Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia
PROGRAM AMAL JARIAH: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim menyampaikan bantuan Pendidikan YaPEIM kepada pelajar miskin cemerlang.
Manifestasi perasaan setiap Muslim perlu didorong dengan ilmu, iman dan akal
MANUSIA secara fitrahnya diciptakan untuk berinteraksi dengan makhluk dan alam sekitarnya. Dalam berinteraksi, seseorang manusia yang waras dan sempurna derianya akan memberikan tindak balas tertentu.
Tahap tindak balas diberikan relatif kepada setiap individu; dalam konteks seorang Muslim, ia bergantung kepada ilmu, iman dan akalnya. Ada juga faktor lain yang mempengaruhi tahap tindak balas individu seperti suasana persekitaran, rakan sebaya, tempat, masa, atau latar belakang seseorang seperti anak yatim, perpecahan keluarga atau mangsa buli.
Emosi terbabit ketika manusia mengungkapkan tindak balas sama ada dalam bentuk percakapan, mimik muka, bahasa badan mahupun tindakan. Emosi sebenarnya perasaan pada jiwa yang digambarkan seseorang.
Perasaan cinta akan membuat seseorang rasa berdebar-debar; gagal dalam peperiksaan membuat seseorang rasa kecewa; perceraian membuat seseorang tertekan, sementara dibuli membuat seorang rasa benci. Persoalannya, apakah status emosi ini sesuatu yang diperakui dan wajar dari segi kewujudan, kesahihan dan keperluannya.
Al-Quran ada menyebut mengenai hakikat kejadian manusia yang diciptakan daripada dua unsur bersifat spiritual dan fizikal, roh dan jasad. Keimanan seorang Muslim tertakluk kepada kepercayaan terhadap alam ghaib, alam roh yang berada di luar jangkauan pancaindera dan deria manusia.
Seorang Muslim yang menafikan elemen roh dalam penciptaannya bukan saja menafikan hakikat kejadiannya, bahkan membawa kepada penafian perkara lain yang tertakluk di alam ghaib iaitu Allah, malaikat, neraka, syurga, alam barzakh.
Bertitik tolak daripada hakikat kejadian manusia, kita boleh menyimpulkan bahawa perbincangan berkaitan emosi adalah tergolong kepada perbincangan membabitkan isu berkaitan roh yang tergolong di alam ghaib dan metafizik.
Namun, tidak semuanya terlindung daripada pengetahuan manusia dan tidak semua juga dimaklumkan kepada manusia, bahkan yang dimaklumkan itu hanya sebahagian daripada ilmu Allah seperti disebutkan di dalam surah al-Isra’, ayat 85.
Bahkan, ulama dan sarjana Islam adalah perintis kepada perbincangan isu berkaitan roh yang terkandung dalamnya persoalan berkaitan jiwa, nyawa dan hati. Semua perbincangan itu pernah ditolak Barat atas alasan ia tidak dapat dibuktikan melalui rasional akal dan kajian empirikal.
Kerana itulah kita dapati ilmu psikologi Barat didefinisikan sebagai suatu sains yang mengkaji pemikiran dan kelakuan manusia kerana mereka menganggap hanya fungsi biologi otak dan kelakuan manusia boleh dikaji menggunakan kaedah rasional dan empirikal.
Namun, pada hari ini, kita dapati sarjana Barat mula mengkaji persoalan hati dan emosi kerana sains psikologi sedia ada masih tidak dapat membawa kepada pemahaman yang jitu mengenai hakikat kemanusiaan, pemikiran dan kelakuan manusia.
Seandainya kita menafikan kemungkinan perbahasan mengenai hati, emosi, jiwa dan perasaan, maka kita sesungguhnya mengungkap semula kekeliruan Barat dan ini sudah sewajarnya tidak berlaku dalam tradisi keilmuan Islam.
Ulama Islam, Imam al-Ghazali dan al-Miskawayh memperuntukkan sebahagian besar perbincangan dalam kitab Ihya ulumuddin berkaitan hati dan kejiwaan manusia. Ini membuktikan persoalan hati, emosi dan kejiwaan manusia adalah antara isu dibincangkan dalam tradisi sains kemanusiaan Islam.
Emosi yang didefinisikan sebagai perasaan pada jiwa termasuk dalam kategori isu kerohanian. Ia tidak dapat dibuktikan secara kuantitatif dan objektif kerana tahap kewujudannya begitu relatif kepada pengalaman individu yang kompleks sifatnya.
Namun, apa yang dimanifestasikan individu tertentu boleh menjelaskan status emosinya di mana kajian dan perincian terhadap status emosi itu boleh dilakukan. Contohnya, seorang anak yang berasa dirinya dipinggirkan akan menimbulkan masalah serta suka mengacau adiknya sebagai mempamerkan emosinya.
Manifestasi emosi berbeza mengikut keadaan individu. Bagi seorang kanak-kanak agresif kita menjangkakan bahawa dia akan bertindak mengikut naluri agresifnya, manakala kanak-kanak pasif akan mengikut naluri pasifnya. Dalam kedua-dua keadaan, ibu bapa perlu bijak menangani emosi kanak-kanak dan ini memerlukan daya sensitiviti tinggi, keamatan, ilmu dan kesabaran.
Al-Imam al-Ghazali dan Ibn Miskawayh adalah antara ulama yang melakukan perbahasan intensif terhadap hati. Menariknya, hati yang secara fizikalnya dikenal pasti sebagai salah organ dalam tubuh manusia, mengandungi seribu satu macam rahsia yang dikupas kedua-dua ulama.
Hati seperti dibincangkan mereka tidak terhad kepada fungsi biologi, bahkan ada fungsi lain yang kompleks, namun dapat difahami akal yang waras. Hati yang dibincangkan al-Ghazali, disifatkan mempunyai empat peranan; sebagai akal, roh, nafsu dan organ hati itu sendiri.
Tingkatan nafsu yang dibahaskan ialah nafsu al-ammarah iaitu jiwa yang mencintai kebaikan dan membenci kemungkaran; nafsu al-lawwamah (jiwa yang berjinak-jinak dengan kebaikan, tetapi masih melakukan maksiat dalam keadaan mengutuk diri kerana itu); nafsu al-mulhimah (jiwa cenderung untuk melakukan amalan kebajikan yang tinggi bagi mengelakkan diri melakukan kemungkaran dan lebih cenderung kepada kebaikan.
Nafsu al-mutmainnah ialah jiwa tenang, berserah kepada Allah, tidak berubah darjah keimanannya; nafsu al-radiah (jiwa sentiasa reda dengan pemberian Allah, baik ataupun buruk); nafsu al-mardiah (peringkat penguasaan ke atas nafsu dimiliki wali dan sahabat nabi) dan nafsu al-kamil (nafsu yang sempurna dimiliki nabi dan rasul)
Setiap tingkatan nafsu itu membawa bersamanya perasaan individu manusia. Nafsu yang terurus sudah pasti membuahkan emosi terurus. Namun, bagi nafsu pada tahap pertama dan kedua, sudah tentu wujud konflik dan peperangan dalam diri yang meledakkan emosi tertentu.
Jika emosi ini tidak dikenal-pasti dan tidak diuruskan dengan baik, maka besar kemungkinan individu itu akan mendapati dirinya menjadi hamba nafsu yang mencetuskan emosi negatif dan dimanifestasikan melalui perbuatan, ekspresi, bahasa badan yang negatif sifatnya.
Bersambung minggu depan
Wednesday, March 26, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment