Thursday, March 13, 2008

Personaliti: 'Sebar syiar Islam selagi termampu'

Oleh Hasliza Hassan

LAKSANA AMANAH: Mohd Zakuan gembira membimbing kakitangan Telekom Malaysia berkaitan ilmu agama dan menganggapnya sebagai memenuhi tuntutan fardu Kifayah.

Mohd Zakuan gembira program keagamaan dapat sambutan kakitangan TM

"SAYA sedih apabila graduan atau mereka yang ada kelulusan dalam bidang agama bertanya ustaz lulusan mana atau belajar agama di mana kerana saya tidak punya ijazah khusus dalam bidang agama.

"Tetapi saya gembira apabila mereka melahirkan rasa bangga kerana saya mampu menembusi bidang sepatutnya dikuasai mereka," kata Penolong Pengurus Hal Ehwal Islam Sumber Manusia Telekom Malaysia Berhad (TM), Mohd Zakuan Tak.

Katanya, pengiktirafan diberi kepada ilmu pengetahuan serta kemampuan beliau mendalami bidang agama yang pada mulanya didasari minat semata-mata, menguatkan lagi semangatnya berkongsi serta menyebarkan syiar Islam selagi termampu.

Kerana itu, beliau meneruskan perkhidmatan secara kontrak bagi meneruskan kelangsungan program serta projek dilaksanakan membimbing kakitangan syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi negara memenuhi tuntutan fardu kifayah yang diwajibkan atas setiap Muslim.

Memulakan kerjaya di Jabatan Telekom Perak Utara sebagai pegawai kerani pada 1973, anak kelahiran Perak itu bersyukur kerana diberi peluang Allah bukan saja untuk meningkatkan dirinya dengan pelbagai ilmu agama, malah dapat menterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat.

Sebagai permulaan, beliau menubuhkan persatuan Islam yang membolehkan kakitangan jabatan itu mempelbagaikan aktiviti kebajikan dengan menganjurkan program komuniti bersama orang ramai, mengadakan kelas agama dan menubuhkan tabung khairat kematian.

Pada masa sama, beliau berjinak-jinak mendalami ilmu agama setiap malam dengan ulama tasawuf terkenal, Allahyarham Tuan Guru Datuk Muhammad Saman Muhammad atau dikenali sebagai Ustaz Mat Saman Kati selama 11 tahun.

"Selepas berkahwin timbul minat untuk mendalami ilmu agama. Saya tidak malu nak kata, sudah dapat anak dua baru saya belajar alif ba ta. Tetapi sekarang, saya faham bahasa Arab sikit-sikit dan ada tauliah untuk mengajar al-Quran serta fardu ain.

"Semua itu berkat kesungguhan dan saya bersyukur kerana Allah memberi kemudahan untuk saya belajar, memahami, menghayati dan seterusnya menyampaikannya pula kepada orang lain. Ikut pengalaman, jika kita bekerja untuk Allah, dengan izin-Nya akan dimudahkan urusan kita," katanya.

Beliau yang bertukar ke Kuala Lumpur pada 2000, gembira kerana setiap program atau aktiviti dianjurkan bahagian Keagamaan dan Kebajikan TM mendapat sokongan pengurusan atasan dan lebih membanggakan, diterima baik kakitangan yang dilihatnya begitu pemurah.

Mohd Zakuan berkata, sejak ditubuhkan lima tahun lalu, pelbagai program penghayatan Islam dijayakan bahagian Keagamaan dan Kebajikan TM antaranya kuliah agama di surau TM seluruh negara, program kutipan derma untuk kakitangan yang ditimpa musibah dan majlis ibadat korban/aqiqah.

Beliau berkata, ibadat korban/aqiqah anjuran warga TM kini sudah merentasi lautan kerana sejak 2003, mereka mengadakan majlis berkenaan di Kemboja, Bangladesh dan tahun lalu memanjangkan usaha itu ke Sri Lanka.

"Setiap program dianjurkan matlamatnya satu iaitu mencari jalan membolehkan warga TM menjadikan ibadat sebahagian dari aspek penting dalam pekerjaan mereka. Kita nak galakkan warga TM membuat pahala dan mencari keberkatan.

"Apabila kita menganjurkan program dengan pelbagai pihak sama ada dalam atau luar negara, ini akan menaikkan imej TM. Maknanya, rezeki yang kita dapat dikongsi bersama masyarakat melalui program sebegini. Syarikat pun mendapat keberkatan," katanya.

Terbaru katanya, warga TM menyumbang sebanyak RM34,500 kepada Khazanah Fathaniyah untuk program mewakafkan kitab hasil karya Syeikh Daud Abdullah al-Fathani untuk diberi kepada sekolah pondok dan pihak yang menggunakan kitab tokoh terkenal itu sebagai rujukan mereka.

Sempena Maulidur Rasul peringkat kebangsaan yang akan diadakan minggu depan, pasukan TM yang juga johan lima tahun berturut-turut bagi kategori swasta kini mula sibuk berlatih untuk Pertandingan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul.

Selain memastikan tugasan di pejabat dan program direncanakan untuk kakitangan TM berjalan lancar, diari harian Mohd Zakuan dipenuhi dengan kelas mengajar fardu ain dan al-Quran di masjid atau surau berhampiran rumahnya di Taman Melati, Kuala Lumpur.

Hujung minggu pula dipenuhi undangan menikahkan pasangan di kariahnya dan ada kala, menerima jemputan sebagai penceramah undangan sempena hari kebesaran Islam dianjurkan pihak tertentu.

Mengulas mengenai jadual harian yang agak padat, bapa kepada 10 cahaya mata itu berkata, minat mendalam serta perasaan teruja untuk berkongsi ilmu pengetahuan membolehkan beliau melalui hari-hari yang sibuk dengan penuh keceriaan.

"Setiap hari saya akan menjawab sekurang-kurangnya 10 soalan atau kemusykilan agama yang dikirimkan warga TM dalam pelbagai perkara. Sebagai tempat rujukan, saya perlu memberi tunjuk ajar serta membimbing mereka melakukan perkara yang betul.

"Selepas waktu pejabat, saya akan bersiap untuk pergi ceramah atau kelas di masjid dan surau berdekatan rumah. Saya sentiasa berasa seronok untuk pergi mengajar. Perasaan berkobar-kobar dan tidak sabar untuk datang kelas malam itu," katanya.

Katanya, kemampuan mengendalikan kelas agama dengan berkesan menyedarkan beliau bahawa Islam adalah untuk semua, tetapi tidak dinafikan bukan semua diberi anugerah untuk menyampaikan seruan, malah seruan mereka diterima dengan baik.

Kerana itu, beliau sentiasa berusaha menambah serta menggilap kelebihan yang ada pada diri untuk berceramah di depan jemaah dan menghasilkan khutbah serta doa dengan kata-kata yang mampu menarik minat pendengar.

Malah agak mengejutkan apabila Mohd Zakuan menunjukkan koleksi petikan kata-kata hikmah atau yang dirasakannya menarik daripada penceramah atau tok guru yang pernah didengar direkodkan mengikut topik dalam komputer di pejabatnya.

Bukan itu saja, beliau juga masih menyimpan khutbah Jumaat yang disampaikan dan himpunan doa dihasilkan untuk majlis tertentu bukan saja yang dianjurkan pihak TM, juga atas permintaan orang luar kerana tertarik dengan gaya bahasa mudah, tetapi padat dengan mesej.

"Bagi saya, jika hendak sesuatu itu perlu bersungguh-sungguh dan Allah akan bantu. Kadang-kadang ilmu saya mengenai sesuatu topik itu tidak banyak, tetapi apabila saya buat ulang kaji, ada saja ilham yang datang untuk memantapkan ceramah saya nanti.

"Guru saya kata, jika kita bantu Allah, Allah tak akan uji kita dengan ujian yang tak mampu kita tanggung. Saya yakin, niat ikhlas mengembangkan syiar Islam untuk mengajak umat Islam ke arah keredaan Allah sentiasa dibantu dan dimudahkan," katanya.

Katanya, melihat kepada kejahilan yang masih membelenggu masyarakat hari ini, beliau sentiasa memberitahu jemaah yang menghadiri ceramah atau kelas fardu ain bimbingannya supaya bersyukur kerana mereka terpilih dalam kumpulan yang mendapat hidayah Allah.

No comments: