Oleh Endok Sempo M Tahir
wanitajim0@yahoo.com
RAMAI terkejut dengan keputusan pilihan raya minggu lalu. Ada gembira dan ada yang sedih. Kalah menang adat orang berjuang. Namun ada yang masih kebingungan dan tidak kurang boleh menerima kekalahan serta menerima hakikat ini sebagai takdir.
Takdir bukan satu kebetulan tetapi ia adalah ketentuan Allah yang sudah diukir di luh mahfuz. Kita percaya dan menerima ia sebagai qada kadar yang menjadi salah satu rukun iman. Beriman kepada takdir baik dan buruk sama ada yang sudah atau sedang berlaku adalah tuntutan Islam.
Maksud iman jelas diterangkan dalam hadis kedua koleksi hadis 40 Imam Nawawi. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Khabarkanlah kepadaku mengenai iman? Rasulullah menjawab: Hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, Rasul-Nya, hari akhirat dan hendaklah engkau beriman kepada takdir Allah yang baik atau yang buru."
Pembicaraan sekitar masalah takdir, qada dan qadar Allah dalam perspektif yang betul masih kurang popular. Pada zaman Rasulullah SAW tidak ada wacana menyeluruh mengenai takdir. Wacana itu diperkenalkan pada zaman Khalifah kedua, Saidina Umar al-Khatthab.
Kemudian perbahasan mengenainya semakin berkembang pesat ketika zaman khalifah Ummayyah selepas kewafatan Saidina Ali. Pada zaman inilah bagaimana istilah 'takdir' diberikan persepsi kurang tepat malah ada ulama mengatakannya salah.
Apabila Saidina Ali wafat, beliau digantikan puteranya, Hasan. Ramai kalangan umat Islam tidak menerima kepemimpinannya, umat Islam berpecah, lantas Hasan mengundurkan diri. Hasan digantikan adiknya Husein yang kemudian dibunuh oleh Bani Ummayyah.
Khalifah Ummayyah berjaya menghapuskan Husein. Demi kepentingan politiknya maka kerajaan Ummayyah memulakan wacana takdir kepada umat Islam, bahawa terbunuhnya Husein itu sudah takdir Allah.
Husein tidak dibolehkan memerintah, sebagai buktinya Husein tewas yang berakhir dengan kematian. Pembesar dan pengikut Ummayyah mencanangkan Umayyah boleh memerintah kerana sifat Allah yang Adil kepada mereka. Itulah takdir Allah kepada mereka. Wacana tidak tepat ini dihembuskan oleh dinasti Ummayyah.
Apa makna takdir itu sebenarnya? Kita perlu kembali kepada keterangan dalam al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah mengadakan ukuran bagi tiap-tiap sesuatu." (Surah At-Talaq, ayat 3)
Takdir adalah rumusan yang Allah tetapkan dan berlaku pada setiap sesuatu. Takdir dikatakan sistem Allah yang Dia terapkan pada setiap sesuatu di dunia ini. Contohnya takdir air laut, menjadi awan apabila meruap selepas beberapa jam disinari matahari.
Takdir api terpadam dan terus mati apabila disiram air yang mencukupi. Bumi diberikan takdirnya untuk mengelilingi matahari, dia tidak boleh mengelilingi planet atau bintang-bintang lain, jika terjadi demikian alam cakerawala akan kacau-bilau dan musnah.
Demikianlah, alam semesta tidak diberi kesempatan untuk memilih takdirnya. Sedangkan manusia diberi kebebasan untuk memilih takdir yang diinginkan. Takdir manusia yang rajin, sabar dan tabah ialah kejayaan dan kecemerlangan. Takdir bagi manusia malas, maka akan sengsara hidupnya.
Oleh itu, terserah kepada kita sebagai manusia untuk memilih, adakah kita mahu menjadi manusia yang rajin atau pemalas. Allah menganjurkan kepada manusia untuk memilih takdir terbaik buat dirinya, bukan sekadar takdir yang baik, tapi yang terbaik.
Kadangkala kita terdengar bahawa jodoh, rezeki dan maut adalah takdir Allah, sedangkan takdir Allah bukan terbatas kepada tiga perkara itu saja. Bahkan, takdir Allah meliputi semua yang terjadi di dunia ini.
Sering kali kita hanya katakan sesuatu kejadian itu sebagai takdir jika kita mendapat musibah. Sedangkan apabila kita mendapat kejayaan dan kebahagiaan, sebenarnya itu juga adalah takdir daripada sekian banyak takdir yang kita pilih.
Rumusan Allah itu tertuang dalam Luh Mahfuz yang mencakup rumusan takdir dan qada qadar. Luh Mahfuz ibarat sebuah khazanah yang menyimpan ilmu Allah yang terpelihara.
Perbezaan qada dan qadar adalah, qada itu rumusan Allah secara global, seperti setiap makhluk yang bernyawa pasti mati. Qadar atau takdir adalah rumusan Allah yang terperinci seperti bilakah dan di manakah seseorang itu akan mati.
Qada dan qadar adalah sistem Allah yang berlaku di dunia ini pada siapapun dan apapun. Hanya kita sebagai manusia diberi peluang untuk memilih takdir. Kita mahu beriman atau sebaliknya. Kita mahu berubah atau suka menjadi jumud sehingga mati.
Allah menghendaki kita memilih takdir yang terbaik buat kita. Sedangkan alam raya ini tidak boleh memilih takdirnya. Alam semesta ini sengaja Allah hamparkan supaya kita boleh mentadbirnya dengan cara yang terbaik atau sebaiknya.
Pilihan rezeki terbaik, jodoh terbaik, kerjaya terbaik, kesejahteraan terbaik, pemerintahan terbaik, nasib yang terbaik kita harus usahakan sendiri. Mengenai nasib yang menimpa manusia, Allah tidak menentukan tapi manusialah yang menentukan sendiri nasibnya.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah Ar-Ra'ad, ayat 11)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah Al-Anfaal, ayat 53)
Bagi yang berubah kepada kebaikan, ganjaran bagi mereka tetapi selepas mendapat nikmat kejayaan dan kemenangan, Allah boleh mengubahnya pada bila-bila masa jika kita berubah sama ada pada niat, perbuatan atau tingkah laku.
Bagaimanapun, doa dapat mengubah takdir. Allah boleh menghapus apa yang sudah ditetapkan dan manusia boleh berdoa kepada Allah supaya takdirnya dapat berubah walaupun sistem global Allah tidak akan berubah.
Penulis ialah Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita JIM Pusat yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com
Friday, March 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment