Friday, February 29, 2008

Bicara Kalbu: Denda hingga menjatuhkan maruah ganggu sahsiah anak

Jawapan oleh Dr Rohayah Husain dan Dr Habsah Hassan

Soalan:

SEORANG pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di pedalaman didenda guru sekolah disebabkan kenakalannya. Beliau dimalukan di hadapan perhimpunan sekolah dengan berdiri sepanjang waktu persekolahan dan kertas yang melabelkan perkataan menjatuhkan harga dirinya digantungkan di bangunan sekolah. Akibatnya, pelajar itu mengalami kemurungan. Seminggu selepas kejadian, pelajar itu dimasukkan ke hospital kerana mengalami gangguan mental. Persoalannya, wajarkah pelajar dihukum hingga menjatuhkan air muka dan mendatangkan tekanan kepada mereka? Apakah tindakan sewajarnya bagi menghukum pelajar?
Ingin tahu,
Kelantan

MUNGKIN kita tertanya-tanya apakah kesalahan yang dilakukan anak ini sehingga beliau dihukum sebegitu rupa. Namun apapun kesalahan beliau, hukuman yang menjatuhkan maruah seseorang lebih-lebih lagi kanak-kanak perlu dihentikan.

Denda seperti ini akan menyebabkan kanak-kanak berasa rendah diri dan mudah memberontak. Keadaan ini akan mengganggu pembentukan sahsiah mereka. Persoalannya, apakah tujuan sesuatu denda dijalankan? Jika untuk mendidik dan merubah sikap, pastinya denda itu tidak membantu.

Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak-anak dalam Islam mengulas kaedah pendidikan berkesan kepada kanak-kanak yang bercirikan lemah lembut, penuh belas kasihan dan berperingkat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ajarkan mereka dan jangan mengkasari mereka, sesungguhnya guru itu lebih baik daripada seorang pengeras." – (Riwayat al-Haris, at-Thayalisi dan al-Baihaqi)

Kaedah berperingkat dalam memulihkan disiplin anak adalah disarankan. Ia harus dimulakan dengan menunjukkan kesalahan melalui bimbingan, lemah lembut, memberi amaran sehingga peringkat merotan yang berpatutan.

Dalam kisah pelajar tadi, hukuman yang dikenakan memberi tekanan emosi yang serius kepadanya sehingga beliau terpaksa dimasukkan ke hospital. Beliau mengalami tekanan hingga memberi kesan kepada mentalnya.

Kemungkinan kenakalan beliau ketika di sekolah adalah manifestasi penyakit yang mula beliau alami beberapa bulan kebelakangan itu. Ibnu Khaldun menerangkan kesan akibat penggunaan kekerasan dalam mendidik. Katanya, kekerasan akan menjadikan anak seorang yang lemah semangat, pengecut dan rosaklah erti kemanusiaan dalam dirinya.

Menurut teori pembelajaran, pakar psikologi terkenal, B F Skinner menjelaskan bahawa sesuatu sikap yang baik akan dikekalkan atau bertambah jika diberi rangsangan positif yang berulang seperti pujian, kata-kata semangat dan hadiah.

Umumnya pakar psikologi menyarankan adalah lebih baik memperbanyakkan ganjaran terhadap perbuatan baik berbanding sering menghukum atau mencari kesalahan seseorang. Pengalaman kita sendiri membuktikan kita berasa yakin, lebih bertenaga dan mudah berubah jika diberi layanan seperti itu.

Apa yang berlaku kepada pelajar itu bukan kes terpencil kerana kita juga dikejutkan dengan kisah guru memukul murid menggunakan kasut hingga cedera dan diajar menipu tidak berapa lama dulu.

Didikan yang hanya mengikut perasaan wajar dihentikan, tetapi bukan guru saja harus dipersalahkan tetapi sistem pendidikan yang hanya berorientasikan kecemerlangan akademik, di samping bebanan kerja guru dan kurangnya penekanan kepada pembentukan akhlak.

Khabarnya kurikulum pendidikan sekolah rendah dan menengah akan dirombak dalam jangka masa terdekat, moga lebih banyak ciri pendidikan Rasulullah SAW diterapkan memandangkan Malaysia kini adalah negara Islam yang disegani.

Jawapan disediakan pensyarah dan pakar psikiatri, Dr Rohayah Husain bersama pensyarah dan pakar mikrobiologi, Dr Habsah Hassan dari Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kelantan dengan kerjasama Wanita Jim.

No comments: