Thursday, March 27, 2008

Hak Muslim: Suami kena beri nafkah isteri bukan Islam

http://peguamsyarie.blogspot.com

SELEPAS 10 tahun kematian suami, ibu saya berkahwin dengan seorang saudara baru. Masalahnya, bapa tiri saya sebelum ini beragama Hindu, pernah berkahwin dan tidak bercerai dengan isterinya terdahulu. Mereka juga ada tiga anak berumur 17, 15 dan 10 tahun. Bapa tiri saya juga menunjukkan perintah pengesahan Mahkamah Syariah sebelum berkahwin dengan ibu saya bahawa pernikahannya terdahulu sudah dibubarkan. Adakah pembubaran itu sah di sisi undang-undang? Adakah anak dan isteri yang masih beragama Hindu masih boleh mendapat wang sara hidup atau nafkah walaupun kedua-dua mereka tidak memeluk Islam? Saya tidak mahu Islam dikatakan menzalimi anak dan isteri yang masih belum memeluk Islam.

Anak Prihatin,
Bangsar, Kuala Lumpur

Terima kasih kerana prihatin terhadap isu membabitkan perkahwinan ibu dan bapa tiri anda. Sejak kebelakangan ini, isu salah seorang pasangan bukan Islam memeluk agama Islam serta hak kedua-duanya sering diperkatakan kerana ia masih tidak jelas mengikut undang-undang.

Isu itu timbul berdasarkan rumusan daripada Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1974 (AMUUPP) iaitu perkahwinan sivil tidak akan terbubar secara automatik apabila salah seorang daripada pasangan memeluk agama Islam.

Hanya Mahkamah Sivil boleh membubarkan perkahwinan itu dan pihak yang tidak menukar agama saja boleh memohon perceraian di mahkamah sivil dan jika pihak yang tidak menukar agama tidak memohon perceraian, perkahwinan sivil berkenaan masih kekal.

AMUUPP sebenarnya hanya memberi hak kepada pihak yang tidak memeluk Islam memfailkan petisyen pembubaran perkahwinannya di mahkamah. Pihak yang memeluk Islam tidak langsung mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan itu.

Jika pihak yang tidak memeluk Islam enggan memfailkan petisyen atas alasan tertentu, maka tidak ada sebarang penyelesaian dan jalan keluar bagi pihak memeluk Islam itu.

Walaupun ada ura-ura untuk meminda beberapa peruntukan dalam AMUUPP pada 2006, sehingga kini ia belum direalisasikan. Kita berharap pindaan terhadap seksyen berkenaan dibuat dengan kadar segera demi keadilan kedua-dua pihak sama ada yang Islam atau tidak.

Ia menunjukkan Seksyen 51 seolah-olah menganggap memeluk Islam itu adalah suatu kesalahan dan kerana itu orang yang masuk Islam perlu dihukum dan hak mereka mendapatkan perceraian ditarik.

AMUUPP hanya terpakai kepada orang bukan Islam. Oleh kerana bapa tiri anda sudah memeluk Islam, beliau tidak tertakluk lagi kepada AMUUP sebaliknya tertakluk kepada hukum syarak.

Undang-undang berkaitan perkahwinan dan perceraiannya adalah Undang-undang Keluarga Islam yang dinyatakan dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (AUUKI).

Mahkamah yang sewajarnya beliau rujuk untuk membubarkan perkahwinan sivil adalah Mahkamah Syariah kerana Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah saja untuk mendengar dan memutuskan perkara berkaitan hal orang Islam.

Kes mutakhir yang diputuskan sama ada Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah turut memberikan kuasa kepada mahkamah syariah.

Menurut Bahagian V AUUKI berkaitan Pembubaran Perkahwinan, Seksyen 46(2) memperuntukkan, "jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh mahkamah."

Anda menyatakan bahawa sebelum berkahwin dengan ibu, bapa tiri sudah mendapatkan perintah mahkamah syariah membubarkan perkahwinan bukan Islamnya. Oleh itu, anda tidak perlu sangsi berkaitan sah pembubaran perkahwinan bukan Islam beliau jika sudah mendapatkan Perintah Pengesahan berkenaan.

Berkaitan nafkah anak dan isterinya, Islam mewajibkan suami menyediakan nafkah bekas isterinya, anak dan tanggungan menurut hukum syarak dengan sebab perkahwinan dan keturunan.

Suami wajib memberikan nafkah kepada isteri selagi isterinya masih taat dan patuh kepadanya iaitu taat dan patuh segala perintah suami selagi tidak bertentangan dengan syarak. Bapa wajib memberi nafkah kepada anak yang sah daripada perkahwinan sah mengikut kadar kemampuan bapa.

Persoalannya, anak dan isteri bapa tiri tidak memeluk Islam dan mahkamah syariah sudah mengesahkan Pembubaran Perkahwinan mereka. Mengikut Seksyen 77(1) AMUUPP, Mahkamah Sivil boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri terdahulu dalam masa perjalanan perbicaraan hal ehwal berkahwin atau apabila memberi atau selepas daripada memberi sesuatu dikri perceraian atau perpisahan kehakiman.

Menurut undang-undang sivil, pertukaran agama sama sekali tidak menjadikan seorang suami terlepas daripada tanggungjawab terhadap isteri dan anak biarpun pihak ini menganut agama berlainan.

Pendek kata, bekas isteri masih mempunyai hak untuk mendapat nafkah mengikut seksyen 77. Bekas isteri mempunyai hak untuk mendapatkan nafkah sama ada bagi sebarang tempoh yang dipersetujui antara dirinya dan suami, atau sehingga beliau berkahwin semula, atau sehingga kematian suami.

Oleh itu, berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada tetapi masih kabur mengenai kesannya, ia menunjukkan bapa tiri anda nampaknya perlu terus membayar nafkah kepada anak dan isteri yang tidak memeluk Islam.

Justeru, kita berharap pihak berwajib mempercepatkan pindaan kepada peruntukan terbabit supaya kedudukan kedua-dua pihak akan lebih jelas dan terjamin. Pada masa sama, memberi nafkah serta bersedekah kepada kaum kerabat, isteri, anak dan kedua orang tua bukan Islam tetap diutamakan.

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah katanya: "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah! Adakah aku akan mendapat pahala bila aku memberi nafkah kepada anak Abu Salamah, sedangkan aku tidak mahu membiarkan mereka begini dan begini iaitu ke sana sini mencari rezeki, walaupun begitu mereka adalah anakku. Rasulullah SAW bersabda: Benar, engkau akan mendapat pahala atas apa yang engkau nafkahkan kepada mereka."

Oleh itu, adalah digalakkan kepada bapa tiri anda untuk terus memberi nafkah anak dan isteri bukan Islamnya secara berhikmah, moga keindahan Islam terpancar daripada tindakan beliau dan memberikan hidayah kepada kedua mereka.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Semua persoalan boleh dikirim ke excopgsm@yahoo.com dan boleh layari http://peguamsyarie.blogspot.com

2 comments:

Unknown said...

Hak bekas suami kepada harta isteri yg bulan islam

Unknown said...

Apakah hak bekas suami utk harta bekas isteri yg bukan baragama islam?