Oleh Mazliyadi Md Nor
CARA beribadat ditentukan oleh Allah yang ditunjuk kepada manusia melalui Rasul-Nya. Justeru, tiada siapa yang boleh mereka cara bagaimana hendak melakukan ibadat sesuka hati berdasarkan fikiran, apalagi mimpi.
Ibadat dalam Islam hanya berhak ditunjuk ajar oleh Rasul-Nya dan mesti melalui wahyu (al-Quran). Oleh itu, ibadat yang dilakukan manusia tanpa melalui kaedah ini adalah tertolak. Seperti mana sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak." - (Hadis sahih riwayat Muslim)
Amalan ajaran sesat dapat dikesan atau difahami apabila ia bertentangan dengan prinsip Islam. Malah, cara mereka melakukan ibadat juga jelas bertentangan dengan apa yang diajarkan Rasulullah SAW.
Fenomena ajaran sesat merbahaya kerana ia merosakkan akidah umat Islam dan dalam cabaran dunia hari ini, penyebaran ajaran sesat berlaku melalui pelbagai cara serta pendekatan hingga membuat masyarakat mudah tertarik kepadanya.
Oleh itu, langkah terbaik dan sewajarnya perlu diambil oleh setiap Muslim dengan mempelajari serta mengamalkan ajaran Islam berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas daripadaku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama), kerana setiap yang diada-adakan itu bid'ah dan setiap yang bid'ah itu sesat." - (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Jelas daripada pesanan Rasulullah SAW bahawa jalan agama yang perlu difahami dan dijadikan pegangan adalah yang berpandukan kepada al-Quran dan sunnah. Selain itu, cara memahami al-Quran dan sunnah adalah seperti yang difahami para sahabat yang dipimpin sendiri baginda Rasulullah SAW.
Kemunculan ajaran sesat bukan perkara baru tetapi yang menghairankan, walaupun sudah dibuktikan bahawa ajaran itu bersalahan serta bertentangan dengan Islam, masih ramai menjadi pengikut kepada ajaran sesat.
Sesungguhnya Rasulullah SAW sudah berpesan mengenai gejala ajaran sesat yang bukan saja melanda umat Islam tetapi juga berlaku kepada penganut agama lain yang berpecah belah dalam mencari kebenaran agama mereka.
Sewajarnya, umat Islam tidak mudah terpedaya dengan janji pengamal ajaran sesat kerana Rasulullah SAW sudah memberi jaminan bahawa umat Islam akan selamat dan masuk syurga jika mereka mengikut ajaran serta amalan yang ditunjukkan baginda.
Allah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - (Surah Ali Imran, ayat 31)
Umat Islam perlu sentiasa mengambil tindakan berhati-hati dan banyak melakukan penyelidikan mengenai sesuatu ajaran yang diperkenalkan. Dengan cara itu, mereka dapat mengelak daripada terjebak dengan ajaran sesat.
Pada masa sama, belajar daripada mereka yang berilmu dan sebarang kemusykilan perlu mendapat penjelasan daripada pihak berkuasa. Begitu juga dengan pemilihan buku agama, hendaklah pandai memilih penulis yang benar kefahaman agama mereka walaupun metodologi penyampaian mungkin berbeza.
Sememangnya kita digalak menuntut ilmu dan memperbanyakkan amalan untuk mendapat keredaan Allah tetapi biarlah ilmu yang dituntut adalah ilmu yang benar dan amalan yang dilakukan tidak menyimpang daripada ajaran Islam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment