Friday, February 29, 2008

Jemaah lega bakal dapat masjid baru

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar

MASJID adalah institusi tertinggi dan paling mulia dalam Islam, tidak hanya kepada urusan ibadat semata-mata, malah sebagai pusat yang menjana kecemerlangan umat Islam. Masjid juga mempunyai pelbagai fungsi, termasuk sebagai pusat hal ehwal kemasyarakatan dan keilmuan.

Justeru, biarpun terpaksa menunggu hampir empat tahun, penduduk Kampung Permatang Duyong, Melaka menarik nafas lega apabila impian mereka untuk memiliki masjid akhirnya menjadi kenyataan.

Majlis pecah tanah dan pelancaran bagi pembinaan Masjid Permatang Duyong ini disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di tapak yang diwakafkan oleh penduduk kampung berkenaan, Allahyarham Wahab Hassan yang meninggal dunia pada 2004.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Yunos Husin; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, Ab Wahab Ab Latip; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, Datuk Alias Md Saad dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Duyong, Gan Tian Loo.

Pengerusi Penaja Lembaga Masjid Permatang Duyong, Mejar (B) Borhanudin Yaakob, berkata pembinaan masjid itu adalah antara projek diluluskan pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), membabitkan kos RM2.4 juta.

Beliau berkata, masjid itu dibina atas tanah seluas 0.4 hektar dan boleh menampung kapasiti seramai 1,500 jemaah dalam satu masa. Pembinaannya dijangka siap pada April 2009.

“Kepadatan penduduk Kampung Permatang Duyong ketika ini tidak mampu menampung surau sedia ada yang sudah dinaik taraf yang hanya mampu memuatkan sehingga 600 jemaah pada satu masa.

“Masjid sebenarnya bukan saja tempat umat Islam bersolat tetapi peranannya perlu diperluaskan seperti institusi masyarakat. Dengan terbinanya masjid ini, penduduk diminta memanfaatkannya untuk melakukan kegiatan berfaedah seperti kelas fardu ain, kegiatan pendidikan dan sumber maklumat,” katanya mengharapkan masjid baru yang dibina kerajaan negeri itu mampu menarik minat golongan muda.

Isteri Allahyarham Wahab, Rasimah Sabtu, 78, ketika ditemui berkata, beliau bersyukur dan gembira kerana hasrat suaminya mewakafkan tanah berkenaan untuk dibina masjid di Kampung Permatang Duyong dicapai.

“Saya sungguh bangga pada hari ini. Inilah hajat suami saya ketika dia masih hidup. Walaupun tidak sempat melihatnya, tetapi cita-citanya untuk mewakafkan tanah kami bagi dibina sebuah masjid dicapai juga akhirnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, kerajaan negeri komited untuk membina kemudahan masjid selesa sebagai tempat beribadat. Pada RMK-9 kerajaan negeri meluluskan pembinaan serta menaik taraf 10 masjid baru membabitkan kos kira-kira RM29.2 juta.

“Sehubungan itu, saya berharap supaya peruntukan yang diluluskan kerajaan dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan dan seterusnya kemudahan ini dapat digunakan umat Islam. Kerajaan negeri membina masjid bukan untuk bermegah tetapi membinanya untuk dimakmurkan dan dijadikan tempat membangun syiar Islam,” katanya.

No comments: