Oleh Mohd Ayop Abd Razid
CIRI utama kehidupan seorang Muslim ialah sentiasa menjaga akhlak dan adab sopan. Akhlak dan kesopanan adalah pakaian seorang mukmin sejati. Justeru, kempen pilihan raya bukannya masa untuk kita menanggalkan akhlak dan adab sopan.
Antara anggota badan yang paling banyak digunakan dalam kempen pilihan raya adalah lidah untuk tutur bicara. Calon dan penyokong parti akan menggunakan lidah sepuas-puasnya untuk menarik sokongan dan kepercayaan pengundi dengan menabur pelbagai janji manis.
Menjanjikan sesuatu yang baik kepada rakyat tidak salah, malah itulah yang sewajarnya, tetapi bukan janji kosong dan palsu. Ia juga bukan medan untuk menghamburkan tutur bicara sesuka hati tanpa kawalan sehingga menimbulkan bibit perpecahan serta kebencian sesama rakyat.
Lidah adalah nikmat kurniaan Allah dan sebaik-baik fungsi lidah ialah digunakan untuk berzikir kepada Allah atau melakukan kerja dakwah iaitu menyeru manusia kepada kebaikan dan kebenaran seperti firman Allah bermaksud: "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (agama-Nya) serta beramal salih serta berkata, "saya salah seorang Muslim." (Sural al-Fushilat, ayat 33)
Di sebalik kebaikannya, lidah juga boleh membawa kebinasaan kepada pemiliknya juga manusia lain. Medan pertuturan lidah tidak ada sempadan. Jika baik penggunaannya, maka baiklah natijahnya, tetapi jika buruk penggunaannya, maka buruklah natijahnya.
Justeru, keghairahan berkempen tanpa mengawal tutur bicara boleh menyebabkan pelbagai implikasi bukan saja kepada pemilik lidah, malah anggota masyarakat. Disebabkan lidah yang tidak terkawal boleh membawa perpecahan, benci membenci, permusuhan, fitnah memfitnah dan api perkauman.
Ketika berkempen (berceramah) lidah akan berputar ligat di hadapan pendengar menjanjikan yang manis-manis yang pada hakikatnya mungkin adalah kepalsuan atau pembohongan. Tidakkah pembohongan dan kepalsuan itu satu dosa yang terbit daripada lidah yang tidak bertulang?
Paling buruk yang mungkin berlaku dalam tempoh berkempen ialah kegagalan mengawal lidah daripada mengeluarkan fitnah dan hasutan. Lidah kedua-dua pihak (parti) yang cabar mencabar boleh menjadi panas dan akhirnya mencetuskan pertelingkahan atau pergaduhan.
Ketika berceramah atau berkempen ramai calon atau penyokong parti gagal mengawal perasaan lalu terhamburlah caci-maki dan tuduh-menuduh.
Sebaiknya, mereka yang dicaci atau difitnah mendiamkan diri daripada membalas cacian. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Diam itu adalah suatu hukum dan amat sedikit orang yang melakukannya." (Hadis riwayat Abu Mansurad-Dailani daripada Ibn Umar)
Tempoh berkempen pilihan raya perlu dihiasi dengan akhlak mulia, tutur bicara beradab dan bersopan. Sentiasalah ingat pesan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang mengawal lidahnya daripada memperkata kehormatan orang lain, maka Allah akan menutup kecelaannya."
Fitnah adalah perbuatan melempar tuduhan keburukan terhadap seseorang tanpa bukti dan asas kukuh. Fitnah dan mengadu domba (namimah) biasanya seiringan. Justeru, ia wajib dijauhi kerana kesannya amat buruk sekali.
Rasulullah SAW pernah bertanya sahabatnya: "Adakah aku belum pernah menerangkan kepadamu orang yang paling jahat daripada kamu?" Sahabat menjawab: "Belum!", lalu Nabi bersabda bermaksud: "Mereka yang berjalan ke sana ke mari membawa fitnah, mereka yang membuat kerosakan antara sesama sahabat dan mereka yang mencari-cari kekurangan pada orang yang tidak bersalah." (Hadis riwayat Ahmad)
Oleh itu, jangan jadikan kempen pilihan raya medan atau kesempatan untuk menabur fitnah. Semua lisan keji itu dilarang dan dicela oleh agama. Kata-kata keji tidak seharusnya keluar daripada lidah mereka yang mengaku mukmin. Berjanjilah kepada rakyat sesuatu yang baik dan mampu dikotakan serta berpijak di bumi nyata.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment