Bersama Juanda Jaya
juanda@kutpm.edu.my
BERJIWA RAKYAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama-sama Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman (kiri) menjamu selera nasi ambang bersama mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir Di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Medan.
Pemimpin dipilih perlu laksana tanggungjawab dengan amanah, jujur
KEMENANGAN atau kekalahan, kejayaan atau kegagalan adalah pilihan ketentuan Allah kepada hamba-Nya. Menang bermakna diuji, kalah pun sama diuji. Segala-galanya bergantung kepada bisikan hati, untuk apa kemenangan ini?
Apakah ia dipersembahkan kepada Allah sebagai janji antara diri seorang pemimpin dan tuhannya. Janji menjalankan amanah kerana Allah, berkhidmat untuk agama-Nya, meneruskan perjuangan Rasul-Nya.
Sungguh sebuah janji yang berat dilaksanakan sehingga Umar suka mengingatkan dirinya sendiri sambil menitiskan air mata dengan ayat al-Quran yang menggambarkan penghisaban setiap hamba pada hari kiamat nanti, melalui ayat bermaksud: "Hentikanlah mereka, sesungguhnya mereka akan disoal. Bagaimanakah nasib diriku sebagai seorang pemimpin jika seekor anak kambing tersesat di kawasan pemerintahanku, akulah Umar yang akan disoal! Bagaimana dengan nasib janda, anak yatim, fakir miskin, oh…alangkah baiknya jika aku hanya sebatang tunggul kayu!"
Sesungguhnya Allah mahu menguji apakah pada diri seorang pemimpin itu tersimpan jiwa hamba? Sehebat mana populariti yang berhasil dicapai dia tetap seorang hamba Allah. Kemenangan digenggam bukan bermakna dia boleh terlepas daripada genggaman Allah. Untuk itu pemimpin yang disanjung pengikutnya ini semakin rendah hati, taat dan setia kepada Allah melebihi taat dan setia pengikut kepada dirinya.
Dengan semangat iman dia berdiri memikul amanah Tuhan. Lautan, daratan, air, tanah, api, khazanah alam semesta segala-galanya dimanfaatkan untuk kepentingan umat manusia demi terciptanya kebahagiaan dan kesejahteraan, keamanan dan kasih sayang.
Tangan pemimpin yang amanah diredai Allah, disayangi makhluk di bumi dan disanjungi malaikat di langit. Ramai pemimpin umat ini sudah meninggalkan jejak-jejak karismatik yang mempengaruhi keperibadian umat selama-lamanya.
Bermula daripada teladan yang dituliskan dengan tinta emas pada jejak lantai sejarah dunia. Yang tidak dapat ditemui lagi selepasnya, lebih baik daripada sejarah kepemimpinan Baginda Rasulullah SAW.
Penentang dan musuh sentiasa mencari serta mahu menyerang peribadinya, tetapi sayang tidak mereka menemukan setitis pun kehinaan sikap dan perilaku Baginda yang menitis pada belanga kemurnian peribadinya.
Siapakah pemimpin di dunia ini yang boleh memberi khidmat kepada musuhnya, menjadi tempat bernaung penentangnya? Hanya Muhammad SAW yang memberi contoh terbaik bagaimana menguruskan harta benda orang kafir Quraisy yang pernah menghina, menyeksa dan bahkan berniat membunuhnya.
Sehingga Baginda SAW berpesan kepada Ali ketika peristiwa hijrah, supaya memulangkan balik harta dan barang berharga milik orang musyrik yang mereka titipkan kepada Rasulullah SAW. Sungguh pelik, di satu sisi mereka membenci Nabi SAW dan menentang ajarannya, tetapi di sisi yang lain pula percaya kepada kejujuran Nabi SAW sehingga menyerahkan harta bendanya untuk disimpan di rumah Rasulullah SAW.
Kejujuran sudah menjadi timbangan paling berat di mata masyarakat dan tentunya di sisi Allah. Siapapun akan menyayangi pemimpin yang mahu melihat dengan mata rakyat, mahu mendengar dengan telinga umat dan mahu berasa dengan meminjam hati nurani orang yang susah.
Rasulullah SAW sudah memberi teladan bagaimana seorang pemimpin itu tidak segan-segan makan bersama hamba abdi, duduk di atas tanah dan menahan lapar bersama umat yang kelaparan. Supaya lahir dalam jiwanya rasa belas kasihan dan kelembutan hati dalam menerajui pemerintahan.
Tetapi Rasulullah SAW juga memberi contoh teladan mengenai ketegasan dan disiplin supaya umat tidak terlena serta lemah keperibadiannya. Fakta sejarah merakamkan lahirnya undang-undang dasar negara pertama di dunia yang menjunjung tinggi hak asasi manusia di Madinah.
Ketika meletakkan asas binaan negara Islam yang pertama, Baginda SAW terpaksa menghadapi permasalahan umat yang sudah bernanah sejak lama, persengketaan antara suku bangsa dan agama.
Aus dan Khazraj adalah dua suku paling berkuasa, sentiasa berperang merebut tampuk pemerintahan, sementara kaum Yahudi dan Nasrani juga hidup di tengah-tengah mereka saling berpecah belah demi kepentingan kaumnya sendiri.
Atas nama Islam semua umat wajib disatukan dengan segala perbezaannya. Untuk itu terciptalah undang-undang negara Islam pertama. Antara prinsipnya yang tertulis dalam sirah Ibnu Hisyam mengenai piagam Madinah ialah:
l Kesatuan umat Islam tanpa mengenal perbezaan antara mereka.
l Persamaan hak dan kemuliaan seluruh umat.
l Tolong-menolong antara mereka dalam segala aspek yang tidak termasuk kezaliman, dosa dan permusuhan.
l Pembabitan umat dalam menentukan hubungan dengan orang yang memusuhi Islam.
l Membangun masyarakat dalam satu sistem yang paling baik, lurus dan kukuh.
l Melawan orang yang memusuhi negara dan pemerintah tanpa memberi sebarang bantuan kepada mereka.
l Memberi perlindungan kepada orang yang mahu hidup secara damai dan tidak boleh berbuat zalim atau aniaya terhadap mereka.
l Orang yang bukan Islam bebas melaksanakan agamanya dan mentadbir harta bendanya. Mereka tidak boleh dipaksa memeluk agama Islam dan tidak boleh diganggu harta bendanya.
l Orang bukan Islam harus mengambil bahagian dalam membantu negara, seperti orang Islam sendiri.
l Orang bukan Islam harus membantu umat Islam dalam menghadapi musuh negara selama negara dalam keadaan terancam.
l Orang bukan Islam juga ikut membantu dengan hartanya selama negara berperang.
l Negara pula berkewajipan menolong mereka yang dizalimi daripada kalangan orang bukan Islam.
l Orang Islam dan bukan muslim tidak boleh melindungi musuh negara.
l Apabila perdamaian akan membawa kebaikan umat, maka semua warga negara yang Islam atau bukan Islam harus rela menerima perdamaian itu.
l Seorang warga negara tidak boleh dihukum atas sebab kesalahan orang lain.
Rasulullah SAW mengajarkan kepada wakilnya yang memegang tampuk pemerintahan di merata dunia mengenai pentingnya perpaduan dan menjaga kestabilan negara dengan memberi setiap orang akan haknya, walaupun dia bukan daripada golongan orang Islam.
Bahkan, pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, orang kafir zimmi hanya membayar jizyah lebih sedikit jumlahnya daripada zakat yang diwajibkan kepada orang Islam, sedangkan orang kafir zimmi yang tua dan tidak berdaya dibebaskan daripada kewajipan jizyah, bahkan dihulurkan bantuan kewangan daripada Baitulmal umat Islam.
Betapa hebatnya tamadun yang lahir daripada asuhan langit ini, yang mula menenggelamkan tamadun termegah ketika itu, Parsi dan Rom. Dua dunia itu masih berlaku sistem kasta dan perbezaan lapisan masyarakat yang ketara. Sedangkan Islam sudah menghapuskan segala jurang perbezaan melalui ajaran Baginda SAW.
Rasulullah SAW berdiri sebagai ketua yang berbaris di belakangnya pemimpin umat hingga akhir zaman. Semoga orang yang kita pilih berada bersama dalam barisan panjang itu. Berdoalah untuk kesejahteraan pemimpin kita supaya hati mereka dipenuhi cahaya iman, diberikan kekuatan menghadapi tipu daya dunia, ditunjuk jalan menuju keredaan Allah. Sesungguhnya baiknya pemimpin akan membaikkan umat dan buruknya pemimpin akan memburukkan umat.
Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment