www.bicarakalbu.blogspot.com
Soalan:
SAYA mengenali seorang lelaki yang kemudian meminang saya kerana berasakan saya lebih baik daripadanya. Di matanya saya mempunyai ciri-ciri bakal isteri diidamkan. Kononnya saya bersopan santun, beragama dan berilmu maka sudah tentu saya boleh mengubah dirinya. Dia berasakan dirinya seorang yang cetek ilmu agama dan kurang sempurna akhlaknya untuk menjadi suami bertanggungjawab. Saya risau kerana bimbang tidak mampu membimbing suami kerana ilmu agama pun tidak tinggi sedangkan lelaki dikenali kerana egonya. Saya hanya mengamalkan amalan wajib sementara kurang arif dengan amalan sunat. Mampukah seorang wanita mengubah seorang lelaki dan logik atau tidak perkara itu kerana hidayah datangnya daripada Allah?
Gadis Dilema,
Muar Johor
SAUDARI membawa dua persoalan, mengenai mengubah seorang lelaki dan juga mengenai pilihan pasangan hidup. Perubahan yang berlaku pada diri manusia bermula dengan kemahuan dan keinsafan mereka untuk berubah. Keinsafan dan kesedaran lahir daripada ilmu dan kefahaman.
Perubahan akan mula terjadi jika sikap diubah dan diikuti dengan melangkah ke arah perubahan. Perubahan tidak akan berlaku jika tidak ada kesungguhan atau tindakan membawa diri ke arah lebih baik.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sekiranya Allah memberi hidayah kepada seseorang dengan sebab usaha kamu, itu lebih baik kepada kamu daripada dunia dan segala isinya."
Manusia sama ada lelaki atau perempuan boleh memberi ilmu dan keinsafan yang melahirkan kesedaran, seterusnya mengamalkan perkara yang digalakkan Islam seperti menghadiri majlis ilmu, melakukan amalan sunat dan beramal salih.
Bagaimanapun, usaha itu perlu disusuli dengan gerak kerja dan amalan yang menepati sunnah Allah.
Oleh itu wanita boleh merubah lelaki jika mereka berilmu dan tahu kaedah mengubah manusia begitu juga sebaliknya.
Memang hidayah itu dalam genggaman Allah tetapi Allah sudah menetapkan sunnah dan laluan kepada proses perubahan manusia. Maka, apabila syarat itu dipenuhi natijahnya adalah manusia akan berubah dengan izin Allah.
Beberapa panduan untuk mengubah seseorang:
Contoh teladan dan tindakan seorang lebih berkesan daripada syarahan seribu orang dalam merubah seseorang.
Perbaikilah diri kita dulu dan ajaklah dia untuk memperbaiki dirinya bersama-sama.
Kejayaan akan dicapai apabila kita dapat memahami, mengikuti dan mencontohi minda, emosi dan tindakan mereka yang sudah berjaya mengubah orang lain.
Kejayaan hanya dicapai dengan cara mencontohi seluruh dimensi hidup orang yang sudah berjaya.
Umat hari ini tidak akan dapat diperbaiki melainkan dengan cara mencontohi umat terdahulu yang berjaya memperbaiki diri mereka.
Apabila kita tegakkan pemahaman dan penghayatan Islam dalam diri, dengan izin Allah perkara yang sama akan tertegak dalam dirinya.
Tidak ada ertinya berjalan beribu batu untuk membuat perubahan, tetapi kita tidak mampu memisahkan diri daripada kongkongan hawa nafsu.
Persoalan memilih pasangan hidup adalah sesuatu yang paling kritikal. Oleh itu Nabi Muhammad SAW menentukan beberapa kriteria pemilihan pasangan hidup antaranya, pilihlah yang beragama.
Paling kritikal ialah memilih suami kerana mereka adalah ketua keluarga yang akan ditaati dan memikul tanggungjawab suami mendidik isteri serta anak selain memastikan rumah tangga mengikut garis ditetapkan syarak.
Jika saudari sendiri mengakui kurang agamanya, pilihlah pasangan yang beragama tetapi jika selepas bertawakal kepada Allah (menunaikan solat istikharah), saudari boleh memberikan syarat tertentu seperti meminta pasangan mendalami ilmu agama bersama.
Sebelum membuat keputusan kita perlu memikirkan baik dan buruk akibat keputusan yang kita buat. Lakukan solat istikharah untuk membuat pilihan yang terbaik untuk dirinya, kerana Allah Maha Mengetahui, sedangkan ilmu manusia ini terlalu terbatas dan cetek untuk meramalkan apa yang akan berlaku.
Jawapan disediakan Perunding Motivasi dan Kewangan Islam, Annuar Salleh. Persoalan dan jawapan yang lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment