Oleh Lokman Ismail
IBADAT zakat adalah Rukun Islam yang menjadi persoalan pokok untuk menyedarkan masyarakat kepentingan memenuhi tuntutan supaya umat Islam menunaikan ibadat itu.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Islam diasaskan atas lima perkara, kesaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah SWT dan Muhammad pesuruh-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan fardu haji dan berpuasa pada Ramadan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Disebabkan kepentingannya, Saidina Abu Bakar terpaksa memerangi mereka yang enggan mengeluarkan zakat selepas kewafatan Rasulullah SAW. Golongan itu terpengaruh dengan kempen orang murtad yang mengatakan zakat tidak lagi wajib selepas Nabi SAW wafat.
Sumber harta daripada yang halal dan sudah cukup nisab (kadar) serta haul (tempoh) ditetapkan syarak wajib dikeluarkan zakat mengikut kadar tertentu. Mereka yang mengaku beriman pasti tidak menolak perintah wajib itu, bahkan akan memperbanyakkan sedekah kepada saudara seagama.
Kalimah zakat pada segi bahasa bermaksud tumbuh, bertambah, cerdik, baik, suci dan subur. Pada istilah pula zakat bermaksud mengambil harta tertentu yang diberikan kepada orang tertentu dengan syarat tertentu.
Institusi zakat adalah sumber pendapatan masyarakat Islam yang boleh disalurkan kepada usaha memajukan masyarakat. Ia penting dalam menjana ekonomi dan kewangan Islam yang turut dinikmati semua golongan masyarakat. Kesempurnaan Islam turut memberi kebaikan kepada seluruh alam.
Zakat sebenarnya adalah hak yang dikembalikan kepada yang berhak bagi memastikan kesamarataan dan keadilan ekonomi. Golongan kaya bertanggungjawab membantu golongan miskin untuk mengelak masalah sosial dalam masyarakat.
Banyak kepentingan zakat yang tidak diketengahkan untuk penghayatan dan tindakan umat Islam. Kita biasanya hanya diajar tentang zakat sebagai membersihkan harta. Harta tidak dikeluarkan zakat mengandungi kekotoran yang menjadi barah merosakkan keseluruhan harta.
Zakat turut merangkumi kepentingan dalam bentuk fizikal. Zakat boleh dianggap teras kepada sistem ekonomi Islam. Malah, kaedah cukai yang dikenakan dalam sistem ekonomi konvensional adalah mencontohi institusi zakat. Cukai dipungut diagihkan kembali untuk pembangunan negara dan membiayai keperluan golongan miskin.
Dalam sistem ekonomi Islam, tumpuan diberikan adalah untuk memakmurkan alam. Sumber alam dan manusia perlu diuruskan berdasarkan tuntutan syariat. Setiap apa dilakukan tidak sekadar mendapat keuntungan di dunia, juga diberi pembalasan baik dan buruk untuk kehidupan akhirat.
Harta adalah sebahagian daripada ujian kepada manusia. Sesiapa yang bersyukur, Allah SWT akan melipatgandakan kurniaan kepada orang itu. Satu tanda bersyukur ialah membelanjakan harta untuk kebaikan dan berzakat.
Berzakat menjadi elemen pembersihan rohani dan sumber harta, pendapatan, kewangan, ekonomi dan sosial. Mereka yang berzakat mementingkan kualiti hidup berdasarkan kepada tuntutan syarak.
Sumber yang hendak dikeluarkan zakat perlulah daripada sumber yang bersih cara mendapatkan dan menguruskannya. Tuntutan ini memberi peringatan kepada pengeluar zakat supaya sentiasa menjauhkan daripada pendapatan atau pengurusan harta tidak bersih.
Ekonomi dan sosial ummah menjadi lebih stabil berasaskan mekanisme zakat yang mana golongan tidak mampu akan dibantu untuk menjana kembali kekuatan ekonomi dan sosial mereka.
Golongan asnaf dapat meningkatkan keupayaan membeli dan mengguna jika ada sumbangan disalurkan kepada mereka. Dalam teori ekonomi, perbelanjaan dapat meningkatkan pusingan ekonomi. Ini secara tidak langsung meningkatkan ekonomi negara secara keseluruhannya.
Golongan miskin yang dianggap tidak produktif sebenar turut mempunyai peranan besar dalam aktiviti ekonomi. Sumbangan ini lebih jelas jika diadakan pengurusan sumber tenaga manusia secara teratur.
Kewujudan golongan miskin perlu dilihat pada sudut positif. Allah SWT menjadikan golongan kaya dan miskin dengan ada hikmah. Kedua-dua golongan ini saling memerlukan antara satu sama lain.
Golongan kaya memerlukan pertolongan golongan miskin untuk dijadikan pekerja yang mendatangkan keuntungan dan memberi kemudahan hidup. Miskin pula mengharapkan golongan kaya untuk memberikan mereka peluang pekerjaan.
Bayangkan jika semua orang memiliki kekayaan yang sama. Siapakah yang sanggup bekerja atau berkhidmat kepada orang lain sedangkan mereka juga kaya. Golongan kaya terpaksa melakukan sendiri kerja untuk memenuhi keperluan hidup seperti bertani, menternak dan sebagainya.
Dalam masyarakat yang mempunyai taraf hidup yang sama tidak akan wujud orang yang mengharapkan upah daripada orang lain. Jadi, semua orang perlu melakukan sendiri apa yang diperlukan. Jika keadaan itu berlaku, wang tidak mempunyai nilai lagi.
Seperti satu keluarga, golongan kaya perlu membantu orang miskin. Golongan miskin wajar memperoleh sesuatu bentuk sumbangan daripada orang kaya selain daripada upah.
Zakat, sedekah dan hadiah adalah sumbangan yang membuktikan sifat prihatin golongan kaya. Mereka tidak dilalaikan dengan harta kekayaan. Zakat dikeluarkan dengan ikhlas dan lambang ketakwaan membentuk individu yang tidak mementingkan diri.
Institusi zakat bukan sekadar menjadi pengantara menerima zakat daripada pembayar zakat dan kemudian menyerahkan kepada golongan asnaf yang layak menerima zakat. Institusi zakat turut bertanggungjawab menyelia khidmat nasihat meningkatkan pendapatan golongan fakir dan miskin.
Golongan fakir dan miskin tidak wajar dibiarkan sebagai penerima zakat atau sedekah semata-mata. Mereka berpotensi untuk meningkat pendapatan melalui bantuan kewangan, khidmat nasihat, latihan dan motivasi.
Kata pepatah, jika ingin membantu seseorang secara berterusan, jangan berikan ikan, tetapi berikan pancing kepadanya.
Mereka perlu dibangunkan dan dimotivasikan supaya berdikari untuk terus hidup dengan cara memanfaatkan wang agihan sebagai sumber modal. Mereka wajib pula berusaha dan berikhtiar untuk memajukan ekonomi mereka dengan menjana sumber daripada agihan zakat yang diperoleh.
Banyak individu yang asalnya penerima zakat sudah berjaya keluar daripada asnaf zakat, dan mampu pula mengeluarkan zakat mereka sendiri. Jelas sekali institusi zakat berjaya memainkan peranannya sebagai penggerak ekonomi dan kewangan Islam.
Justeru, peranan zakat tidak wajar dipandang remeh. Satu proses meningkatkan peranan institusi zakat di negara kita perlu dilakukan supaya ia tidak hanya tertumpu kepada menerima dan mengagihkan zakat semata-mata.
Pengurusan institusi zakat perlu melalui revolusi untuk bersaing dalam pembangunan ekonomi negara dan membina masyarakat mempunyai keutuhan budaya dan moral. Zakat perlu dimasukkan dalam kerangka perancangan ekonomi negara supaya lebih mendatangkan manfaat.
Sudah tiba masanya institusi zakat diuruskan oleh pakar ekonomi yang dapat memberi nilai tambah terhadap peranan dan kesan yang boleh disumbangkan kepada aktiviti ekonomi negara keseluruhannya, dan tidak hanya dilihat dalam konteks membantu golongan miskin semata-mata.
Saturday, March 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment