Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
SAFAR adalah bulan kedua dalam kalendar Islam. Dalam bahasa Arab, safar bermaksud kosong. Menjadi kebiasaan orang Arab, pada Safar mereka meninggalkan rumah dan kampung halaman mereka kerana melaksanakan tugas penting seperti berperang, menuntut bela kematian saudara dan berdagang.
Dalam lipatan sejarah Islam, Safar juga mencatatkan pelbagai peristiwa besar dan penting yang sewajarnya menjadi bahan renungan bersama setiap Muslim antaranya, pernikahan Rasulullah SAW dengan Khadijah binti Khuwailid.
Peristiwa itu berlaku sebelum Nabi SAW dilantik menjadi Rasul. Bulan Safar juga menyaksikan kebenaran berperang yang berlaku pada tahun kedua hijrah. Peperangan pertama yang disertai Rasulullah SAW adalah Wudan atau Abwa’ bagi menentang kekufuran.
Seterusnya, peperangan Bi’r Ma’unah juga berlaku pada tahun keempat hijrah, menerusi pimpinan al-Munzir bin ‘Amr As Sa’idi yang ditugaskan untuk berdakwah serta mengajar agama Islam dan al-Quran kepada Bani 'Amir. Peperangan itu disertai 40 sahabat Rasulullah SAW.
Selain itu, Safar juga mencatatkan tragedi al-Raji’. Peristiwa itu berlaku pada tahun ketiga atau keempat hijrah membabitkan tujuh sahabat Baginda yang diutus bagi mengajar agama Islam kepada kaum ‘Udal dan al-Qarah.
Bagaimanapun, mereka mengkhianati perutusan itu dengan melakukan serangan hendap di sebuah tempat persinggahan bernama al-Raji’ di daerah ‘Usfan (kawasan antara Makkah dan Madinah). Antara sahabat menyertai perutusan itu adalah Khubaib bin ‘Adi, Marthad bin Abi Marthad al-Ghanawiy, ‘Asim bin Thabit dan Zaid bin al-Dathanah.
Semua sahabat dibunuh di tempat serangan kecuali Khubaib bin ‘Adi yang dibawa ke Makkah dan dibunuh di sana. Beliau adalah orang yang pertama menunaikan solat dua rakaat sunat sebelum dibunuh yang kemudian menjadi ikutan sunnah.
Pembukaan Khaibar (kubu orang Yahudi) juga berlaku pada Safar tahun ketujuh hijrah dengan turut disertai 20 sahabat wanita antaranya, Ummu Salamah, Safiyah binti Abd Mutallib dan Ummu Aiman.
Pada perangan itu, 15 sahabat gugur syahid, manakala 73 Yahudi terbunuh.
Demikianlah antara peristiwa penting yang berlaku pada Safar dirakamkan oleh sejarawan untuk dijadikan bahan pengajaran kepada umat Islam. Bagaimanapun, masih ada sebahagian umat Islam, terutama yang lemah akidah keimanan mempercayai kepada sempena baik, prasangka buruk atau nahas terhadap Safar khususnya pada hari Rabu akhir bulan.
Lebih malang lagi, mereka percaya bahawa dalam Safar ini Allah akan menurunkan puluhan ribu bala yang akan menimpa ke atas umat manusia, sedangkan bala sentiasa berada di mana-mana dan pada bila-bila masa saja yang dikehendaki Allah.
Justeru, berdasarkan kepercayaan karut itu ada umat Islam yang menulis ayat wifiq pada kertas atau pinggan mangkuk yang kemudian diletakkan dalam tempayan, kolam, perigi atau seumpamanya untuk diminum atau bermandi manda dengan airnya konon untuk mendapat perlindungan daripada bala buruk pada hari berkenaan.
Perlu ditegaskan, kepercayaan karut seumpama itu berpunca daripada amalan atau kepercayaan jahiliah yang dilarang Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena (baik atau buruk) melalui burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tidak ada nahas dalam bulan Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa yang bengis.” (Hadis riwayat Bukhari)
Hadis Rasulullah SAW jelas menegaskan bahawa jangan sekali-kali umat Islam beriktikad penyakit yang berjangkit boleh memberi kesan dengan sendirinya atau sangkaan sial atau nahas Safar itu berupaya memudaratkan kehidupan manusia.
Sebaliknya apa juga peristiwa buruk atau baik, berjangkit atau tidak sesuatu penyakit kesemuanya adalah kekuasaan dan kehendak Allah belaka.
Pada masa sama, Rasulullah SAW berpesan kepada setiap Muslim supaya mengambil langkah berwaspada ketika berhadapan dengan sesuatu musibah dengan memerintahkan supaya melarikan diri daripada pesakit kusta dan janganlah menghampiri mereka.
Ini bukan bererti penyakit kusta boleh berjangkit dan memudaratkan orang ramai, sebaliknya larangan itu menyingkap suatu tindakan berjaga-jaga serta berusaha untuk memelihara diri daripada meletakkan diri ke kancah bahaya dan kemusnahan.
Allah berfirman yang bermaksud: “Belanjakanlah (apa yang ada padamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan perelokkan perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)
Berdasarkan keterangan nas itu, nyatalah apa yang dipercayai dan diamalkan sebahagian umat Islam selama ini iaitu kepercayaan bulan Safar adalah bulan nahas atau sial, burung hantu burung sial dan seumpamanya adalah kepercayaan karut dan bertentangan ajaran Islam.
Begitu juga upacara atau pesta mandi laut, bersuka ria dengan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batas, kononnya untuk mengelakkan diri daripada bala Safar bertukar wajah sebagai pesta menambah dosa serta mencari bala kerana kadang-kadang ada yang mati lemas akibat kelalaian sendiri, malah ada yang tergamak melakukan perbuatan terkutuk di sisi syarak ketika pesta berkenaan.
Selain itu, ada juga orang tua yang tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan atau majlis keramaian pada Safar kerana dikhuatiri pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat atau tidak bahagia.
Kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah. Dalam keadaan tertentu, ia boleh menyebabkan seseorang menjadi syirik kerana percaya kepada bulan, bukan pada kuasa Allah.
Sebenarnya nahas atau bala bencana itu tidak berlaku hanya pada Safar. Kepercayaan karut itu jelas ditolak dan dilarang dengan kerasnya oleh Islam.
Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang sudah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jugalah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah at-Taubah, ayat 51)
Tuesday, February 12, 2008
Safar bulan bala kepercayaan karut jahiliah
Labels:
(A) Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi,
Jahiliah,
Safar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment