Oleh Abdul Rahman Haqqi
Kontrak sosial dengan ketua negara terpilih atas dasar setia, taat selagi tidak lakukan maksiat
MUNGKIN kerana tidak begitu dikenali dalam bahasa Melayu, istilah 'baiat' tidak tersenarai dalam kamus berbahasa Melayu padahal dalam kajian politik Islam ia menjadi satu kajian tersendiri dan teori yang diamalkan pada zaman Nabi dan sahabat Baginda. Bahkan, dalam sebuah hadis, baginda bersabda maksudnya: "Sesiapa yang mati dan di lehernya tidak ada baiat, maka sesungguhnya dia melepaskan ikatan Islam daripada lehernya." (Hadis riwayat Muslim)
Menurut Ibn Khaldun, baiat adalah perjanjian atas dasar kesetiaan bahawa orang yang berbaiat menerima seseorang yang terpilih menjadi ketua negara sebagai pemimpinnya dalam melaksanakan urusannya dan semua urusan kaum muslimin. (al-Muqaddimah, 209)
Daripada definisi baiat yang diberikan Ibn Khaldun di atas dapatlah difahami bahawa baiat adalah satu perjanjian ikrar taat setia terhadap seseorang pemimpin yang akan mengurus semua urusan kepemimpinan (leadership) orang berkenaan sama ada dalam aspek keduniaan mahupun akhirat.
Perkara ini dibuktikan dalam satu kejadian sejurus selepas Nabi Muhammad SAW wafat. Jika ketika itu baiat Saidina Umar ibn al-Khattab terhadap Saidina Abu Bakar al-Siqqiq tidak diikrarkan, mungkin sejarah Islam akan melalui arah jalan yang lain sehingga umat Islam tidak seperti sekarang.
Dalam keadaan kelam-kabut di mana kepentingan berpuak kembali muncul selepas Baginda mangkat, Umar bangkit dan berjabat tangan dengan Abu Bakar seraya berkata: "Bukankah tuan orang yang diarahkan oleh Rasulullah untuk mengimamkan orang Islam dalam sembahyang sebagai ganti Baginda ketika Baginda sakit, maka tuanlah orang yang paling berhak menjadi pengganti Baginda. Tuanlah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah, maka kami berikrar taat kepada tuan sebagai Khalifah."
Baiat atau ikrar taat setia Umar ini kemudian diikuti oleh Abu Ubaidah ibn al-Jarrah kemudian sahabat Muhajirin dan Ansar yang ada dalam majlis Bani Saidah. Keesokan harinya barulah ikrar taat setia dilakukan oleh umat Islam Madinah dalam satu perhimpunan massa yang besar dan Saidina Abu Bakar pun berucap untuk julung kalinya dalam ucapan pelantikannya yang masyhur.
Baiat secara bahasa ialah berjabat tangan atas terjadinya jual beli, dan untuk berjanji taat setia. Baiat, bai'at, bai'ah atau mubaya'ah (kata kerjanya baya'a - yubayi'u) mempunyai erti perjanjian. Makna asalnya lebih kurang tukar-menukar sesuatu dengan yang dianggap sebanding. Jual-beli, di samping bai' dalam bahasa Arab, disebut juga mubaya'ah yakni pertukaran barang dengan wang yang senilai dengannya.
Baiat juga mempunyai erti janji taat setia seperti dalam kalimat 'qad tabaya'u 'ala al-amri' atau mereka saling berjanji atas sesuatu perkara. Dalam suatu hadis Nabi SAW bersabda: "Ala tubayi'uni 'ala al-islam" (Mahukah kalian membaiatku di atas Islam?)
Dalam konsep ilmu politik Islam melalui baiat seolah-olah orang yang berbaiat memberikan perjanjian kepada pemimpinnya untuk menerima pandangan mengenai masalah dirinya dan urusan kaum muslimin, tidak akan menentang sedikitpun dan selalu mentaatinya untuk melaksanakan perintah yang dibebankan atasnya baik dalam keadaan suka atau terpaksa.
Ketika membaiat seorang pemimpin dan mengikat tali perjanjian, manusia meletakkan tangan mereka pada tangan pemimpin berkenaan sebagai penguat perjanjian, sehingga menyamai perbuatan penjual dan pembeli, maka dinamakannya baiat iaitu ism al-masdar dari kata ba 'a, dan jadilah baiat suatu istilah secara bahasa dan secara ketetapan syarak. (Rujuk Ali Hasan, al-Bai'ah baina al-Sunnah wa al-Bid'ah)
Dan baiat secara syarak mahupun kebiasaan tidaklah diberikan kecuali kepada amirul mukminin dan khalifah kaum muslimin yakni pemimpin tertinggi mereka. Oleh kerana orang yang meneliti secara saksama dan cermat kenyataan yang ada baiat masyarakat kepada ketua negaranya, dia akan mendapati bahawa baiat itu terjadi untuk ketua negara. Dan pokok daripada pembaiatan hendaknya setelah ada musyawarah daripada sebahagian besar kaum muslimin dan menurut pemilihan ahlu al-halli wa al 'aqdi.
Dalam pelantikan Abu Bakar didahului oleh ikrar taat setia ahli mesyuarat dalam 'Parlimen' Bani Sa'idah; dalam pelantikan Umar didahului oleh surat wasiat Abu Bakar yang ditulis Saidina Othman bin Affan selepas Abu Bakar meminta pendapat sahabat; dalam pelantikan Othman didahului oleh ditunjukkan enam sahabat oleh Umar bagi memilih satu daripada mereka untuk menjadi khalifah; dan dalam pelantikan Saidina Ali ibn Abi Talib ketika negara dalam keadaan huru hara didahului oleh ikrar taat setia Sa'ad ibn Abi Waqqas, Talhah, dan Zubair; kemudian diikuti semua umat Islam.
Baiat adalah asas legitimasi kepemimpinan dalam Islam. Oleh itu, kita melihat bagaimana ia sangat berperanan dalam pelantikan Khulafa Rasyidin di atas. Walaupun cara pelantikan mereka berbeza tapi baiat ada dalam semua pelantikan.
Sebelum itu, pada zaman Nabi baiat banyak berlaku bahkan al-Quran merakamkannya dalam beberapa ayatnya yang mulia. Dalam ayat 10 Surah al-Fath disebutkan maksudnya: "Sesungguhnya orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad – untuk berjuang menentang musuh), mereka sebenarnya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan janji setianya itu hanya menimpa dirinya sendiri; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala yang besar."
Begitu pula dalam Surah al-Mumtahanah ayat 12 disebutkan maksudnya: "Wahai Nabi! Apabila orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu pun, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina, dan mereka tidak akan membunuh anaknya, dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik, maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan mohonkanlah kepada Allah supaya mengampuni dosa mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Negara Madinah pada zaman Nabi berdiri kuat dan kukuh kerana diawali suatu baiat yang berlaku pada 622M. Ketika itu sekelompok penduduk Madinah sama ada yang sudah masuk Islam dan yang belum masuk Islam sedang menunaikan haji ke Makkah dan mereka berjumpa dengan Nabi di kawasan 'Aqabah, dekat Makkah. Mereka berkata: "Demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, kami membaiatmu (ikrar taat setia) wahai Rasulullah. Demi Allah, kami adalah orang peperangan dan lihai dalam pertempuran yang kami warisi daripada nenek moyang kami. Kami dengan kaum Yahudi terikat perjanjian yang sudah akan kami putuskan. Tapi apa jadinya kalau ini kami lakukan, kelak Tuhan memberikan kemenangan kepadamu, lalu engkau kembali kepada masyarakatmu dan meninggalkan kami? Nabi tersenyum dan bersabda maksudnya: "Tidak, saya sehidup semati bersama kamu. Kamu adalah bahagian daripada saya, dan saya adalah bahagian daripada kamu. Saya akan memerangi siapa yang kamu perangi, dan saya akan berdamai dengan siapa saja yang kamu ajak berdamai."
Baiat Aqabah Kedua di atas menjadi asas terbentuknya masyarakat Muslim dan negara di Madinah. Peristiwa baiat ini dijadikan oleh ulama sunni sebagai satu daripada prinsip dalam prinsip umum teori pemikiran politik Islam, dalam hubungannya dalam pelantikan khalifah. (Dr J Suyuthi, Fiqh Siyasah, 73-4)
Muhammad Abu Zahrah dalam Tarikh al-Mazahib al-Islamyyah menulis bahawa baiat adalah syarat yang disepakati majoriti umat Islam, sunni dalam pemilihan ketua negara yang dilakukan ahl al-halli wa al-'aqdi sebagai wakil umat. Mereka mengadakan kontrak sosial dengan ketua negara terpilih atas dasar kesetiaan dan ketaatan kepadanya selama mana dia tidak melakukan maksiat. Oleh itu ketua negara harus melaksanakan haknya menjalankan undang-undang dan kewajipan mewujudkan keadilan sesuai dengan ketentuan kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya. (hal. 91)
Fakta sejarah dalam prinsip baiat di atas menunjukkan amalan kontrak sosial dilakukan oleh umat Islam generasi pertama. Selepas itu, beberapa abad kemudian ia dijadikan sebuah teori oleh Imam al-Mawardi (405H) pada abad ke-11 Masihi. Di Eropah, teori kontrak sosial baru muncul untuk pertama kalinya pada abad ke-16 Masihi yakni ketinggalan lima abad lamanya daripada sejarah Islam.
Dalam teori kontrak sosial Barat, seperti dalam A History of Political Tought karya G H Sabine, dinyatakan bahawa seseorang atau sekelompok manusia menyerahkan hak kekuasaan dirinya kepada seseorang atau kepada institusi yang disepakati. Imlpikasi teori ini adalah bahawa sumber kedaulatan negara berasal dari rakyat dan memperoleh legitimasi menerusi kontrak sosial antara kedua belah pihak. (Suyuthi, Fiqh Siyasah, 72)
Dr Abdul Muta'al Muhammad Abdul Wahid seperti dinyatakan dalam al-Bai'ah baina al-Sunnah wa al-Bid'ah mengatakan : "Ketiadaan imam adalah menjadi sebab munculnya kelompok mendakwa bahawa dirinyalah yang berhak dibaiat dan menjadi imam."
Ketika mengkaji baiat ulama membincangkan pengertian baiat menurut istilah yang biasa dikenal, berapa macamnya, apa erti sebenarnya, apa yang dimaksud dengan baiat itu? Apa hikmah yang terkandung di dalamnya, dengan apa baiat itu wajib, atas siapa baiat diwajibkan, syarat sempurnanya baiat, serta dengan apa baiat itu rosak.
Jika prinsip baiat diterapkan dengan benar dan betul maka ia akan menjadi penyumbang kepada kestabilan negara kerana dengan baiat legitimasi kepemimpinan berakar kuat, begitu pula sebaliknya. Dengan perkataan lain, pada hari ini prinsip baiat dalam sistem politik Islam adalah amalan demokrasi dalam pilihan rakyat dengan tujuan memberi mandat untuk memimpin rakyat dan meneraju negara. Walaupun dalam kedua-duanya ada persamaan dan perbezaan yang tidak boleh dielakkan. Wallahu a'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment