SAYA tertarik dengan isu kepentingan pengesahan nikah yang dipaparkan dua minggu lalu. Di sini saya ada soalan lanjut berkaitan pengesahan nikah di mana, adakah pernikahan sindiket juga perlu disahkan? Jika pernikahan sindiket atau tanpa kebenaran pihak agama di Malaysia yang dilakukan di luar negara perlu disahkan, apakah prosedur yang perlu diikuti untuk mengesahkannya? Bilakah sijil kelahiran anak hasil pernikahan itu boleh didaftarkan?
Suami Insaf,
Kuala Lumpur
Terima kasih atas tindak balas saudara untuk bertanya lebih lanjut berkaitan isu pengesahan nikah. Untuk maklumat, sama ada pernikahan itu dilakukan dalam mahupun di luar negara, jika tidak mendapat kebenaran Pendaftar Nikah tempat bermastautin, pernikahan yang dilangsungkan perlu disahkan dan didaftarkan di Malaysia. Begitu juga nikah sindiket yang dilakukan di Malaysia, perlu disahkan dan didaftarkan.
Prosedur bagi permohonan pengesahan dan pendaftaran pernikahan tanpa kebenaran Pendaftar Nikah adalah berbeza antara negeri bergantung kepada enakmen pentadbiran dan undang-undang keluarga Islam negeri masing-masing.
Bagi saudara yang tinggal di Kuala Lumpur, permohonan untuk mengesahkan pernikahan perlu dimulakan dengan Notis Permohonan dan Afidavit yang menyokong permohonan itu. Bersama permohonan itu perlu dilampirkan salinan kad pengenalan kedua-dua pihak yang bernikah, salinan sijil nikah di mana tempat pernikahan dijalankan serta salinan surat pengesahan daripada Pendaftar Nikah negeri yang mengeluarkan sijil nikah itu untuk mengesahkan mengikut rekod mereka.
Jika tiada sebarang catatan bagi sijil nikah itu, pihak Pendaftar Nikah negeri akan mengeluarkan laporan menyatakan bahawa pernikahan itu tiada dalam rekod pendaftaran pernikahan dan sijil nikah itu adalah palsu.
Contohnya, pasangan yang bernikah di Perak dan mendapat sijil nikah kononnya dimeterai Pendaftar Nikah di Perak tetapi apabila diajukan berkaitan status sijil nikah mereka, didapati sijil nikah itu palsu dan pernikahan mereka tidak pernah didaftarkan di negeri berkenaan.
Jika pernikahan dijalankan di luar negara seperti di Thailand, surat pengesahan daripada Konsulat Malaysia di wilayah Thailand hendaklah diperoleh terlebih dulu dan dilampirkan bersama dalam permohonan.
Kebiasaannya, Konsulat Malaysia di wilayah di mana sijil nikah Thailand dikeluarkan mensyaratkan setiap pasangan hendaklah menyerahkan kepada pihak Konsulat Malaysia salinan dokumen yang diakui sah oleh peguam bela dan peguam cara di Malaysia seperti salinan kad pengenalan pihak yang bernikah, sijil nikah wilayah Thailand, salinan pasport perjalanan jika ada serta menyertakan sejumlah bayaran pemprosesan bagi mendapatkan surat pengesahan sijil nikah daripada Majlis Agama Islam wilayah berkenaan.
Apabila semua dokumen lengkap, pihak yang memohon digalakkan menyertakan senarai butir peribadi saksi yang perlu disapina ke mahkamah untuk perbicaraan kes pengesahan nikah.
Saksi hendaklah terdiri daripada mereka yang turut serta pada majlis akad nikah pasangan atau mereka yang yakin dan percaya pernikahan sudah dilangsungkan antara pasangan itu. Gambar pernikahan dan pasport yang menunjukkan mereka pergi ke luar negara untuk melangsungkan pernikahan juga boleh disertakan dalam permohonan.
Permohonan itu hendaklah didaftarkan di Mahkamah Syariah iaitu tempat salah satu pihak bermastautin. Dalam tempoh 21 hari daripada tarikh pendaftaran kes, pihak-pihak akan diberikan tarikh sebutan kes kali pertama ataupun terus kepada perbicaraan, bergantung kesesuaian masa dan juga dokumen yang difailkan.
Ketika perbicaraan, pihak-pihak dan saksi akan disoal perkara berkaitan rukun nikah serta lain-lain pengesahan dokumen yang dilampirkan. Oleh itu, salinan asal semua dokumen berkaitan hendaklah dibawa ketika ke mahkamah.
Jika mahkamah berpuas hati dengan segala keterangan lisan dan keterangan dokumen selaras hukum syarak yang mengesahkan pernikahan itu, mahkamah boleh memutuskan pernikahan adalah sah menurut hukum syarak dan hendaklah didaftarkan di Bahagian Pendaftaran Nikah Cerai Rujuk tempat pihak bermastautin.
Jika sebaliknya, mahkamah akan memutuskan pernikahan itu sama ada fasik atau tidak sah dan pihak-pihak boleh diperintahkan supaya menfarakkan atau memutuskan pernikahan itu. Mereka perlu bernikah semula menurut hukum syarak dan mematuhi rukun nikah ditetapkan.
Bagi pernikahan disahkan mahkamah, selepas mendapat perintah perlu merujuk ke Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah di pejabat agama kerana pihak Penguatkuasaan Syariah akan menyoal siasat mereka sekali lagi dan memanjangkan kes ke bahagian Pendakwaan Syariah.
Mereka akan didakwa di bawah kesalahan nikah tanpa kebenaran pihak berkuasa. Ini perlu dilakukan demi memastikan kes jenayah syariah atas kesalahan pernikahan tanpa kebenaran pasangan didengar cepat di Mahkamah Syariah.
Apabila kes jenayah syariah selesai diputuskan iaitu sama ada pasangan dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya sekali, barulah pernikahan boleh didaftarkan dengan menyerahkan salinan resit bayaran denda ke Bahagian Pendaftaran Nikah, Majlis Agama Islam tempat pasangan bermastautin.
Selepas denda dijelaskan barulah sijil nikah Malaysia dikeluarkan dan pasangan boleh mendaftarkan sijil kelahiran anak hasil daripada pernikahan itu di Jabatan Pendaftaran Negara.
Isu mengatakan setiap pasangan dan saksi yakin pernikahan itu adalah sah dan memadai sijil nikah tempat di mana pernikahan itu dijalankan dimajukan ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mempercepatkan proses sijil kelahiran anak adalah tidak wajar disalah tafsirkan kerana hanya Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa menentukan sah pernikahan dan taraf anak.
Segala tatacara perlu diikuti semua pasangan demi menjamin kredibiliti Undang-undang Syariah Malaysia serta memartabatkan sistem perundangan syariah sedia ada supaya dihormati semua pihak.
Jika setiap pihak memfailkan permohonan dengan segera dan disertakan segala dokumen yang perlu, ia tidak akan melambatkan proses mahkamah. Sesungguhnya meletakkan sesuatu isu itu pada tempat sewajarnya untuk didengar dan diputuskan.
Jawapan disediakan Exco Koordinasi dan Modul Dakwah Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Siti Razasah Abd Razak.
Thursday, March 13, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment