Kurikulum institusi pengajian tinggi Islam mesti seiring kemajuan bagi melahir ilmuwan berwibawa
SELAMA berada di Dubai sempena menghadiri Persidangan Antarabangsa Pelaburan Wakaf Dubai awal minggu ini, penulis tidak putus hubungan dengan berita di rantau ini khasnya mengenai berita Taman Tamadun Islam, Terengganu dan Seminar Antarabangsa Institusi Pengajian Tinggi Islam anjuran Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa), Bandar Seri Begawan. Terima kasih kepada kemajuan dunia dalam bidang teknologi maklumat.
Ketika penulis menjadi 'regulator' dalam sesi kelima, pengerusi sesi iaitu Dr Ahmad Balhassa dari Balhassa Group Emiriah Arab Bersatu memberikan kesaksian atas kedudukan Malaysia sebagai negara Islam contoh masa kini yang menjadi model untuk kemajuan umat Islam dalam hidup bermasyarakat dan bernegara. Kesaksian ini diungkapkan ketika memperkenalkan pembentang kertas kerja dari Malaysia Dr Nik Norzrul Thani yang membincangkan isu perwakafan dalam Tabung Haji Malaysia.
Al-Syeikh Dr Abdul Rahman al-Sudais yang lantunan bacaan al-Qurannya selalu menarik perhatian telinga dan menusuk sanubari kita mempunyai sejarahnya sendiri sebelum beliau menjadi seorang imam di Masjidil Haram Makkah. Ketika masih kecil lagi, ibunya sudah menanamkan dalam mindanya bahawa dia kelak mesti menjadi imam di Masjidil Haram. Dia berasa hairan mengapa bondanya mengharapkan demikian walaupun pada hakikatnya ketika itu dia tidak hafaz al-Quran sedikit pun kecuali bacaan solat. Setelah dewasa dan kemudian menjadi imam Masjidil Haram barulah dia sedar atas penanaman cita-cita sejak awal lagi kerana dia berasa dicabar untuk membuktikannya. Dengan bimbingan ibu dan juga keadaan yang kondusif beliau hari ini telah berjaya menjadi imam di Rumah Allah terbesar di muka bumi. Beliau boleh berbangga dengan boleh mengimamkan lebih daripada dua juta umat Islam yang sedang menunaikan haji dalam satu-satu masa.
Itu jugalah yang diharapkan pemimpin kita masa kini kepada rakyatnya. Dengan mengambil iktibar dan menghebahkan kemajuan tamadun umat Islam terdahulu generasi muda akan terselit keinginan mereka untuk mencipta tamadun baru. Dengan melihat contoh tema tamadun Islam silam, kita akan berasa bangga dengan tamadun silam kita dan tercabar untuk mempertahankannya dan membina satu tamadun baru yang sesuai dengan peredaran zaman dan keupayaan tempat dan masyarakat.
Taman Tamadun Islam adalah gabungan hiburan dan pendidikan pertama di dunia yang membawa pengunjungnya mengembara dan menerokai zaman keunggulan Islam. Dalam Taman Tamadun Islam bukan sekadar 21 monumen yang statik, tetapi ia adalah replika monumen sebenar yang menjadi manifestasi penguasaan umat Islam pada suatu ketika dulu dalam bidang terpenting dalam sejarah ilmu pengetahuan.
Pengunjung Taman Tamadun Islam juga akan meneroka untuk melihat dan mengalami sendiri keajaiban kejayaan pakar Islam dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi, reka bentuk, kesenian pertukangan, pembinaan dan kejuruteraan. Dengan itu pengunjung akan berfikir bagaimana umat Islam pada satu-satu masa berjaya membina monumen yang hebat dengan menggunakan akal fikiran, ilmu pengetahuan dan alat yang ada pada zaman itu.
Dengan melihat sendiri Taman Tamadun Islam akan terbentuk sebuah atau pelbagai inspirasi dalam minda. Inspirasi akan timbul disebabkan oleh suatu pengamatan saksama dan inspirasi jugalah yang menciptakan semua keajaiban dunia. Tanpa inspirasi kehidupan dunia akan statik, hambar dan tidak bergerak.
Islam adalah agama yang penuh dinamik sama ada dalam bidang kebendaan (material) mahupun kerohanian (spiritual). Islam bukanlah suatu ajaran yang tanpa gerak, kaku dan mati. Islam adalah ajaran yang selalu mendorong manusia berakal untuk hidup maju, dinamik dan berprestasi demi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Dalam bukunya Spirit of Islami, Sayed Ameer Ali menegaskan bahawa Islam memberikan kedinamikan dalam the religious spirit of Islam, the literary scientific spirit of Islam, the rationalistic and philosophical spiri of Islam, and the polotical spirit of Islam.
Pada pihak lain, Unissa yang baru berumur satu tahun melangkahkan kakinya menuju pengantarabangsaan kewujudannya, beberapa aktiviti intelektual dan akademik diadakan termasuk Peraduan Musabaqah Tilawah al-Quran Institusi Pengajian Tinggi Serantau dan Seminar Antarabangsa Institusi Pengajian Tinggi Islam.
Rektor Unissa yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Brunei Darussalam, Pengiran Datuk Dr Mohammad Pengiran Abdul Rahman menekankan betapa pentingnya pemikir dan cendekiawan Islam yang berjaya membangun tamadun Islam masa silam. Sejarah lama ini akan diputar balik perjalanannya dengan kewujudan institusi pengajian tinggi Islam di seluruh dunia termasuk di Brunei Darussalam dengan Unissa. Ia akan mendidik dan mencipta cendekiawan Muslim berkaliber dan berwibawa. Perkara ini dibincangkan dalam kertas kerja beliau bertajuk 'Institusi Pengajian Tinggi Islam dalam Era Globalisasi: Mencetak Sarjana Muslim.'
Institusi pengajian tinggi Islam semasa tidak akan berjaya dalam melaksanakan visi dan misinya jika ia tidak memiliki kurikulum yang sesuai dengan kemajuan semasa. Oleh itu, satu kertas kerja juga membincangkan perkara ini yang dibentangkan oleh sahabat lama penulis, Prof Dr Sidek Baba dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam 'Kurikulum Institusi Pengajian Tinggi Islam dalam Era Globalisasi: Keperluan kepada Integrasi.'
Islam di Asia Tenggara menjadi kawasan yang menarik bagi sarjana Barat. Kenyataan ini menunjukkan bahawa banyak perkara yang boleh diungkap dalam kawasan ini sama ada kaitannya dengan peranan Islam dalam perkembangan sosial, politik, ekonomi, budaya dan ilmu mahupun kaitannya dengan perkembangan pengajian Islam itu sendiri.
Secara umum, ada dua pola utama mengenai perkembangan pengajian Islam di Asia Tenggara iaitu pola Timur dan pola Barat. Yang pertama disebut lebih banyak memindahkan pemahaman dasar mengenai Islam manakala yang kedua disebut lebih menekankan pada analisis masyarakat Islam dan tamadunnya di mana kelemahan pola ini terletak pada kegersangan kajian doktrin Islam. Yang pertama terlalu menekankan dimensi normatif sedangkan yang kedua terlalu mengutamakan kesejarahan.
Fazlur Rahman dalam Islam dan Modernitas: Transformasi Trsidi Intelektual menegaskan betapa perlunya rekonstruksi sistematik ilmu Islam. Ini disebabkan dua perkara penting. Pertama: adanya jarak intelektual antara ilmu Islam dengan al-Quran dan al-Sunnah. Kedua: adanya fenomena budaya yang membezakan antara ilmu agama dan ilmu umum. Rekonstruksi konsep pengajian Islam sama ada dari segi metodologi mahupun institusi sangat bergantung kepada konsep Islam mengenai ilmu itu sendiri. Dalam perkara ini, perlu ditelusuri dari aspek ontologi, epistemologi dan aksiologinya, sehingga akan berimplikasi kepada pengembangan metodologi dan institusinya.
Dalam Seminar Antarabangsa Pengajian Islam di Asia Tenggara pada 1995 yang dianjurkan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Brunei Darussalam, Menteri Hal Ehwal Agama Islam Brunei Darussalam, Datuk Dr Md Zain Serudin dalam ucaptamanya menyarankan:
l Supaya pusat pengajian tinggi Islam perlu mengambil inisiatif yang sungguh-sungguh bagi memberi penjelasan yang sahih lagi murni bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah mengenai akidah, syariah dan akhlak Islam kepada mahasiswa khususnya dan kepada masyarakat dengan seluas-luasnya dan dengan cara yang menarik serta penuh hikmah sesuai dengan kedudukannya sebagai gedung ilmu dan pengeluar ilmuwan yang berwibawa.
l Supaya pusat pengajian tinggi Islam menanamkan nilai murni ajaran di jiwa mahasiswa khasnya seperti 'budaya koreksi diri'; 'budaya berkualiti bukannya budaya buih'; 'budaya cemerlang'; 'budaya saing'; 'budaya berperancangan'; dan 'budaya survival di dunia dan akhirat'."
Sebagai gedung ilmu, institusi pengajian tinggi Islam adalah pemberi kegembiraan kepada manusia de ngan ilmu pengetahuan. Sesungguhnya kebahagiaan dan keceriaan itu datang bersama ilmu pengetahuan. Ilmu mampu mengubah sesuatu yang tidak jelas, menemukan sesuatu yang hilang, dan menyingkap sesuatu yang tersembunyi.
Dengan ilmu, jiwa manusia akan memperoleh ilmu pengetahuan yang baru dan selalu ingin mengkaji pengetahuan yang lain.
Kebodohan itu sangat membosankan dan menyedihkan. Ia tidak pernah menimbulkan sesuatu yang baru yang lebih menarik dan segar di mana yang kelmarin terasa bagaikan seperti hari ini dan yang hari ini pula bagaikan hari esok.
Institusi pengajian tinggi Islam adalah termasuk tempat orang yang inginkan kebahagiaan di mana di dalamnya ada tempat untuk menuntut ilmu, mencari ilmu pengetahuan dan meraih pelbagai manfaat. Dengan itu, nescaya akan hilanglah segala kesedihan, kepedihan dan kecemasan seperti ditulis Dr 'Aidh al-Qarni dalam La Tahzan.
Imam al-Zamakhsari seorang ulama multi disiplin ilmu yang berwibawa menulis bait syair yang ertinya: "Berjaga malam kerana mencari ilmu – lebih nikmat bagiku daripada kekayaan – dan kepuasan yang telah ku capai. – Perputaran roda kehidupan – melemparkan ke dalam kesulitan – namun itu lebih menyenangkan sebab aku terus belajar menyelesaikan masalah. – Suara goresan pena di atas kertas ku – lebih merdu daripada alunan lagu kesamaran – lebih indah daripada tabuhan rebana remaja puteri – sedangkan lembaran tulisan ku– menebarkan butiran pasir hikmah. – Wahai kalian semua – raihlah harapan dan mimpimu – seberapa pun jarak penulis dengan bukunya. – Haruskah aku tetap tertidur dua bulan – sehingga mimpiku menjadi kenyataan?
Dengan menoleh ke belakang dan mengambil iktibar dari Taman Tamadun Islam dan dengan menyedari atas kepentingan ilmu pengetahuan yang dikembangkan institusi pengajian tinggi Islam, tidakkah kita sepatutnya mengorak langkah untuk tamadun Islam masa datang yang lebih gemilang? Wallahu a'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment