Oleh Hashim Ahmad
FAKTOR utama yang menjadikan manusia makhluk paling tinggi dan mulia berbanding makhluk lain ialah kerana ia dikurniakan akal oleh Allah. Dengan akal, manusia dapat berfikir, mengenali dan membezakan antara baik dengan buruk, hak dengan batil dan antara yang halal dengan haram.
Ketinggian dan keagungan ciptaan manusia berbanding makhluk lain jelas dinyatakan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Bahawa Kami (Allah) menciptakan manusia itu dalam sebaik-baik kejadian.” (Surah At Tin, ayat 4)
Namun demikian, sebahagian besar daripada manusia tidak mahu menerima hakikat itu. Ketinggian dan kemuliaan diberikan Allah kepada mereka dianggap remeh dan dipersiakan. Ada antara manusia menyalahgunakan akal yang dikurniakan Allah kepada mereka.
Manusia yang terbabit dalam kegiatan penagihan najis dadah, menjadikan minuman keras sebagai amalan hidup dan minuman utama mereka adalah antara manusia yang tidak mahu berterima kasih dengan nikmat pemberian akal kepadanya. Dadah dan arak adalah bahan yang memabukkan dan boleh menjadikan akal dan fikiran tidak tenteram serta tidak siuman.
Allah menjadikan manusia untuk menghuni alam ini ialah supaya mereka mengabdikan diri kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah (mengabdikan) diri kepada Ku.” (Surah az-Zariyat, ayat 56)
Sedar akan hakikat kurniaan akal fikiran dan tujuan ciptaan manusia untuk mengabdikan diri kepada-Nya itu, maka manusia tidak sepatutnya menyalahgunakan kurniaan ini. Sebaliknya, kita hendaklah menjadi makhluk yang bersyukur dan selalu tunduk, patuh serta bertakwa kepada-Nya, meninggalkan larangan dan mengerjakan segala apa yang disuruh.
Gunakanlah akal fikiran yang dikurniakan Allah untuk berfikir. Sesungguhnya berfikir itu boleh diibaratkan sebagai cermin. Dengan adanya cermin, kita dapat melihat yang mana cantik dan yang mana buruk. Begitulah juga halnya dengan berfikir. Dengan berfikir kita dapat menilai apakah kita berakhlak baik atau buruk; apakah kita masih diselubungi perasaan hasad dengki atau tidak.
Sesungguhnya kata-kata yang baik lahir daripada buah fikiran yang tajam dan bernas dapat dianggap sebagai zikir di sisi Allah. Kita dilarang memperkatakan perkara yang sia-sia. Diam itu lebih baik daripada memperkatakan yang sia-sia.
Namun demikian, diam kosong juga tidak ada maknanya. Sepatutnya kita menggunakan masa diam itu dengan berfikir supaya apabila kita bercakap nanti, segala apa yang diperkatakan itu adalah yang berfaedah dan bermanfaat. Moga-moga apa yang kita perkatakan itu pula dianggap zikir oleh Allah.
Satu perkara yang sangat dituntut supaya kita berfikir kebesaran Allah dan segala nikmat kurniaan-Nya. Dengan cara itu, manusia akan sentiasa memikirkan bagaimana untuk bersyukur dan menikmati rahmat Allah.
Di samping itu, manusia perlu hidup bermasyarakat. Kita digalakkan supaya bergaul mesra dan bantu membantu antara satu sama lain. Ini jelas daripada firman Allah yang bermaksud: “Bertolonglah kamu berbuat kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya. Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu sangat keras seksaannya.” (Surah al-Maidah, ayat 2)
Satu perkara yang perlu difikirkan setiap orang yang mengaku dirinya sebagai makhluk bermasyarakat ialah mengingati dan mengenangkan jasa dilakukan orang lain kepada dirinya. Dengan berbuat demikian, perasaan hasad dengki, dendam, cemburu, buruk sangka dan marah memarahi antara satu sama lain dapat dibendung.
Manusia yang tidak berfikir akan cepat dipengaruhi oleh harta benda yang melimpah ruah. Orang yang berfikir akan melihat kemiskinan sebagai ujian Allah supaya mereka sabar dan sentiasa mensyukuri nikmat yang diberi.
Memikir mengenai umur dan ajal juga digalakkan supaya kita sentiasa berada dalam keadaan sedia dan sentiasa menjaga diri daripada melakukan perkara yang mencari keredaan Allah. Manusia yang menggunakan akal fikiran, hidup mengikut syariat nabi dan rasul akan menjadi makhluk yang bahagia dan beruntung baik di dunia mahupun akhirat.
Untuk mencapai tingkat hidup yang diredai Allah, maka awasilah daripada memikirkan mengenai kemiskinan, kesusahan dan musibah yang menimpa diri, penganiayaan orang kepada kita dan hasrat untuk tinggal tetap di dunia ini.
Mereka yang sentiasa memikirkan kemiskinan dan kesusahan diri boleh menambah risau dirinya dan boleh menghilangkan rasa yakin terhadap qada Allah. Orang yang memikirkan perbuatan orang lain terhadap dirinya boleh menambah suburnya perasaan dendam dan dengki dan mereka yang sentiasa memikirkan untuk tinggal tetap di dunia ini pula akan sentiasa menunda amalnya serta lalai daripada mengingati mati dan hari akhirat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment