Oleh Hasliza Hassan
CINTAI RASULULLAH: Ahmad Zahid mengetuai perarakan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1429 Hijrah di Bukit Jalil, kelmarin.
Sejarah, perjuangan Nabi Muhammad berkesan untuk memperkasa iman
KONSEP mendepani kesusahan yang ditempuh Rasulullah SAW sepanjang era dakwah Baginda perlu dicontohi, diteladani dan diikuti umat Islam hari ini dalam menyusun strategi serta melaksanakannya dengan penuh hikmah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tunjuk ajar yang diberi Rasulullah SAW kepada umat Islam perlu dicontohi agar mereka sentiasa memiliki sifar sabar, tekun, tabah dan pintar untuk menghasilkan kejayaan yang membanggakan.
Katanya, peringatan kepada perjalanan hidup dilalui Rasulullah SAW juga adalah cara terbaik bagi ummah menghayati ajaran Islam yang diterjemahkan dalam keperibadian Baginda menyebarkan syiar Islam yang diamanahkan Allah.
"Sejarah perjuangan menunjukkan Baginda sentiasa istiqamah menyampaikan risalah Allah untuk kebaikan manusia walaupun menghadapi pelbagai halangan. Akhlak ditunjukkan Baginda perlu diteladani dan dihayati kita semua untuk mencapai kejayaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sulung selepas dilantik menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam di hadapan kira-kira 13,000 hadirin pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1429 Hijrah di Stadium Putra, Bukit Jalil, kelmarin.
Majlis dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Berangkat sama Raja Permaisuri Agong, Sultanah Nur Zahirah. Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak serta menteri Kabinet.
Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong turut menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada lima penerima sebagai pengiktirafan kepada mereka yang melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah yang menjurus kepada kepentingan negara dan rakyat.
Mereka ialah pakar bedah jantung pertama negara, Tan Sri Yahya Awang; senator kurang upaya pertama negara, Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh dan pelajar kurang upaya yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat Kebangsaan 2007, Nor Umairah Ahmad Jamhari.
Penerima lain ialah wanita Malaysia pertama sampai ke puncak Gunung Everest, Marina Ahmad dan angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha. Mereka menerima hadiah wang tunai RM5,000, plak, hadiah iringan dan sijil penghargaan.
Dr Ahmad Zahid berkata, tema sambutan tahun ini 'Menjana Ummah Gemilang' yang menjurus kepada penggemblengan pembangunan modal insan diharap melahirkan lebih ramai umat Islam yang berjaya dalam pelbagai bidang dan pada masa sama memiliki keimanan teguh kepada Allah.
Beliau berkata, usaha itu dapat direalisasikan dengan menajamkan minda dan fikiran umat Islam melalui proses pendidikan berterusan kerana hanya ketinggian ilmu serta pengetahuan mampu menjamin kejayaan membangunkan diri, masyarakat dan negara.
Bidang pendidikan diberi perhatian serius oleh tamadun Islam kerana hanya individu berilmu, bermaklumat, mempunyai kepakaran dan efektif akan melahirkan komuniti atau ummah gemilang.
Sementara dalam pembentukan personaliti unggul, setiap insan perlu diberikan pendedahan supaya bersikap terbuka, inovatif serta proaktif terhadap kehidupan peribadi dan kehidupan sosial dengan menyeru manusia menjadi baik serta bersama melakukan kebaikan.
Dalam usaha mengembalikan kegemilangan ummah, Malaysia turut menggariskan beberapa pendekatan, termasuk Islam Hadhari yang diterima dunia sebagai satu pendekatan yang sesuai dengan situasi semasa.
Hakikatnya, hasrat ini tidak dapat dijayakan melainkan dengan disertai perasaan bertanggungjawab dan komitmen yang tinggi oleh semua pihak memikul serta melaksanakan segala amanah untuk memastikan Islam kembali menduduki puncak kecemerlangannya.
"Sejarah membuktikan orang Islam sudah lama menguasai ilmu sains dan teknologi tetapi kemudian ia digarap dan dikuasai bangsa lain. Saya harap kita dapat memulihkan kembali penguasaan melalui anjakan paradigma dan berpandangan jauh demi membina ummah gemilang," katanya.
Katanya, masyarakat di negara ini perlu peka dengan sebarang gejala yang boleh menghina serta meruntuh nilai baik pada manusia dan mengambil tindakan supaya gejala yang merosak akidah itu tidak terus berleluasa.
Justeru, katanya, umat Islam yang bertanggungjawab mesti bertindak balas, merangka pelbagai strategi dan aktiviti bagi menyekat atau mengurangkan gejala tidak sihat, pada masa sama terus menyampaikan risalah dibawa Rasulullah SAW secara konsisten.
Bagi tujuan itu, beliau meminta rakyat supaya bersatu dan bersepakat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dan mengelak daripada berpecah belah kerana dengan bersatu padu ummah akan tegap serta terus kukuh.
"Saya harap melalui program sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan yang diadakan setiap tahun membolehkan kita sentiasa muhasabah, meningkatkan ketakwaan serta mengamal nilai mulia ditunjukkan Rasulullah dengan ikhlas, bijaksana dan berhikmah.
"Di samping mengingati sejarah hidup Baginda, natijah daripada majlis ini juga bertujuan memantapkan syiar Islam, memperkukuh ukhuwah, menjana ummah maju dan progresif dalam segenap aspek kehidupan," katanya.
Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1429 Hijrah dimulakan dengan perarakan didahului kontinjen daripada kalangan kenamaan yang diketuai Ahmad Zahid sendiri sambil berselawat memohon kesejahteraan ke atas junjungan Rasulullah SAW.
Sebanyak 103 kontinjen mengambil bahagian terdiri daripada kementerian dan jabatan kerajaan, sektor swasta, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi dan institusi latihan serta sekolah.
Saturday, March 22, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment