Oleh Tuan Sidek Tuan Muda
MASYARAKAT Arab Makkah ketika dibangkitkan Rasulullah SAW adalah daripada keturunan Nabi Ismail, anak kepada Nabi Ibrahim. Mereka pada zaman sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW sudah beriman dengan Allah dan mematuhi agama-Nya berdasarkan syariat Nabi Ibrahim.
Mereka mentauhid dan menyembah Allah yang Esa, tidak menyekutukan-Nya dengan sebarang makhluk serta melaksanakan syariat-Nya seperti sembahyang dan puasa. Mereka juga menjaga dan memelihara Kaabah sebagai tempat suci. Begitulah orang Arab Makkah melaksanakan agama Allah.
Dengan berlalunya zaman demi zaman, kurun demi kurun, orang Arab mula mencampuradukkan yang betul dengan yang salah. Kebenaran yang mereka pusakai daripada nenek moyang diadukkan dengan kebatilan yang datang dengan tidak disedari, justeru menjadi cacat dan tercelalah seluruh bangsa Arab.
Mereka diselubungi kejahilan, hanyut dan sesat bersama orang yang terpukau dan terpedaya dengan kepalsuan. Dengan itu, menyusup masuk syirik ke dalam masyarakat mereka dan akhirnya menyembah berhala menjadi kebiasaan.
Mereka mula jauh daripada suluhan tauhid dan ciri agama Allah yang sebenar. Akhirnya, selepas satu jangka masa panjang menyeluruhlah kejahilan yang sangat sukar dihapuskan. Selepas itu, dibangkitkan Rasulullah SAW untuk menghapus kejahilan dan membawa cahaya ilmu pengetahuan menerangi bumi sehingga mereka kembali menjadi bangsa yang hebat dan berjaya menguasai dunia.
Tercatat dalam Fiqh al Sirah al Nabawiyyah (al Buti 1994), pencetus syirik menyembah berhala di bumi Makkah ialah Amru ibnu Luhay. Ibnu Hisyam meriwayatkan, cara Amru ibnu Luhay memulakan penyembahan berhala di Makkah.
Beliau ialah seorang saudagar. Pada satu ketika, beliau pergi ke Syam kerana urusan perniagaan dan melalui satu kawasan yang didiami suku Amaliq. Amru melihat mereka menyembah berhala lalu bertanya mengenai benda yang mereka sembah itu
Suku Amaliq menjelaskan, mereka menyembah patung berhala. Mereka sembahyang meminta hujan, hasilnya patung itu menurunkan hujan. Mereka minta pertolongan lalu patung itu memberi pertolongan.
Amru meminta supaya diberikan kepadanya salah satu berhala itu untuk dibawa pulang ke bumi Makkah supaya mereka menyembah seperti disembah suku Amaliq. Mereka memberikan kepada Amru berhala yang dinamakan Hubal. Berhala itu dibawa pulang ke Makkah dan bermulalah episod penyembahan berhala di Makkah.
Begitulah cara bermula dan berkembangnya penyembahan berhala di Tanah Arab. Bertukarlah keadaan asal mereka yang dulunya berada di atas akidah tauhid pusaka daripada Ibrahim dan Ismail kepada kepercayaan syirik dan akhirnya sampai ke peringkat sesat seperti bangsa lain yang sesat.
Al Buti dalam kitabnya itu menjelaskan, sebab utama mudahnya orang Arab ketika itu yang berada di atas landasan benar bertukar menyembah berhala ialah kerana ketandusan ilmu pengetahuan dan buta huruf.
Ilmu pengetahuan adalah perkara sangat penting dan mesti dititikberatkan setiap bangsa yang ingin sejahtera dunia mahupun akhirat. Ketika Rasulullah SAW dibangkitkan, Baginda sangat menekankan kepentingan ilmu pengetahuan bahkan wahyu yang pertama diturun iaitu Iqra' (Bacalah).
Ia menunjukkan tuntutan menuntut ilmu. Ada banyak ayat al-Quran dan hadis menerangkan mengenai pentingnya ilmu. Firman Allah bermaksud: "Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?" (Surah al Zumar, ayat 9)
Firman Allah lagi bermaksud: "Supaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat." (Surah alMujadalah, ayat 11)
Begitu juga hadis Rasulullah SAW melalui sabdanya bermaksud: "Dan sesiapa yang merentasi satu jalan untuk mencari ilmu, Allah mempermudahkan kepadanya satu jalan ke syurga." (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Baginda lagi bermaksud: "Dunia adalah tempat tercela dan semua benda di dalamnya adalah tercela kecuali zikir kepada Allah dan segala yang mentaati Allah, orang alim dan penuntut ilmu." (Hadis riwayat al Tirmizi)
Itulah antara ayat al-Quran dan hadis yang menjelaskan kelebihan ilmu dan orang yang berilmu. Ilmu adalah tunggak kekuatan sesuatu bangsa. Jatuh bangun sesuatu bangsa bergantung kepada sejauh mana mereka berilmu dan pada masa sama mempraktikkan ilmu berkenaan.
Dengan keilmuan yang lemah, seseorang atau sesuatu bangsa akan mudah dipermainkan oleh syaitan dan musuh Islam seperti yang berlaku ke atas penduduk Makkah, apatah lagi di zaman moden yang penuh mencabar ini.
Era globalisasi yang tidak mengenal batas sempadan, ajaran sesat, pengaruh jahat dan liar, anasir buruk bertentangan dengan Islam begitu meluas dan mudah sampai ke dalam masyarakat. Dalam masa yang sama, ia begitu sukar untuk disekat dan dihapuskan.
Benteng pertahanannya tidak lain dan tidak bukan melainkan keilmuan mencukupi bagi mempertahankan diri. Dengan ilmu saja dapat dibezakan antara hak dan batil.
Benarlah pepatah Melayu yang berbunyi 'ilmu itu pelita hidup'. Sifat pelita yang menerangi kegelapan malam pekat samalah dengan ilmu yang menyinari kehidupan dan menjadi pembeza antara betul dengan salah.
Apa yang berlaku ke atas orang Arab Makkah perlulah diinsafi dan diambil pengajaran. Mudah-mudahan ia memberikan panduan berguna dalam membina satu masyarakat yang cemerlang dan terbilang serta seimbang dunia akhirat. Semoga sejarah itu tidak berulang kepada kita.
Penulis ialah Pensyarah Pengajian Islam, Universiti Kuala Lumpur City Campus
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment