Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
AMANAH berasal daripada akar kata bahasa Arab, 'iman'. Ini bermakna sifat amanah mempunyai hubungan rapat dengan iman seseorang. Dalam erti kata lain, orang yang beriman pasti memiliki sifat amanah, manakala orang yang tidak amanah bererti tidak ada kesempurnaan iman dalam dirinya.
Allah berfirman bermaksud: "Wahai orang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfal, ayat 27)
Dalam pada itu, Rasulullah SAW juga menegaskan dengan sabdanya bermaksud: "Tiada iman (sempurna) bagi orang yang tidak memegang amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak dapat dipegang janjinya." (Hadis riwayat Ahmad dan Dailami)
Sifat amanah adalah sifat wajib dijelma dan diterjemahkan dalam realiti kehidupan semasa kerana orang yang memegang amanah dituntut menunaikan dan menyampaikan kepada orang yang berhak menerimanya.
Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah itu sentiasa Maha Mendengar lagi sentiasa Maha Melihat." (Surah al-Nisa', ayat 58)
Selanjutnya, sifat amanah akan menjadi kayu pengukur bagi keimanan seseorang, sekali gus adalah kriteria utama yang melayakkannya memikul sesuatu tanggungjawab. Jika sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang tidak beramanah, maka berlakulah amalan pecah amanah.
Perkara seumpama itu berlaku kerana orang yang tidak amanah adalah seorang yang tidak profesional dan tidak jujur dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: "Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran. Seorang sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu? Ujar Rasulullah: Iaitu menyerahkan sesuatu urusan kepada orang yang bukan ahlinya. Oleh itu, tunggulah saat-saat kehancurannya." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Dalam hal ini, pemimpin contohnya sewajarnya bersifat amanah dan jujur dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab diamanahkan rakyat kepada mereka kerana ini termasuk sebahagian daripada pengertian amanah dalam Islam.
Oleh itu, seseorang pemimpin dilarang sama sekali mengamalkan dasar kronisme, nepotisme dan rasuah serta mengeksploitasi jawatannya untuk kepentingan peribadinya dalam urusan pentadbiran mereka. Bahkan, seorang pemimpin dilarang mengamalkan perasaan pilih kasih atau hubungan kerabat kerana ia termasuk dalam erti perbuatan khianat yang terlarang.
Khianat adalah lawan kepada sifat amanah. Sifat khianat biasanya wujud pada orang yang kurang beriman. Lebih jelas lagi, sifat khianat adalah ciri orang munafik yang disifatkan sebagai orang yang melanggar janjinya dan menodai kepercayaan tersemat dalam jiwanya.
Malah Allah melabelkan orang yang khianat sebagai sejahat-jahat makhluk yang amat dimurkai Allah.
Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya sejahat-jahat (makhluk) yang melata di sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya) sebab mereka tidak mahu beriman. (Iaitu) orang yang engkau mengikat perjanjian setia dengan mereka kemudian mereka mencabuli perjanjian setianya pada setiap kali sedang mereka tidak mahu memelihara dirinya (dari keaiban mencabuli perjanjian itu)." (Surah al-Anfal, ayat 55-56)
Jelas di sini sifat khianat adalah sifat yang keji dan dimurkai di sisi Allah kerana sifat itu berbahaya jika dibiarkan merebak dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Akibat sifat keji itu bukan hanya menimpa pada orang yang melakukan khianat, malah ia turut memberi kesan buruk kepada orang yang dikhianati dan masyarakat sekelilingnya.
Perlu ditegaskan, apabila sifat khianat terserlah dalam diri seseorang, bererti dia sudah kehilangan sifat amanah. Sebabnya, sifat amanah dan khianat tidak mungkin bersatu dan bersama pada satu masa dalam diri seseorang.
Rasulullah SAW menegaskan dalam sabdanya bermaksud: "Tidak mungkin berkumpul iman dan kufur dalam jiwa seseorang dan juga tidak mungkin pula bersatu sifat jujur dan dusta padanya sekali gus seperti tidak mungkin bersama sifat khianat dan amanah padanya dalam satu masa." (Hadis riwayat Ahmad)
Sifat amanah wajib dihiaskan dalam setiap peribadi Muslim, terutama pemimpin dan ketua jabatan yang dilantik. Dengan sifat amanah, diharapkan tugas diberikan dapat dilaksanakan dengan baik dan dapat memacu kecemerlangan serta menjamin kesejahteraan hidup rakyatnya.
Saturday, March 8, 2008
Khianat dalam tanggungjawab undang kehancuran umat
Labels:
(A) Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi,
Amanah,
Khianat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment