Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
HARI ini kita meraikan sambutan Maulidur Rasul sempena mengingati tarikh kelahiran Rasulullah SAW pada 12 Rabiul Awal. Nabi Muhammad SAW adalah manusia agung yang mendapat perlindungan Allah sejak kecil lagi lagi.
Meskipun Arab jahiliah adalah masyarakat yang rosak dan runtuh akhlaknya, Rasulullah tidak pernah melakukan apa yang mereka lakukan. Baginda terkenal sebagai seorang yang jujur, amanah dan tidak pernah berdusta.
Keadaan masyarakat Arab yang tenggelam dalam kesesatan dengan penyembahan berhala, keadaan moral kian parah melalui perjudian, pelacuran, rampasan harta, pembunuhan, minum arak dan segala macam perbuatan keji, menyebabkan hati sucinya menjadi gundah gulana.
Kerana itu, Baginda lebih tenteram memencilkan diri dengan bermunajat kepada Allah di Gua Hira'.
Sejarah Islam mencatatkan salah satu petanda menunjukkan Nabi Muhammad SAW bakal diangkat sebagai Nabi dan Rasul-Nya adalah peristiwa turun wahyu pertama ketika berusia 40 tahun.
Menjelang turunnya wahyu pertama, baginda sering bermimpi melihat cahaya terang bagaikan fajar pagi. Baginda terus melihat keadaan itu sehingga turun wahyu pertama iaitu firman Allah yang bermaksud: "Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhan-Mu yang paling pemurah yang mengajar manusia dengan perantara kala. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah al-Alaq, ayat 1-5)
Nabi Muhammad menerima wahyu berikutnya secara terus menerus selama 23 tahun sehingga pada usia 63 tahun. Wahyu diterima Baginda dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu wahyu yang diturunkan di Makkah (dinamakan ayat Makkiah) dan ayat diturunkan di Madinah (ayat Madaniyyah). Semua wahyu itu disusun kembali oleh Khlaifah Uthman bin Affan.
Jika dilihat jenis wahyu atau ayat yang diturunkan itu, ia dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu ayat yang menyentuh persoalan tugas dan tanggungjawab manusia, persoalan selepas mati dan perkara berkaitan ketuhanan atau akidah.
Menyampaikan ajaran yang tersirat mahupun tersurat melalui wahyu, Baginda menolak sebarang tujuan dan matlamat yang boleh membawa kepada kepentingan peribadi. Bahkan Baginda terpaksa berdepan pelbagai kerenah dan tradisi masyarakat Arab yang sekian lama menjalani hidup jauh terpesong daripada ajaran Islam sebenar.
Baginda dan pengikutnya terpaksa menghadapi pelbagai ancaman, penindasan dan penderitaan dalam usaha menyebarkan dakwah Islam kepada penduduk Makkah yang begitu kuat berpegang kepada ajaran nenek moyang mereka.
Penentangan kuat diterima daripada masyarakat Arab menyebabkan Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya terpaksa mengatur strategi dakwah secara sulit selama tiga tahun. Selepas keadaan berubah, Baginda mengambil keputusan berdakwah secara terang-terangan selama 10 tahun.
Kemasukan mereka yang rapat dengan Baginda ke dalam Islam awalnya tidak begitu menimbulkan suasana tegang memandangkan Islam baru saja ingin berkembang. Wanita pertama memeluk Islam ialah isteri baginda sendiri iaitu Siti Khadijah. Dari golongan kanak-kanak pula ialah Ali bin Abi Talib, manakala orang dewasa pula ialah Abu Bakar as-Siddiq, Zaid bin Harithah, Uthman bin Affan, Zubair Ibnu Awwam, Abdul Rahman bin Auf dan beberapa lagi.
Apabila Baginda mendapat undangan istimewa al-Arqam bin al-Arqam untuk menjadikan rumah beliau sebagai markaz penyebaran syiar dakwah waktu itu, Rasulullah SAW menjadi semakin bersemangat untuk meneruskan usaha sesuai dengan amanah yang datang dari Allah.
Selepas pengikut Baginda semakin bertambah dan bilangan orang awam Makkah yang memeluk Islam semakin ramai, pemimpin kafir Quraisy mula berasa kepentingan mereka terancam dan memulakan penentangan terhadap gerakan Islam.
Penentangan golongan kafir Quraisy bukan semata-mata berdasarkan sentimen keagamaan, tetapi disebabkan faktor lain iaitu:
Aspek aqidah - masyarakat Arab jahiliah tidak dapat menerima kepercayaan tuhan lain dan kewujudan hari kemudian (kiamat). Ia kerana ajaran yang dibawa oleh nenek moyang mereka sejak zaman dulu sudah sebati dalam kehidupan mereka.
Aspek sosial - konflik mula wujud apabila Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa semua manusia adalah sama taraf di sisi Allah, tidak ada yang mempunyai kehebatan tertentu melainkan mereka yang kukuh iman, kuat amalan serta teguh keyakinan serta ketakwaan terhadap Allah.
Aspek ekonomi - penguasaan kepemimpinan kafir Quraisy terhadap perdagangan dan ekonomi Makkah dirasakan mula terancam apabila tiada lagi orang dari luar Makkah yang akan datang berniaga dan berdagang di Makkah. Ini kerana lahir suatu ajaran baru yang mengancam berhala mereka di sekeliling Kaabah.
Ajaran Nabi SAW walaupun terus diancam dan dimusuhi masyarakat jahiliah pada waktu itu, Islam tetap tersebar dan berkembang dengan baik. Penentang kuat Baginda yang memusuhi dan menolak kewujudan suatu agama dan kepercayaan baru, sedikit demi sedikit mula mengakui kebenaran Islam.
Bentuk ajaran Rasulullah pada peringkat awal ini menekankan ciri kemuliaan, turut menanamkan satu bentuk kekuatan iman atau akidah menakjubkan. Iman yang terbina dengan mentauhidkan Allah, menolak semua cabaran terhadap keesaan Allah, mampu merubah sesuatu yang mustahil sehingga menjadi sesuatu yang mungkin.
Alangkah murni dan agungnya iman yang dibina Rasulullah SAW pada awal kemunculan Islam. Pada saat kehidupan manusia penuh kesesatan, hanya manusia yang mampu menggunakan kewarasan akal dikurnia Allah boleh menerima agama tauhid ini dengan perasaan lapang.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walaupun sebesar zarah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan). Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walaupun sebesar zarah, nescaya dia juga akan melihat (balasannya) juga". (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)
Sifat istimewa yang ada pada Rasulullah adalah sebenarnya terbit daripada rahmat Allah kerana sifat itu memang dirancang oleh Allah sendiri sehingga Baginda layak dipilih memikul tugas yang amat berat itu.
Contoh ditunjukkan Rasulullah, Baginda sebenarnya mahu semua umatnya mengikuti jejak teladan itu. Tentulah tidak akan berkesan penghayatan kita sekiranya kita hanya membesarkan sambutan Maulidur rasul pada setiap 12 Rabiul Awwal, tetapi sifat dan akhlak baginda yang mulia itu tidak kita ikuti dan tidak kita amalkan secara bersungguh-sungguh.
Thursday, March 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment