Saturday, March 1, 2008

Kepentingan calon berpendidikan agama

Oleh Hasliza Hassan

BN tampil muka baru berwibawa, profesional bagi meneruskan gagasan Islam Hadhari

HANYA tinggal seminggu lagi 10.5 juta pemilih berdaftar akan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 kali ini dan sudah semestinya, mereka akan membuat pilihan berdasarkan selera masing-masing.

Sejarah politik tanah air menunjukkan faktor keperibadian calon antara menjadi pilihan pengundi apatah lagi jika seseorang itu mempunyai tingkah laku yang bersesuaian dengan budaya ketimuran.

Lebih menarik perhatian ialah jika calon itu menyerlah dari segi pencapaian dalam bidang akademik dan disegani pula kerana penampilan serta latar belakang ilmu agama dimiliki. Pastinya, perhatian lebih akan diberi kepada mereka.

Mengikut arus yang mempengaruhi kehidupan masyarakat, Barisan Nasional (BN) bukan saja mengekalkan calon kalangan profesional berlatar belakang pendidikan agama, malah menambah ramai muka baru daripada latar belakang yang sama dalam senarai calon pilihan raya umum kali ini.

Hakikatnya, calon berlatar belakang pendidikan agama yang memiliki kebolehan untuk memimpin sudah sebati dalam kepemimpinan negara dan diberi kepercayaan menerajui jabatan yang bertanggungjawab menguruskan keperluan keagamaan.

Pastinya nama seperti Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman dan Tan Sri Dr Yusof Noor yang masih kekal berkhidmat kepada negara adalah bukti nyata pentingnya golongan berpendidikan agama dalam barisan kepemimpinan.

Bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi, Wan Mokhtar adalah Menteri Besar Terengganu paling lama berkhidmat bermula dari 1974 hingga 1999 dan pastinya tempoh itu berikutan kepercayaan rakyat serta pemimpin negara terhadap kewibawaan beliau.

Lulusan Fakulti Ilmu Agama dari Universiti al-Azhar Mesir itu yang terbabit secara aktif dalam Umno sejak 1963 dipilih sebagai calon Parti Perikatan pada pilihan raya umum 1964 untuk Parlimen Kemaman.

Beliau yang bertanding menentang calon parti Front Sosialis, Wan Hamid Wan Ibrahim menang dengan majoriti 7,081 undi. Selepas itu beliau terus terpilih sebagai calon dan menang dalam lapan lagi pilihan raya.

Bagaimanapun, pada Pilihan Raya Umum 1999, beliau yang dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai, kalah kepada calon Pas, Awang Jusoh dengan perbezaan sebanyak 436 undi.

Ketokohan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Abdul Hamid Othman, tidak boleh disangkal kerana beliau adalah antara tokoh agama yang disegani pada peringkat antarabangsa dan pihak yang bertanggungjawab memastikan kejayaan penganjuran Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa di Malaysia.

Beliau yang juga lulusan dari Universiti al-Azhar Mesir dalam jurusan Undang-undang Islam dan memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) bidang Syariah dari Universiti St Andrew's Scotland adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Beliau yang memulakan karier sebagai guru di Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan Islam di Kementerian Pelajaran sebelum dilantik menjadi Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada 1984.

Pembabitan beliau sebagai ahli politik bermula apabila dipilih menjadi calon BN untuk Parlimen Sik pada Pilihan Raya Umum 1990, menewaskan calon Semangat 46, Datuk Zainal Abidin Johari dengan majoriti 8,329 undi.

Selepas memenangi pilihan raya itu, Abdul Hamid dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan apabila menang sekali lagi pada pilihan raya berikutnya, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau yang dicalonkan untuk Parlimen Sik buat kali ketiga pada Pilihan Raya Umum 1999 bagaimanapun dikalahkan calon Pas, Datuk Shahnon Ahmad, dengan majoriti 478 undi.

Pengerusi Felda yang juga Pengerusi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Yusof Noor yang juga lulusan Universiti al-Azhar mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1986 untuk Parlimen Setiu dan pada 1990, beliau bertanding di Parlimen Besut.

Anak kelahiran Kampong Raja, Besut, Terengganu itu kemudian dicalonkan untuk bertanding di tempat kelahirannya pada Pilihan Raya Umum 1995 sebelum dicalonkan semula ke Parlimen Besut pada pilihan raya 1999 dan tewas kepada calon Pas, Hassan Mohamed.

Selain menjadi wakil rakyat, Dr Yusof pernah memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Pengerusi Jawatankuasa Baitulmal Wilayah Persekutuan dan Menteri Perusahaan Awam dan menerajui Felda sejak Julai 2001 hingga kini.

Ironinya, ketiga-tiga tokoh ini tewas pada Pilihan Raya Ke-10 itu, tetapi BN tidak ketandusan tokoh berpendidikan agama untuk diketengahkan selepas itu.

Ini termasuk Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, bekas Ketua Pengarah Pusat Islam Malaysia (DUN Melor) dalam Parlimen Peringat (kini Ketereh) dan Datuk Mustafa Taib yang berlatar belakangkan agama dan pernah menjadi panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan Malaysia yang bertanding di DUN Chetok.

Turut dicalonkan, Ketua Wanita Umno Kubang Kerian, Zaleha Hussin yang juga seorang ustazah bertanding di DUN Salor dalam kawasan Parlimen Pasir Mas. Bagaimanapun, kehadiran mereka tidak dapat memenangi hati pengundi di Kelantan ketika itu.

Pada 2004, BN mengemukakan calon muka baru yang berjaya menewaskan lawan masing-masing antaranya Pensyarah Jabatan al-Quran dan Sunnah, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Mashitah Ibrahim di Kedah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin di Perak.

Di Selangor, BN meletakkan bekas Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Amran Kasimin sementara di Parlimen Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat parti Keadilan, bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail dipertaruhkan untuk menentang Datin Seri Dr Wan Azizah.

Pada pilihan raya umum kali ini, BN mengekalkan beberapa calon aliran agama iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin (Besut); Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Che Min Che Ahmad, Khazan Che Mat (Batu Rakit) yang mempunyai ijazah bahasa Arab dan syariah dari universiti di Jordan.

Turut mengiringi calon sedia ada, BN mengetengahkan muka baru yang dilihat memiliki kewibawaan yang pasti menambat hati pengundi dan memastikan kelangsungan memperjuangkan ajaran Islam diteruskan barisan pemimpin muda.

Mereka ialah Mohd Afandi Yusuff, calon kerusi Parlimen Rantau Panjang, Penyelaras Program Institut Kewangan dan Perbankan Islam Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Asraf Wajdi Dusuki yang akan bertanding di Parlimen Tumpat.

Muka baru diperkenalkan BN Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir (Marang) dan di Perak, Mohd Nizar Zakaria, graduan bidang pendidikan dari Institut Agama Islam Negeri Padang, Indonesia bertanding Parlimen Parit.

Pendekatan Islam Hadhari yang bermatlamat mengajak umat Islam menghayati 10 prinsip berteraskan ajaran al-Quran dan sunnah memerlukan pengalaman mereka yang memiliki latar belakang kepemimpinan bersifat global.

Dalam erti kata lain, mereka bukan saja mempunyai ilmu pengetahuan, malah mampu mengaplikasi ilmu yang ada dalam sistem pentadbiran bagi memenuhi keperluan semasa masyarakat dan negara serta memikirkan kaedah terbaik menangani cabaran yang datang.

Justeru, penampilan calon baru dengan semangat serta jiwa segar diharap dapat membantu kerajaan menjayakan gagasan Islam Hadhari menggunakan kuasa politik yang ada untuk membangunkan Islam secara bijaksana.

INFO: Ketokohan calon BN berpendidikan agama

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Abdul Hamid Othman disegani pada peringkat antarabangsa pernah menjadi calon BN untuk Parlimen Sik pada Pilihan Raya Umum 1990.

Pengerusi Felda yang juga Pengerusi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Yusof Noor yang juga lulusan Universiti al-Azhar pernah memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Pengerusi Jawatankuasa Baitulmal Wilayah Persekutuan dan Menteri Perusahaan Awam dan menerajui Felda sejak Julai 2001 hingga kini pernah bertanding bagi Parlimen Setiu (1986) dan Besut (1990, 1999).

Datuk Mustafa Taib yang berlatar belakang agama dan pernah menjadi panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan Malaysia bertanding di DUN Chetok.

Ketua Wanita Umno Kubang Kerian, Zaleha Hussin yang juga seorang ustazah bertanding di DUN Salor dalam kawasan Parlimen Pasir Mas.

Pensyarah Jabatan al-Quran dan Sunnah, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Mashitah Ibrahim di Kedah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin di Perak.

Bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail bertanding Parlimen Permatang Pauh.

1 comment: