Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali
PEMIMPIN WIBAWA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama Sheikhul Al-Azhar, Dr Sheikh Muhammad Sayed Tantawi selepas merasmikan Persidangan Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 di KLCC, baru-baru ini. Pemimpin berwibawa pastikan negara terus makmur demi kelangsungan umat.
Memilih ketua negara berdasar nilai murni mampu tingkat kegemilangan tamadun
ULAMA menyebut, melantik pemimpin adalah sesuatu yang wajib secara syarak dan akal kerana pemimpin dapat menyatukan umat, saling bantu membantu dan merealisasikan keperluan hidup mereka dipimpin.
Manusia adalah makhluk sosial dan politik. Tujuan kehidupan manusia dalam bermasyarakat dan membentuk sesebuah negara adalah memenuhi keperluan bersama mewujudkan satu sistem sosial yang dapat mewujudkan kesejahteraan serta mempersiapkan diri supaya mencapai kebahagiaan abadi di akhirat.
Hal itu tidak mungkin dapat diwujudkan tanpa sistem pemerintahan yang stabil dan kuat serta pemimpin berwibawa yang dapat menjaga kepentingan agama dan negara berdasarkan nilai murni yang universal.
Menurut al-Mawardi, pemimpin yang berwibawa dalam sesebuah negara ialah pemimpin yang dapat mewujudkan ketenteraman dalam masyarakat dan konsisten dalam melaksanakan syiar agama.
Di samping itu, mereka dapat menyatukan aspirasi masyarakat yang berbeza, mencegah pertikaian dan pemberontakan, menjaga agama supaya dihayati, melindungi jiwa, kekayaan dan kehormatan warga negara serta menjamin mata pencarian mereka.
Kewibawaan pemimpin seperti itu amat diperlukan kerana watak manusia cenderung kepada pertikaian, permusuhan serta keinginan menguasai orang lain. Oleh itu, negara akan menjadi kuat dan wujud kestabilan jika pemimpin terdiri daripada kalangan yang berwibawa.
Dalam membina kecemerlangan umat dan negara, kepemimpinan berwibawa dan prihatin amat diperlukan. Kepemimpinan prihatin ialah pemimpin yang mengetahui tanggungjawabnya meningkatkan kegemilangan negara dan tamadun mengikut panduan Ilahi dan syariat.
Kepemimpinan ini akan membantu meneroka segala kemahiran dan ilmu dalam rangka usahanya menjamin kelangsungan aktiviti yang menjana negara. Pemimpin yang dinamik ialah pemimpin yang berupaya menterjemahkan visinya menjadi kenyataan.
Di samping itu, ia memiliki keupayaan mengatasi masalah dan berupaya membawa ummah meningkat maju dalam pelbagai bidang. Oleh itu, ahli falsafah menyedari betapa pentingnya kewujudan golongan pemimpin berwibawa. Lantaran, mereka sering membicarakan mengenai kepemimpinan, syarat kelayakan, hak dan kewajipannya.
Umat dan negara akan berada dalam kebaikan dan kemakmuran selagi pemimpinnya mempunyai sikap dan pemikiran terbuka. Mereka peka dengan perubahan zaman dan arif keadaan semasa serta pendekatan kehidupan yang sering berubah bentuk.
Apabila kepemimpinan mula bersikap menutup pintu dan berfikiran sempit serta berlaku permusuhan antara mereka, maka ini bererti mereka sudah membuang dan menjauhkan diri daripada layak memiliki sifat pemimpin yang bijaksana.
Islam mengambil berat mengenai kepemimpinan kerana mereka adalah golongan yang dibebani banyak tanggungjawab. Kepemimpinan adalah bebanan (taklif) dan bukannya satu kemasyhuran dan kemuliaan (tasrif).
Al-Quran memberi panduan kepada umatnya dalam memilih pemimpin berwibawa iaitu pemimpin yang tidak meminta ganjaran. Firman Allah bermaksud: "Ikutilah mereka yang tiada meminta balasan kepada kamu dan mereka adalah orang yang mendapat petunjuk." (Surah Yassin, ayat 21)
Saidina Abu Bakar al-Siddiq dalam ucapan awalnya sebagai khalifah menyebutkan: "Aku dilantik untuk memimpin kamu padahal aku bukannya yang terbaik dikalangan kamu. Taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah."
Umar al-Khatab pernah menyatakan betapa besarnya tanggungjawab sebagai seorang pemimpin dengan katanya: "Aku bimbang akan dipersoalkan mengenai seekor binatang yang terbiar di kawasan yang jauh di Iraq, mengapa aku tidak memperbaiki jalan untuknya."
Umar bin Abdul Aziz pernah mengulang-ulang ayat 37, surah al-Saffat, sehingga waktu subuh. Ayat itu menceritakan bahawa orang yang tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin akan dilemparkan ke dalam api neraka. Lalu direnung ayat ini dan menangis sepanjang malam kerana khuatir pada akhirat nanti beliau termasuk dalam golongan berkenaan.
Saidina Umar al-Khatab pernah menyebutkan bahawa manusia tidak akan berada di jalan lurus selagi pemimpin mereka tidak lurus dan jujur. Imam al-Ghazali menyebutkan, syariat adalah asas dan pemerintah adalah pengawal. Perkara yang tidak ada asas akan runtuh dan perkara yang tidak ada pengawal akan hilang.
Oleh itu, syariat dan pemimpin adalah beriringan dalam kehidupan manusia. Kepentingan pemimpin yang adil dalam kehidupan manusia, maka Allah menjanjikan ganjaran besar kepada mereka seperti sabda Rasulullah SAW: "Pemimpin yang adil adalah golongan pertama daripada tujuh golongan yang berada dalam lindungan Allah pada hari akhirat."
Oleh kerana kepentingan kepemimpinan yang jujur dan ikhlas dalam kehidupan umat Islam, maka musuh Islam mengambil peluang dan merancang supaya pemimpin umat Islam adalah daripada orang yang lemah. Mereka merancang supaya pemimpin umat Islam adalah orang yang tidak mempunyai misi dan visi serta mengikut petunjuk mereka.
Negara dan tamadun Islam akan mencapai kegemilangannya jika lahir pemimpin yang berwibawa dan prihatin. Hujah bahawa umat Islam hidup dalam zaman yang mundur sukar untuk di ubah adalah kenyataan tidak benar.
Perkara ini dibuktikan dengan pengalaman dilalui Saidina Umar bin Abdul Aziz yang dapat mengembalikan pemerintahan kepada satu sistem yang adil dan berjaya membawa negara kepada kemakmuran.
Sedangkan sebelum itu, beliau mewarisi kerajaan bani Umaiyah yang banyak melakukan penyelewengan serta penindasan. Dalam masa dua tahun, beliau berjaya membina dan mengembalikan keadilan yang sudah hilang dalam pemerintahan sebelumnya.
Umar bin Abdul Aziz apabila dilantik menjadi khalifah menulis surat kepada Hassan al-Basri meminta pandangannya mengenai pemimpin adil. Hassan al-Basri menyatakan pemimpin adil itu seperti seorang ayah yang penyayang, mendidik anak semasa kecil, memberi pendidikan semasa besar dan menyara mereka.
Ia juga seumpama ibu yang mengandungkan anak, menyusu dan mengasuh mereka sehingga besar, kegembiraan anak adalah kegembiraannya dan kesedihan anak kesedihannya. Pemimpin adil seperti hubungan hati dengan anggota badan. Apabila baik hati, baiklah anggota badan dan apabila rosak hati rosaklah anggota badan.
Imam al-Mawardi menyebutkan, antara sifat terpenting pemimpin ialah seorang yang berilmu, lemah lembut, zuhud, warak, sentiasa memikirkan masa depan rakyatnya dan sentiasa bekerja untuk memajukan negaranya.
Pernah suatu ketika, isteri Umar, Fatimah memasuki biliknya dan melihat beliau dalam keadaan menangis. Lalu ditanya isterinya sebab beliau menangis. Umar berkata: "Sesungguhnya aku dilantik menjadi pemimpin umat ini, saya berfikir mengenai orang miskin yang kelaparan, orang sakit yang menderita, orang yang tidak berpakaian dalam keadaan kesejukan, anak yatim yang terbiar, orang yang terkena zalim tanpa pembelaan, orang tawanan perang, orang tua, janda, keluarga besar tetapi mempunyai pendapatan sedikit. Saya mengetahui bahawa Allah akan menanyakan saya di hari akhirat kelak. Saya khuatir tidak dapat menjawab dan memberi hujah. Oleh sebab itu saya menangis."
Oleh itu, rakyat harus bijak memilih supaya kelangsungan umat dan negara akan terjamin dan memilih pemimpin yang sudah terbukti membawa negara ini ke arah kemajuan serta kegemilangan.
Penulis ialah felo bidang Pemikiran Islam di Future Global Network (FGN), sebuah badan bukan kerajaan (NGO)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment