Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Kekalahan beri iktibar agar umat Islam tidak alpa teruskan perjuangan
KEJAYAAN dan kegagalan, kemenangan dan kekalahan adalah lumrah kehidupan yang pasti ditempuh setiap manusia. Ia tidak hanya berlaku dalam dunia permainan atau perlawanan bola sepak, malah berlaku dalam bidang lain seperti politik, peperangan dan perniagaan.
Namun, tidak semua orang dapat menerima berita kejayaan mahu pun hakikat kegagalan dengan hati terbuka. Ada yang tidak dapat menahan kegembiraan apabila memperoleh kejayaan yang diharapkan dan ada yang sanggup melakukan perbuatan khianat kerana tidak menerima kegagalan yang dihadapinya.
Begitulah cermin kehidupan yang dapat kita gambarkan melalui pengalaman hidup. Setiap daripada kita pasti merasai saat dan detik itu. Ada masanya kita mengecapi kejayaan dan berada di kemuncak kemenangan dan ada kala kita diuji dengan kegagalan serta kepahitan yang sukar untuk diterima.
Al-Quran memberikan isyarat jelas mengenai sunnah kehidupan yang mewarnai kehidupan ini di bawah ketentuan dan ketetapan Allah. Dalam surah Ali 'Imran, Allah merakamkan peristiwa kekalahan yang memeritkan dialami tentera muslimin apabila mereka kalah teruk kepada tentera Quraisy dalam peperangan Uhud walaupun sebelum itu mereka merintis kejayaan penuh gemilang pada peperangan Badar al-Kubra.
Firman Allah yang bermaksud: "Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan dan kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang tetap beriman (dan sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang yang mati syahid. Dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada orang zalim. Dan juga supaya Allah membersihkan orang yang beriman (daripada dosa mereka) dan membinasakan orang kafir." - (Surah Ali 'Imran, ayat 140-141)
Meminjam kata Syed Qutub dalam kitab tafsirnya Fi Zilalil Quran (Di bawah bayangan al-Quran) ketika menafsirkan ayat itu, beliau menjelaskan bahawa kekalahan itu ada tersurat dan tersirat hikmahnya yang tersendiri.
Antara hikmah itu ialah setiap Muslim sewajarnya menginsafi dan menyedari bahawa kemenangan sebenarnya adalah hasil atau natijah yang bertitik tolak daripada daya usaha serta perjuangan manusia sendiri. Justeru, mereka tidak boleh berpeluk tubuh dan mengharapkan kemenangan dengan hanya menanti faktor bantuan mukjizat Ilahi.
Selain itu, peristiwa berkenaan mengungkapkan satu pengajaran bahawa kejayaan dan kemenangan sebenarnya tidak boleh datang dengan sendirinya, sebaliknya ia banyak dipengaruhi pelbagai faktor dan sebab yang memudahkan peluang ke arah meraih sesuatu kejayaan diimpikan seperti kekuatan ekonomi, keutuhan sosial, kemantapan akidah, keadilan politik dan juga keluhuran budi pekerti.
Semua faktor itu adalah antara prasyarat dan persediaan penting serta memberi pengaruh yang turut sama menentukan kemenangan atau kegagalan sesuatu bangsa dalam pelbagai bidang. Lanjutan itu, umat Islam sewajarnya memahami erti kehidupan di dunia ini yang sarat dengan perjuangan dan pertarungan sengit.
Oleh itu, kemenangan dan kegagalan adalah sebahagian daripada sunnah Allah. Bagi orang yang beriman, mereka sudah tentu dapat memahami konsep itu kerana mereka meyakini bahawa Allah yang menentukan segala-galanya.
Walau bagaimanapun, setiap Muslim mesti menyedari bahawa setiap kejayaan masih terikat dan bergantung kepada sebab-musabab iaitu daya usaha dan persediaan yang dilakukan pada peringkat awalnya. Pendek kata, kemenangan dan kegagalan bersifat dinamik dan tidak bersifat statik.
Jika diimbas kembali sirah Rasulullah SAW untuk dijadikan peringatan dan pengajaran kepada umat Islam, kita dapati betapa Rasulullah sendiri mengalami peristiwa suka duka dan pahit manisnya dalam perjuangan menyebarkan dakwah Islam.
Contohnya, dalam peperangan Badar, Rasulullah SAW tampil sebagai pemimpin yang mengatur barisan tentera muslimin berjumlah 313 orang menentang tentera Quraisy yang jauh lebih besar bilangannya lengkap dengan senjata canggih dan hebat ketika itu.
Namun, tentera Islam berbekalkan keimanan yang kental kepada Allah dan yakin dengan janji Allah di samping strategi peperangan tersusun, mereka mampu mencipta kemenangan gemilang menundukkan musuh Islam yang bongkak, jumlahnya ramai dan senjata yang lengkap.
Berita kemenangan ini sudah pasti menjadi pemangkin kepada tentera Islam ke arah penyebaran dakwah Islam ke seluruh tanah Arab.
Kemudian ternyata kemenangan tidak selalunya berpihak kepada tentera Islam. Apabila peperangan Uhud meletus, baginda bersama tentera Islam berjuang menentang kaum Quraisy akan tetapi kali ini tentera Islam mengalami kekalahan walaupun taktik peperangan sudah disusun daripada awal lagi.
Sebenarnya, dalam peperangan itu tentera Islam sudah hampir mencapai kemenangan tetapi pada saat akhir peperangan, mereka berubah niat dan tujuan iaitu merebut harta rampasan perang yang tersadai berbanding berjuang kerana Allah.
Serentak itu, mereka mula lupa diri dan terus melanggar arahan serta perintah Rasulullah SAW, akibatnya tentera Islam berpecah belah dan akhirnya kekalahan menimpa. Daripada itu barulah tentera Islam menyedari betapa kekalahan berpunca daripada kesilapan mereka sendiri iaitu mengingkari arahan baginda dan sudah pasti menerima pengajaran di sebalik peristiwa itu dengan penuh keinsafan dan kesabaran.
Malah, kegagalan itu menguatkan lagi semangat juang dan keimanan mereka kepada Allah. Dari satu segi yang lain, tentera Quraisy meraikan kemenangan mereka setelah berjaya menebus kekalahan dalam peperangan yang lalu.
Kemenangan dan kekalahan adalah salah satu perjalanan hidup yang pasti dilalui setiap insan. Apa yang penting, tidak kira sama ada kemenangan mahu pun kekalahan, sebagai seorang Islam semestinya bersedia untuk terus tabah berjuang menyusuri liku hidup yang penuh onak dan duri. Jangan kita alpa dibuai kemenangan dan jangan berduka nestapa atau bersikap pesimis apabila berhadapan kekalahan dan kegagalan.
Saturday, March 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment