Oleh Ibrahim Abdullah
PEMIMPIN adalah kumpulan penting dalam kelangsungan dan kesinambungan hidup kerana manusia perlu kepada yang memimpin sementara pemimpin bertanggungjawab memandu golongan yang dipimpin supaya dapat membentuk satu sistem kehidupan sempurna.
Dalam terminologi al-Quran dan Sunah kepemimpinan sering diungkapkan dalam istilah seperti khalifah, imam, malik, amir, dan lain-lain. Gelarannya pun pelbagai mengikut bidang seperti politik, kepemimpinan diertikan juga sebagai sultan, perdana menteri, presiden, wakil rakyat dan syeikh.
Namun, peranan jabatannya tetap sama, iaitu melindungi masyarakat dengan menjaga agama dan mengatur kehidupan dunia, menyuruh (rakyat) berbuat kebaikan dan mencegah berbuat kerosakan, kejahatan atau jenayah.
Disebabkan pentingnya fungsi pemimpin, perkembangan minda serta perbahasan kepemimpinan perlu mengikut kesesuaian waktu serta perkembangan semasa melalui tiga cara:
Pertama, melalui pemilihan langsung (pilihan raya). Kedua, pemilihan tidak langsung dan ketiga, penunjukan langsung oleh pimpinan sebelumnya. Keragaman mekanisme itu berlaku sejak zaman pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin dan hingga kini ia masih diguna pakai di beberapa negara Islam.
Kenyataan itu menunjukkan bahawa mekanisme kepimpinan bukan sesuatu yang baku dan menggambarkan fleksibiliti tuntutan ajaran Islam kerana kepemimpinan bukan tujuan, ia adalah sekadar alat dan jalan untuk melindungi masyarakat supaya kehidupannya dapat mencapai muslihat ramai dan terhindar daripada kemudaratan serta bahaya.
Islam menuntut umatnya memilih dan mengangkat pemimpin. Tidak hanya dalam suatu masyarakat bangsa yang luas dan menetap dalam satu wilayah. Dalam perjalanan di padang pasir sekali pun, jika diberi hak memilih pemimpin, maka mesti ditunaikan.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud : “Apabila kamu dalam perjalanan, walau di padang pasir, maka hendaklah kamu memilih salah seorang sebagai pemimpin.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW mengingatkan, “Barang siapa yang memilih seseorang, sedangkan ia mengetahui bahawa ada orang yang lebih wajar daripada yang dipilihnya, maka ia sudah mengkhianati Allah, Rasul dan amanah kaum Muslimin.”
Rasulullah SAW juga mengisyaratkan siapa yang mesti dipilih, seperti keadaan kamu, demikian pula ditetapkan pemimpin atau penguasa kamu. Kalimah ringkas Rasulullah SAW itu menjelaskan seorang penguasa atau pemimpin adalah gambaran keadaan masyarakatnya.
Pemimpin atau penguasa yang baik adalah yang dapat memenuhi aspirasi masyarakatnya. Sedangkan masyarakat yang baik adalah yang berusaha mewujudkan pemimpin yang dapat menyalurkan aspirasi mereka.
Rakyat juga tidak sepatutnya tergesa-gesa menyalahkan pemimpin yang menyeleweng, derhaka atau membangkang. Sebab pada dasarnya yang salah adalah masyarakat itu sendiri yang memilihnya.
Bukankah pemimpin adalah gambaran daripada keadaan masyarakatnya secara umum. Al-Quran dan hadis mengingatkan umat Islam dalam memilih pemimpin atau penguasa pada beberapa aspek antaranya membenci kekufuran selain memiliki pengetahuan yang tinggi.
Pemimpin yang baik juga mampu memelihara harta negara dan yang penting sekali, memiliki kekuatan memimpin serta dipercayai rakyat yang dipimpinnya.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada seorang pemimpin yang mengurus urusan kaum Muslimin, kemudian ia tidak sungguh-sungguh (mengurusnya) dan tidak jujur, melainkan Allah tidak akan memasukkannya ke dalam syurga.” (Hadis riwayat Muslim)
Memang tidak mudah menemukan orang yang dalam dirinya mempunyai sifat sempurna. Khalifah Umar al-Khattab dalam masa pemerintahannya pernah mengeluh dan mengadu kepada Allah: “Aku mengadu kepada-Mu, kekuatan si fajir (orang suka berbuat dosa) dan kelemahan orang yang aku percayai.”
Justeru, dalam pemilihan perlu ada pilihan contohnya dalam memilih panglima perang, yang mesti didahulukan adalah memiliki kekuatan sekalipun agamanya kurang. Kekuatannya dapat dimanfaatkan untuk melindungi masyarakat, sedangkan kelemahan imannya, tidak merugikan orang lain, kecuali dirinya sendiri.
Pemimpin yang mampu memelihara harta negara dan berilmu, hal itu penting. Banyak pemimpin yang berilmu, tetapi tidak mampu memelihara harta negara. Bila saja diberi kuasa memimpin, ia pun melakukan bermacam penyelewengan seperti rasuah, menipu wang negara, memecah amanah dan perkara yang boleh menjejaskan serta merugikan negara serta rakyat.
Kepemimpinan dan politik adalah kekuasaan, dengan kata lain dunia politik adalah dunia kekuasaan, dan kekuasaan alat untuk menegakkan syariat (hukum) Allah dan hukum dunia terutama negara Islam.
Jika berhadapan antara kehendak peribadi dan kehendak Allah dan Rasul-Nya, maka ayat al-Quran menegaskan yang maksudnya: “Tidaklah wajar orang yang beriman lelaki mahupun perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan yang lain berkaitan urusan mereka.” (Surah al-Ahzab, ayat 36)
Maknanya, apabila berhadapan dua hal yang sukar, pilihlah yang termudah, selagi tidak bertentangan dengan syarak. Jika menghadapi dua hal yang keduanya buruk, pilihlah yang paling sedikit keburukannya. Yang demikian inilah yang selalu dilakukan Rasulullah SAW. Betapa pun dari sekian banyak keburukan, pilihan mesti dibuat kepada yang banyak memberi khidmat dan kebaikannya.
Dalam perkara penting, Rasulullah SAW mengajarkan umatnya, khususnya pemimpin sebelum membuat keputusan, bermesyuarat dengan orang yang mahir serta berdoa memohon petunjuk Allah supaya mampu membuat pilihan terbaik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment