STATISTIK amalan salah guna dadah, tabiat merokok, terbabit dalam salah laku sosial, menjadi tamu di Pusat Serenti, musibah AIDS/HIV, jenayah juvana, perbuatan merempit amat membimbangkan. Walaupun banyak usaha dibuat pelbagai pihak, kadarnya tidak turun dengan cepat, malah dalam beberapa sektor perlakuan, ia menampakkan tanda peningkatan.
Agenda pembinaan generasi menjadi sesuatu yang penting dijadikan fokus. Jenis manusia atau modal insan yang dibangunkan kini mencerminkan corak kepemimpinan masa depan dalam semua sektor.
Cabaran masa depan tidak saja menyangkut mengenai kualiti manusia yang berilmu dan berketrampilan tetapi cabaran yang lebih sengit menyentuh faktor keinsanan itu sendiri.
Insan yang cair akhlak dan runtuh jalan berfikir menyebabkan berlaku kecelaruan dan kerosakan yang bakal menjadi beban negara.
Generasi muda sepatutnya menjadi aset kepada negara. Dalam lingkungan umur 20-an dan 30-an, mereka akan menjadi beban kepada negara sekurang-kurangnya untuk 30 tahun akan datang.
Bayangkan belanja yang diperlukan untuk negara menggalas beban itu dan kesan sosial yang bakal menimpa akibat wujudnya gejala negatif di tengah masyarakat. Penting diteliti faktor menyebabkan berlaku masalah sosial yang begitu parah supaya generasi berikutnya tidak terjebak dalam kilasan ganas yang membahayakan generasi hari depan. Bayangkan cabaran hari depan yang semakin rencam dengan kerapuhan jiwa generasi muda bakal meminggirkan umat Islam dalam kancah bencana yang boleh memberi kesan terhadap kelangsungan perjuangan masa depan.
Pendekatan membangun dan meruntuh harus ditinjau dengan serius. Jika tidak, banyak masa, tenaga dan wang yang terpaksa digunakan sedangkan hasilnya tidak sebanyak mana. Harus ada pendekatan bersepadu pada peringkat keluarga, sekolah, media cetak dan elektronik, agensi pembuat dan pelaksana dasar serta penganjur agenda persembahan hiburan melampau.
Ibu bapa harus ada tanggungjawab kekeluargaan memberikan kasih sayang dan budaya keluarga yang berkualiti, sentuhan keinsanan bermutu, daya komunikasi tinggi supaya anak tidak cicir dan bakal menimbulkan masalah di sekolah dan dalam masyarakat.
Sekolah perlu menjadi agen penerus untuk membangunkan minda, watak dan sahsiah pelajar supaya dengan ilmu berteraskan nilai, latihan membentuk sikap, kecemerlangan memberikan kekebalan rohaniah mampu menjadi generasi muda yang memahami erti hidup dan makna perjuangan.
Masyarakat perlu menawarkan contoh terbaik supaya gelagat masyarakat menjadi sumber ikutan yang baik dan perasaan ambil tahu serta nasihat-menasihati menjadi subur supaya sikap prihatin terhadap pembinaan generasi muda sentiasa menjadi kepekaan setiap orang.
Ejen membawa perubahan seperti media cetak dan elektronik memerlukan kawalan seimbang supaya pembentukan minda dan watak generasi muda lahir daripada program yang bermanfaat, mampu membangunkan keinsafan dan kesedaran tinggi bahawa jati diri umat harus dipelihara serta semangat perjuangan harus tersemai dengan baik.
Ia menuntut penampilan program lebih asli dan kreatif, bukan lahir daripada daya ciplak program Barat yang tidak sesuai dengan generasi muda beragama Islam. Mementingkan pulangan komersial secara tidak sihat hingga mengabaikan etika boleh menyebabkan kerugian jangka panjang terhadap generasi muda yang bakal ditanggung semua.
Orientasi pendidikan dalam keluarga, sekolah, masyarakat, ejen perubahan yang pelbagai perlu menjurus ke arah membangun generasi berkualiti. Di tengah kepentingan ilmu dan bina insan berkualiti untuk menghasilkan generasi kompetitif serta berdaya maju, perlu wujud keinsafan yang mendalam di kalangan penggubal dan pelaksana dasar supaya fokus pembangunan minda, ketahanan rohaniah dan ketangkasan jasmani sewajarnya menjadi faktor asas dalam sistem pendidikan.
Tajdid ilmu dan pendidikan perlu dijadikan agenda utama dalam memperkasa modal insan berkualiti.
Ilmu yang dikembangkan sifatnya bersatu, berdiri atas faktor nilai, diolah secara kreatif dan mampu menyuburkan keupayaan berfikir serta dapat mengaitkan faktor ghaib dengan petanda kebesaran Allah secara saintifik.
Pendekatan mekanistik dalam pendidikan harus diimbangi dengan faktor keinsanan yang sifatnya rohaniah dan memancarkan kualiti jujur, amanah, ikhlas, adil, timbang rasa, cerdik dan cemerlang dalam amalan supaya faktor teknologi sentiasa dilihat sebagai alat, bukan matlamat.
Asas ini bakal mengembangkan faktor teknologi tinggi yang membawa sentuhan keinsanan dalam membangun generasi cemerlang dan beradab. Meneliti kebangkitan umat masa lalu, fokus kepada pembangunan generasi muda adalah sesuatu yang diutamakan.
Sasaran musuh Islam melumpuhkan minda dan hati mereka ialah dengan menimbulkan kelalaian, hilang kekebalan terhadap tradisi dan ajaran agama yang mendukung pembangunan akhlak insan.
Faktor akhlak menjadi risalah kenabian dan ia perlu menjadi asas penting pembangunan generasi.
Tuesday, February 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment