassan
SERUAN SUCI: Izelan berjaya membawa Astro Oasis sebagai saluran dakwah yang tidak menjemukan.
Izelan buktikan program agama sentiasa mendapat tempat di hati penonton
"HIDUP ini seperti sekotak coklat. Kita tidak akan tahu apa yang kita bakal dapat." Itu kata Tom Hanks dalam filem Forest Gump.
Lain pula bagi Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, "Program agama ibarat coklat yang asalnya daripada koko dan rasanya semua sama. Yang membezakan ialah bahan tambahan seperti kacang atau kismis dan cara pembungkusan. Coklat yang mahal, kotaknya cantik dan menarik."
Justeru, katanya, jika inginkan program agama yang dapat menarik perhatian penonton, ia perlu dipersembahkan dengan kreatif, menepati cita rasa penonton dan penting sekali, mesej disampaikan dapat menyentuh hati yang mendengarnya.
Alasan beliau, ajaran Islam yang disampaikan Rasulullah SAW kepada umatnya tidak berubah sejak dulu hingga kini. Cuma, cara penyampaian berbeza mengikut waktu serta perubahan yang dilalui manusia seperti hari ini.
"Ajaran Islam tidak berubah, tetapi penyampaian serta persembahan ilmu itu yang membezakan. Begitu juga dengan program agama yang disiarkan di televisyen, menyampaikan maklumat yang sama, tetapi melalui konsep serta pendekatan berbeza.
"Buat masa ini, program yang disiarkan melalui saluran Oasis berada di landasan yang betul berdasarkan penerimaan orang ramai. Saya bersyukur kepada Allah kerana tidak sangka Oasis mendapat sambutan memberangsangkan," katanya.
Mendekati orang kuat saluran Oasis yang ditemui di pejabatnya di Wisma Penyayang, Sri Kembangan, kesimpulan boleh dibuat ialah beliau suka dengan tugas yang dilakukan daripada nada suaranya yang begitu bersemangat apabila bercerita mengenai program dihidangkan kepada penonton saluran 106 Astro.
Malah, apabila ditanya mengenai pembabitan dengan saluran Oasis yang dilancarkan pada Oktober 2007, anak kelahiran Kuala Lumpur itu tidak putus memanjatkan kesyukuran kerana Allah memberi peluang kepadanya untuk melakukan kerja yang disukai dan diberkati.
Izelan berkata, walaupun sudah lama terbabit dalam dunia penerbitan, beliau berasakan ada sesuatu yang kurang hinggalah tiba satu saat apabila beliau menyampaikan hajatnya kepada Allah supaya ditetapkan dalam bidang yang memang menjadi minatnya dengan mendapat berkat daripada-Nya.
Hendak dijadikan cerita katanya, tidak berapa lama selepas itu beliau mendapat tawaran daripada Astro disampaikan Pengarah Programnya, Zainir Aminullah, mengenai hasrat melancarkan saluran baru khusus untuk program keagamaan.
"Zainir tanya saya minat tak? Saya tanya pula isteri saya. Jawapan isteri saya mudah saja, ada dua kerja yang dapat gaji di dunia dan akhirat iaitu imam dan bilal. Satu lagi, jawatan yang ditawarkan kepada saya," katanya yang akur bahawa ketentuan Allah itu kadang kala tidak disangka.
Berlatar belakang pendidikan dalam jurusan pemasaran, beliau tidak melihat itu sebagai halangan menghasilkan program keagamaan yang bagus sebaliknya pengalaman sedia ada digunakan untuk membantunya memasarkan program agama supaya menjadi sebahagian kehidupan masyarakat.
Katanya, apabila Allah membuka jalan kepadanya untuk berdakwah melalui penghasilan program keagamaan, beliau yakin usaha itu akan dipermudahkan selagi niat serta matlamatnya adalah untuk mengajak masyarakat ke arah mencari keredaan Allah.
Pada masa sama menurut Izelan, proses menghasilkan program menyebarkan Islam dalam pelbagai cara yang memerlukan daya kreativiti menjadi titik mula kepadanya serta kakitangan Oasis lain untuk belajar semula ilmu yang pernah dipelajari dulu secara lebih mendalam.
Katanya, beliau sendiri banyak belajar dan kini mula menyedari betapa mendalamnya maksud surah al-'Alaq yang menyeru manusia supaya banyak membaca yang dikuatkan dengan sabda Rasulullah SAW untuk menimba ilmu hingga ke China.
Selain itu, katanya, beliau akan memastikan apa yang disampaikan kepada penonton Oasis turut diterjemahkan setiap kakitangan melalui perbuatan kerana mereka adalah cermin yang akan membalikkan imej sebenar saluran itu.
"Saya tidak mahu nanti orang kata cakap tidak serupa bikin. Jangan cerita saja tetapi kena dalami sekali ilmu yang disampaikan. Matlamat kita mengajak masyarakat menjadi muslim sejati maka kita perlu melambangkan imej muslim dan muslimah.
"Satu perkara saya sering beritahu kepada staf Oasis, setiap program yang dihasilkan jika terdetik di hati penonton rasa insaf, semua mendapat ganjaran pahala daripada Allah. Malah, mereka juga digalakkan berpuasa setiap Isnin dan Khamis selain sentiasa diingatkan menjaga solat," katanya.
Beliau berkata, melihat kepada perjalanan kerjaya yang berjalan lancar serta kejayaan diraih Oasis menempatkan saluran itu di hati penonton dengan begitu pantas menguatkan lagi semangat beliau memberi yang terbaik kepada masyarakat atas sokongan mereka.
Natijahnya, maka lahirlah program realiti Jemputan Umrah bermula Februari lalu di mana penonton yang mahu menyertai program itu hanya perlu memberi jawapan kreatif kenapa mereka berhajat menunaikan ibadat umrah.
Izelan berkata, program yang ilhamnya datang ketika beliau tersangkut dalam kesesakan lalu lintas adalah tanda terima kasih Oasis untuk membalas perhatian serta maklum balas diberi penonton saluran itu kepada program yang dijadualkan untuk mereka.
Beliau berkata, Jemputan Umrah bukan sekadar hadiah tetapi galakkan secara langsung Oasis untuk umat Islam menunaikan ibadat itu dan pada masa sama mempelajari permasalahan berkaitan umrah secara terperinci.
Begitu juga program seperti Indahnya Iman yang menampilkan selebriti mengalunkan seruan azan, zikir harian yang mendapat reaksi membanggakan daripada penonton dan banyak lagi program lain yang mewarnai saluran berkenaan.
Mengusik perasaan beliau yang begitu teruja tatkala menceritakan mengenai perkembangan Oasis, Izelan mengakui bukan mudah menghasilkan program agama dan cabaran paling besar ialah menangkis persepsi bahawa program agama membosankan.
Bagi beliau, program agama tidak pernah membosankan dan sebagai perantara, tanggungjawab yang dipikul terlalu besar untuk menerbitkan program yang apabila masyarakat menonton, mereka seronok dan mendapat pengajaran.
Beliau berkata, program agama perlu mempunyai standard yang tinggi apatah lagi sekarang ini usaha untuk mendalami Islam bukan saja di kalangan umat Islam sendiri, malah masyarakat antarabangsa turut menunjukkan minat mengenali apa itu Islam.
Katanya, dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam yang sering dijadikan contoh, peluang itu perlu direbut bukan saja stesen televisyen, tetapi juga syarikat penerbitan bagi menghasilkan produk berunsur keagamaan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.
Izelan berkata, saluran Oasis tidak pernah diminta dilabelkan sebagai saluran Islam, tetapi apabila dikaitkan sebegitu, ia adalah pengiktirafan kepada usaha pengurusan mendekati masyarakat dengan menyajikan santapan rohani yang menepati keperluan semasa umat Islam.
Oasis yang bermaksud lembah subur di tengah padang pasir adalah saluran gaya hidup Melayu dengan objektif menjadi cahaya yang membawa mereka keluar daripada gejala sosial yang melanda ke arah kehidupan lebih baik berpandukan ajaran Islam.
Katanya, menjadi hasrat beliau dan ahli keluarga Oasis yang lain supaya lebih ramai menonton program disediakan oleh saluran itu mendapat manfaat yang kemudian dikongsi bersama orang di sekeliling mereka.
"Saya percaya setiap manusia walau macam mana jahat pun dia, dalam tempoh 24 jam akan ada satu saat dalam hati mereka timbul keinsafan. Kepuasan pada saya ialah apabila orang menonton, sedar dan insaf kerana apabila mereka insaf kita tahu mana penghujungnya," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
saya sangat menyokong...actually saya nak tanya, macammana nak dapatkan alamat email atau contact number pihak astro oasis. sebab saya nak bagi beberapa cadangan dan idea.....mohon bantuan..
Post a Comment