Oleh Mohd Adid Ab Rahman
SIFAT ihsan menjadi tonggak utama syarat segala ibadat yang dilaksanakan diterima Allah. Namun, ternyata masih ramai umat Islam kini belum dapat menyelami pengertian ihsan dengan sebenar-benarnya.
Ihsan dijelaskan Allah dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuatlah ihsan (kebaikan)." (Surah an-Nahl, ayat 90)
Firman Allah lagi yang bermaksud: "...... dan berbuat baiklah (kepada hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-ruah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qashash, ayat 77)
Justeru, bolehlah dirumuskan bahawa ihsan adalah suruhan Allah yang tidak boleh diketepikan sama sekali. Iaitu melakukan sesuatu kebaikan hanya semata-mata kerana Allah, ikhlas untuk mendapat keredaan-Nya.
Ihsan akan melahirkan insan bertanggungjawab dan tetap istiqamah dalam melakukan amal ibadat, sama ada ketika ramai orang atau di tempat sunyi. Orang yang ihsan akan selalu ingat pada Allah atas dasar ketaatan dan rasa takut.
Inilah yang dimaksudkan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Ihsan adalah kamu berasa takut kepada Allah seakan-akan kamu melihat Allah meskipun kamu tidak melihat Allah, maka sesungguhnya Allah melihat kamu dan kamu mencintai manusia sebagaimana kamu mencintai diri kamu sendiri." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam kitab 'Hadis 40' yang diterjemah dan disyarahkan Mustafa Abdul Rahman ada mengupas mengenai ihsan:
l Ihsan dalam melakukan perkara wajib dan meninggalkan yang haram, iaitu melakukan sesuatu yang wajib itu dengan sebaiknya mengikut tuntutan syarak dan menjauhi perkara dilarang dengan kaedah yang sebaiknya pula.
l Ihsan dalam hubungan antara seorang dengan yang lain, iaitu melakukan perkara baik kepada orang lain dalam pergaulan. Dengan demikian, diharapkan hubungan antara sesama insan berjalan elok, tercipta keharmonian dan kekuatan perpaduan.
l Ihsan dalam tingkah laku seperti bersikap tenang dan sabar dengan sebaiknya, sehingga dapat menyembunyikan perasaan duka, gelisah dan putus asa.
Apabila diteliti, sesungguhnya konsep ihsan itu luas dan menyeluruh. Ihsan dilakukan dengan amal, tenaga, fikiran dan harta benda. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ihsan itu ada pada tiap-tiap sesuatu."
Dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kepada kita contohnya, hendaklah disertakan dengan ihsan, iaitu bersungguh-sungguh, tekun, cekal, cermat supaya mencapai hasil sempurna, memuaskan, berkualiti dan berfaedah.
Dia yakin bahawa Allah sedang memerhati dan mengawasinya sepanjang masa, siang atau malam. Lantaran itulah kita dapati orang yang melakukan ihsan (muhsin) itu sentiasa taat kepada perintah Allah kerana cinta dan takut kepada-Nya.
Dirinya dihiasi akhlak terpuji sebagaimana yang ditunjukkan junjungan Nabi SAW. Selalu istiqamah dalam mencurahkan kebaikan atau suka kepada kebaikan. Menyayangi semua makhluk di sekelilingnya seperti terhadap binatang, alam sekitar dan masyarakatnya.
Dengan ini muhsin itu tidak pernah dipersia Allah, akan tetap mendapat ganjaran pahala dan layak menjadi penghuni syurga Allah yang penuh nikmat di akhirat kelak. Di samping itu, muhsin tidak akan dihimpit rasa takut dan sedih.
Ia disebabkan sepanjang perjalanan hidupnya ia mengikut peraturan, hukum dan perintah Allah. Dan berusaha sebaiknya dengan penuh teliti, memperelok setiap amalan dilakukan.
Allah bersabda yang bermaksud: "Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berduka cita." (Surah al-Baqarah, ayat 112)
Bagi membina masyarakat maju, rajin, aman serta sejahtera dalam perpaduan yang kukuh di bawah lindungan dan pertolongan Allah, masyarakat sewajarnya memiliki sifat ihsan. Bila ihsan sudah sebati dalam diri dan peribadi, akan terhindar daripada perkara negatif seperti melakukan kerosakan, penipuan, rasuah, perompak, mengelak daripada membayar cukai, jenayah dan lain-lain.
Alangkah berharganya hidup kita jika dihargai. Oleh itu, berbuat ihsan sepanjang masa pada setiap pekerjaan, sudah tentu kita dihargai dan disukai Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Dan berbuat baiklah, sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik." (Surah al-Baqarah, ayat 195)
Monday, March 31, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment