Thursday, February 21, 2008

Personaliti: Memantapkan rohani atlit negara

Oleh Hasliza Hassan



Amalan zikir mampu bina kekuatan, keyakinan untuk raih kejayaan: Hasnol

KEKUATAN Ruhiah Dicapai, Kilauan Pingat Digapai. Itulah moto Unit Hal Ehwal Islam Majlis Sukan Negara (MSN) yang menjelaskan fungsi kewujudannya di tengah-tengah kelompok atlit negara bertujuan memantapkan kerohanian mereka untuk mencapai kejayaan.

Ternyata selain kekuatan fizikal dan mental, kekukuhan serta pemantapan rohani mampu menjadi 'makanan tambahan' bernilai bagi meningkatkan keyakinan diri atlit negara berhadapan cabaran dalam bidang sukan diceburi.

Mendekati orang yang bertanggungjawab menguruskan program pemantapan kerohanian atlit negara, Ketua Unit Hal Ehwal Islam MSN, Mohammad Hasnol A Bakar mengakui tugas berdakwah kepada warga sukan memerlukan pendekatan yang pelbagai.

Katanya, tidak dinafikan bukan mudah untuk memasukkan elemen Islam dalam bidang sukan yang kebanyakan pencapaian dinilai daripada kekuatan fizikal dan mental tetapi tugas itu perlu dilaksanakan dalam usaha membangun jati diri warga sukan khususnya atlit.

"Mungkin ada yang bertanya apa kena mengena Islam dengan sukan. Sebenarnya banyak kaitan antara Islam yang menjadi cara hidup dengan sukan yang menjadi sebahagian daripada kehidupan terutama kepada atlit kita.

"Dalam pembinaan manusia ada jasad, akal dan kerohanian. Tanggungjawab saya bersama rakan di Unit Hal Ehwal Islam MSN ialah membimbing atlit menggunakan kekuatan kerohanian untuk mencapai kemenangan serta menghadapi cabaran semasa," katanya.

Katanya, ketika mula-mula memikul tanggungjawab sebagai pegawai agama kepada warga MSN pada 2001, langkah pertama dilakukan ialah menganjurkan program meningkatkan kefahaman dalam bidang akidah, ibadat dan akhlak dengan bantuan daripada unit lain.

Beliau yang ketika itu berseorangan turut mengatur program secara berkala seperti solat berjemaah, solat hajat, bacaan Yasin setiap minggu dan bulanan selain meraikan hari kebesaran Islam seperti mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul.

Muhammad Hasnol berkata, tumpuan beliau ketika itu ialah memberi kesedaran kepada atlit mengenai kepentingan membina hubungan dengan Allah sebagai sumber kekuatan dalaman yang dapat membantu mereka mencapai kecemerlangan.

Beliau berkata, atlit dan warga sukan perlu diperjelaskan bahawa agama bukan ibadat semata-mata tetapi agama dapat membantu membina kekuatan dalaman dengan meningkatkan kefahaman akidah dan menguatkan keimanan kepada Allah.

Katanya, atlit Islam akan menghadiri kuliah untuk meningkatkan kefahaman bidang akidah sementara atlit bukan Islam, ada pegawai memantau keperluan mereka memenuhi amalan agama masing-masing berpaksi kepada perkara pertama Rukun Negara iaitu Percaya Kepada Tuhan.

Katanya, keyakinan bahawa setiap kejayaan diraih atau kegagalan terjadi datangnya daripada Allah akan mengembalikan atlit kepada hakikat di sebalik usaha gigih itu mereka perlu bertawakal kepada Allah.

"Jika juru latih membimbing atlit berusaha menggunakan kekuatan fizikal dan mental tatkala menjalani latihan atau menghadapi pertandingan, saya tunjukkan bagaimana amalan berzikir mampu membantu ahli sukan mencapai kemenangan.

"Pada masa sama, saya juga menekankan perlunya sifat amanah dan pentingnya untuk atlit serta warga sukan memasang niat untuk ikhlas melaksanakan tanggungjawab kerana selain imbuhan dunia yang diperoleh apabila mereka berjaya, mereka bakal menerima ganjaran daripada Allah," katanya.

Memiliki diploma dalam bidang pengajian Islam, al-Quran dan Sunnah, graduan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) yang bercita-cita menjadi pendakwah itu reda dengan rezeki ditentukan Allah kepadanya untuk menabur khidmat bakti kepada warga sukan.

Walaupun menghadapi kejutan budaya ketika mula berkhidmat dan bergaul dengan atlit daripada 27 bidang sukan, beliau yakin ada sebab mengapa Allah menjodohkan beliau dengan Unit Hal Ehwal Islam MSN.

Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur itu, walaupun berdepan cabaran untuk menarik minat warga sukan mendalami serta memahami kepentingan agama dalam bidang sukan, semangatnya tidak pernah luntur.

Malah, hatinya berazam untuk terus berdakwah dengan meminjam semangat ditunjukkan idolanya Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah berputus asa menyebarkan syariah Islam walau terpaksa berdepan tentangan hebat.

Beliau juga bersyukur apabila di bawah pentadbiran Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, Unit Hal Ehwal Islam MSN dibesarkan dengan tambahan seorang lagi pegawai agama lelaki dan seorang ustazah yang membolehkan lebih banyak program diatur mengikut kepentingan serta keperluan atlit.

Kini, setiap hari warga sukan yang terdiri daripada kakitangan MSN dan atlit akan memulakan hari mereka dengan tazkirah ringkas disampaikan beliau secara bergilir dengan rakan lain yang turut didengar atlit yang sedang menjalani latihan di padang.

Mohammad Hasnol berkata, tumpuannya kini ialah berusaha memastikan program kekuatan kerohanian di kalangan atlit dan warga sukan mendapat sambutan hebat seperti diberikan kepada program meningkatkan kekuatan fizikal dan mental.

Katanya, usaha itu memerlukan sokongan pihak pengurusan MSN dan mereka yang bertanggungjawab dalam persatuan sukan bagi memastikan pembangunan fizikal, mental dan kerohanian atlit Malaysia dapat dilakukan serentak.

Mengenai kepentingan ilmu agama dalam sukan katanya, semua dapat difahami daripada matlamat penubuhan unit berkenaan yang antara lain untuk melahirkan generasi atlit serta anggota kerja yang mantap daripada sudut ilmu dan iltizam, berilmu dan berakhlak mulia menghadapi cabaran semasa.

Melalui proses secara berperingkat, beliau yakin keperluan pemantapan kerohanian kepada atlit akan diakui lambat laun berdasarkan perkembangan positif diperlihatkan terutama daripada atlit yang memanfaatkan ilmu disampaikan kepada mereka.

"Kenangan manis bagi saya ialah apabila pasukan sepak takraw berjaya pada Sukan Sea di Manila 2005. Di sana mereka tidak lupa membaca surah Yasin dan mengamalkan zikir yang diajar untuk membina keyakinan serta kekuatan.

"Gabungan ketiga-tiga kekuatan iaitu fizikal, mental dan kerohanian menunjukkan atlit lebih berkeyakinan dan mampu mencapai matlamat mereka dengan lebih mudah. Saya harap banyak lagi yang dapat saya sumbangkan untuk membantu atlit kita mencapai kecemerlangan," katanya.

Beliau berkata, Kursus Pembangunan Atlit Melalui Kecerdasan Emosional dan Spiritual (ESQ) yang diperkenalkan MSN kepada atlit juga adalah alternatif terbaik menitipkan kesedaran pentingnya kekuatan intelektual dan spiritual dalam mengisi tujuan hidup seorang atlit.

Mohammad Hasnol berkata, mengislamkan sukan bukan sesuatu yang mustahil kerana beliau sudah melihat contoh yang ditunjukkan atlit dari Iran yang cemerlang dalam bidang sukan masing-masing dan pada masa sama mengekalkan nilai yang diajar dalam Islam.

Begitu juga contoh dilihat pada temasya Sukan Negara Islam yang pernah dianjurkan di Makkah di mana beliau menjadi Chef de Mission mengetuai atlit negara pada 2004 berjaya memisahkan atlit wanita dan lelaki dengan mengadakan acara secara berasingan.

Justeru katanya, banyak lagi yang boleh dilakukan oleh pihak berkaitan bagi memastikan agama tidak terpinggir dalam program pembangunan sukan negara sebaliknya menjadi elemen penting yang dapat membantu atlit mencapai tahap terbaik dalam diri mereka.

"Atlit tidak berdisiplin kerana tidak ada kekuatan agama dan kurang penekanan kepada kerohanian. Agama mengajar kita supaya saling hormat menghormati. Jika atlit hormat jurulatih, mereka akan disayangi dan pastinya perhatian diberikan kepada mereka.

"Begitu juga sebaliknya, jika jurulatih menghormati atlit, mereka lebih mudah menerima tunjuk ajar yang diberi. Akhirnya, prestasi kedua-duanya meningkat, mencapai kejayaan dan paling penting, mendapat keredaan Allah," katanya.

Katanya, adanya program pemantapan kerohanian dalam bidang sukan juga dapat menangkis kerisauan ibu bapa yang takut anak mereka meninggalkan aspek spiritual apabila membabitkan diri dalam dunia sukan.

PROFIL

Mohammad Hasnol A Bakar

Tarikh lahir: 20 April 1973
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Pendidikan: Diploma Pengajian Islam, al-Quran dan Sunnah, Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, Terengganu
Isteri: Norrul Huda Ngah
Anak: Izzatul Mutmainnah, 10; Izzurrahman, 9; Izzulhafeez, 4

No comments: