Tuesday, March 18, 2008

Perpektif IKIM: Perkemas sistem kewangan Islam

Oleh Mohd Noor Omar

MESRA PELANGGAN: Sistem kewangan Islam menjadi alternatif untuk mengelakkan unsur riba dalam masyarakat.

Kelemahan perundangan, pertikaian, piawaian perlu dipertingkat

PERBANKAN dan kewangan Islam kini diterima sebagai perantara kewangan yang setanding serta memberi sumbangan kepada keseluruhan usaha pembentukan kekayaan, perkembangan dan pembangunan negara selain menjadi keutamaan pihak berurusan dengan kewangan di seluruh dunia.

Namun, ada kejanggalan dalam perkembangan ini apabila sudut perundangan, pertikaian dan piawaian perakaunan kurang diberi perhatian. Isu pembangunan kewangan Islam lebih memberi perhatian kepada pematuhan syariah dan pasaran perkhidmatan berbanding menyediakan satu aturan untuk amalan perundangan dan pelaksanaan piawaian pada peringkat lebih pakar.

Kegagalan rangka perundangan dan piawaian kewangan Islam berupaya membawa kepada kemungkinan tidak patuh syariah. Aturan kewangan berdasarkan muamalah Islam terutama di Malaysia sudah melalui rentetan perkembangan dari semasa ke semasa sehingga mampu bersaing dalam keseluruhan aturan kewangan dalam negeri dan antarabangsa.

Sejak 1980-an, aturan perbankan tanpa faedah diperkenalkan dalam perbankan serta pelaburan, sudah mengilhamkan penubuhan pelbagai institusi perantara dan pelbagai keluaran perkhidmatan baru.

Tidak kurang juga, institusi sedia ada mengalami perubahan dengan menggunapakai pendekatan muamalah Islam dalam pengurusan dan menjadikan kewangan Islam sebagai produk yang setanding produk biasa.

Dengan sokongan pasaran yang memberangsangkan dan keistimewaan aturan kewangan berasaskan landasan syariah sendiri, kini aturan kewangan itu berjaya menguasai penawaran dan permintaan industri.

Pelbagai tanggapan disandarkan kepada pembangunan ini sehingga ada yang mengatakan aturan kewangan Islam hanya menukar pada nama saja tetapi aturan berasaskan kepada faedah/riba masih berleluasa.

Sebenarnya perkara itu mungkin benar pada peringkat awal tetapi perkembangan yang berlaku menidakkan kenyataan ini. Apa yang membimbangkan dalam perkembangan semasa ialah keadaan perundangan dan piawaian semasa tidak mampu memberi sokongan sebenar yang diperlukan oleh aturan kewangan Islam.

Memang diakui pada peringkat awal perkembangan, berlaku Islamisasi ke atas perkhidmatan kewangan Islam daripada aturan biasa (konvensional). Usaha kerajaan melalui Bank Negara berjaya meletakkan aturan kewangan Islam pada peringkat membanggakan.

Masyarakat juga perlu menerima kelemahan yang ada dalam aturan kewangan negara bekas penjajah dan berusaha memperbaikinya dari masa ke semasa. Jika ditinjau, kita dapati perkara sama berlaku dalam persoalan lain juga.

Islam tidak memberi panduan pengurusan terutama kewangan Islam secara terperinci kecuali panduan umum kepada ummah untuk menyelaraskannya dengan keadaan tertentu berasaskan panduan hikmah dan kebijaksanaan yang digariskan oleh perlembagaan al-Quran.

Pasaran modal Islam contohnya, melihat bagaimana perkembangan bon berlaku dengan pemurnian ke atas asas akad daripada berdasarkan faedah kepada faham yang lebih jelas dan telus iaitu perkongsian keuntungan dan risiko.

Akhirnya, pasaran sukuk yang dulunya milikan bon bertukar menjadi satu instrumen baru dan penting dalam pasaran modal Islam. Bon kini lebih dikenali dengan sukuk, manakala Malaysia kini berada pada tahap paling cergas dalam menawarkan hasil itu dengan menguasai kira-kira 62 peratus (kira-kira RM195 bilion) pasaran sukuk pada peringkat antarabangsa.

Kadar perkembangan itu dianggarkan sebanyak 17 peratus bagi jangka masa 2001-2006. Sepanjang Februari dan awal Mac tahun ini, beberapa badan seperti SilTera Malaysia Sdn Bhd., Westport, Kuwait Finance House Bhd, Bank Pembangunan Islam (IDB) dan Bank Negara sendiri menawarkan sukuk dengan jumlah agak besar.

Penawaran itu menunjukkan aturan kewangan Islam sedang meningkat naik. Peningkatan banyak dipengaruhi keyakinan semua pihak terhadap keseluruhan binaan sukuk dan potensinya sebagai sumber pasaran modal yang patuh kepada syariah.

Asas akad sukuk pinggiran seperti sukuk yang diasaskan kepada akad bai' bithamani ajil dan bai' inah cenderung saduran aturan konvensional kini kurang mendapat sambutan. Asas akad seperti ijarah dan musyarakah selari jual beli dan perkongsian dibenarkan Islam mula menjadi keutamaan.

Perkara penting yang ingin diketengahkan di sini ialah wujudnya kejanggalan dalam aturan kewangan Islam. Penumpuan wajar diberikan. Ada dua perkara penting yang perlu diberi perhatian iaitu daripada sudut perundangan serta piawaian perakaunan.

Contohnya, kes berkenaan pertikaian kewangan Islam dirujuk ke Mahkamah Sivil yang lebih memberi tumpuan dan keutamaan kepada peruntukan terma serta syarat akad berbanding melihat sendiri kehendak adil dan ehsan yang menjadi asas utama perundangan Islam.

Tanpa pendedahan dan penguasaan bidang kewangan Islam, kita tidak menolak kemungkinan Mahkamah Sivil akan terlepas pandang beberapa ciri penting muamalah itu sendiri. Satu tribunal khas perlu diwujudkan pada masa terdekat bagi mengatasi masalah ini.

Kita bukan meragui mahkamah tetapi sebagai langkah bijaksana menyokong perkembangan baik kewangan Islam. Kita tidak mahu keputusan kes terdahulu yang kurang sesuai atau gagal mengambil kira unsur berkepentingan dijadikan landasan penghakiman.

Manakala dari segi perakaunan pula, ada sedikit ketidakselarian mengenai cara bagaimana penyata dan penyataan imbangan serta laporan untung/rugi tahunan dilaporkan. Pada dasarnya masih tiada keselarasan.

Dengan mengambil contoh persoalan bagaimana melaporkan Simpanan Pembahagian Untung (Profit Equalization Reserve) dan Simpanan Risiko Pelaburan (Investment Risk Reserve) yang dibuat oleh institusi kewangan boleh mempengaruhi pematuhan kepada syariah.

Kedua-dua simpanan itu jika tidak digunakan hendaklah dikembalikan kepada pencarumnya. Malang sekali semua pihak berkenaan tidak memberi tumpuan ke atasnya dan semua simpanan direkodkan sebagai aset institusi dan akhirnya menjadi milik institusi.

Ada banyak lagi ciri lain selain ringkasan permasalahan yang diketengahkan. Jika mengkaji kedudukan kedua-dua ciri kejanggalan itu, pihak berkenaan perlu menyediakan pendekatan tertentu supaya kelicinan aturan kewangan Islam dapat diperbaiki dan dipertingkatkan.

Dengan langkah itu, permasalahan kejanggalan ketara mampu diatasi. Pendekatan ini juga dapat menjadi pemacu kepada kelancaran aturan kewangan secara keseluruhan. Walaupun ada beberapa ketidakselarian yang mungkin tidak dapat dielakkan seperti perbezaan pandangan mazhab yang memberi kesan langsung, persoalan ini bagaimanapun tidaklah ketara dan sedikit demi sedikit sudah diubah oleh kecenderungan pasaran.

INTI PATI

Pasaran modal Islam membabitkan perkembangan bon berlaku dengan pemurnian ke atas asas akad daripada berdasarkan faedah. Ia membabitkan perkongsian keuntungan dan risiko.

Pasaran sukuk yang dulunya milikan bon bertukar menjadi satu instrumen baru dan penting dalam pasaran modal Islam. Bon kini lebih dikenali dengan sukuk.

Institusi sedia ada mengalami perubahan dengan menggunapakai pendekatan muamalah Islam dalam pengurusan.

No comments: