SECARA amnya manusia lebih percaya kepada fakta dan data berbanding teori. Oleh itu, dipaparkan beberapa fakta yang sempat dicatat sejarah berkenaan dengan kemenangan Islam memerangi kemiskinan.
Begitu juga kesejahteraan, keamanan dan ketenteraman yang berjaya diwujudkan pemerintah dan sistem pentadbiran negara yang adil. Kesejahteraan, keamanan serta ketenteraman diwujudkan itu pernah diperkatakan Rasulullah SAW.
Baginda SAW mengatakan, manusia akan memperoleh kenikmatan yang banyak, hasil tuaian berlimpah ruah, kehidupan bahagia, sejahtera dan aman jika mereka mentadbirnya dengan baik.
Bahkan, mereka tidak akan mendapati seorang pun yang layak menerima zakat. Semua itu hanya akan terjadi jika pemerintah yang adil dan saksama mengamalkan pendekatan pentadbiran menyeluruh dan pengamalannya turun hingga ke peringkat akar umbi.
Imam al-Bukhari bin Hatim at-Thay-i, bahawasanya ketika Hatim berada bersama Nabi SAW, seorang lelaki datang mengadukan kesusahan hidupnya. Kemudian datang pula lelaki lain yang mengadukan kejadian rompakan yang berlaku ke atas dirinya.
Pada masa itu, niat Adiy berjumpa Rasulullah SAW ialah untuk memeluk agama Islam. Nabi SAW khuatir Adiy akan berubah niat selepas melihat kemiskinan kaum Muslimin serta tidak wujudnya keamanan dalam masyarakat mereka.
Oleh itu, Rasulullah SAW memaparkan ramalannya sebagai dorongan dan galakan kepada Adiy. Baginda bersabda, “Wahai Adiy, pernahkah engkau melihat bandar Herat?” Jawab Adiy, “Belum pernah, wahai Rasulullah. Tetapi seseorang pernah memberitahu saya mengenai bandar itu.” Rasulullah bersabda: “Jika panjang umurmu kelak nescaya engkau akan menyaksikan bagaimana seorang wanita boleh berpergian di atas seekor unta dari Herat hingga bertawaf di Makkah tanpa berasa takut kepada sesiapa pun kecuali Allah.”
Adiy yang meriwayatkan hadis ini berkata, “Saya sendiri berkata dalam hati, ke manakah gerangan perginya para perompak Thay-i yang membakar seluruh negeri,” Adiy seolah-olah berasa mustahil suasana tenang dan aman akan wujud sampai kepada tahap diberitakan Nabi SAW.
Beliau sendiri mengetahui kejahatan perompak di negerinya yang tidak pernah berhenti mengacau kehidupan masyarakat dan menyalakan api fitnah di merata negeri.
Rasulullah SAW menyambung sabdanya kepada Adiy: “Jika umur engkau lebih panjang lagi, maka engkau boleh menyaksikan khazanah Raja Kisra dikuasai kaum Muslimin.” “Raja Kisra bin Hormuz?” Tanya Adiy. Jawab Rasulullah SAW: “Ya, Raja Kisra bin Hormuz. Dan jika umurmu lebih panjang lagi, nescaya engkau akan menyaksikan satu masa iaitu seorang lelaki keluar dengan telapak tangan dipenuhi dengan emas atau perak untuk disedekahkan, tetapi tidak ada seorang pun yang mahu menerima sedekahnya itu.”
Selepas itu, Adiy pun memeluk Islam dan menjadi seorang Muslim yang baik. Beliau menyaksikan sendiri ketepatan kata-kata Nabi SAW. Beliau berkata, “Saya sudah menyaksikan sendiri bagaimana seorang wanita boleh berpergian sendirian atas untanya dari Herat sehingga bertawaf di Kaabah. Tidak ada sesuatu pun yang ditakutinya melainkan Allah. Saya juga berada bersama pejuang yang menakluki kerajaan Parsi dan menguasai khazanah Raja Kisra bin Hormuz.
Sabda Rasulullah SAW kepada Adiy berkenaan seorang lelaki yang keluar dengan emas dan perak menunjukkan ia akan berlaku pada masa yang dekat dan masih dapat disaksikan sahabat yang berumur panjang. Perkara itu berlaku pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz, seorang khalifah yang adil.
Banyak hadis Nabi SAW menceritakan mengenai kekayaan yang akan dilimpahkan kepada umat sehingga tidak ada lagi orang yang layak menerima sedekah. Semua hadis itu adalah ucapan Rasulullah SAW yang maksum.
Baginda SAW tidak bersabda mengikut kehendak peribadi atau hawa nafsu. Hadis itu memberi harapan kepada kita akan satu hari di mana kemiskinan berjaya dibanteras dan dihapuskan. Hal itu bertentangan dengan Taurat yang menyatakan kemiskinan adalah fenomena kekal abadi, dan orang miskin akan sentiasa wujud di atas muka bumi.
Imam al-Bukhari serta imam lain meriwayatkan daripada Harithah bin Wahab al-Khuza’i Harithah berkata, “Saya mendengar Rasulullah bersabda bermaksud: Bersedekahlah sebelum sampai kepada kami satu zaman iaitu seorang lelaki berjalan dengan membawa harta untuk disedekahkan, tetapi tidak seorang pun yang mahu menerimanya. Seseorang berkata kepadanya, “Seandainya kamu membawanya semalam tentu saya terima, tetapi sekarang saya tidak memerlukannya lagi.”
Sabda Rasulullah SAW lagi bermaksud: Kiamat tidak akan terjadi sebelum kamu semua memperolehi harta yang melimpah ruah. Hal ini menimbulkan kerunsingan di kalangan pemilik harta kerana tidak ada orang yang mahu menerima sedekah. Bila mereka menawarkan harta tersebut kepada seseorang, maka orang itu akan berkata, “Saya tidak memerlukannya.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhri daripada Abu Hurairah)
Kitab ad-Dalail Al-Bayhaqi meriwayatkan daripada Umar bin Usaid (Ibnu Abdul Rahman bin Zaid bin al-Khattab) berkata, “Umar bin Abdul Aziz memegang tampuk khalifah selama 30 bulan. Demi Allah sebelum beliau meninggal dunia, beliau memberikan kekayaan yang sangat banyak kepada kami. Beliau pernah berkata kepada pegawainya, “Bahagikanlah harta ini kepada sesiapa saja orang miskin yang kamu jumpai.” Akan tetapi pegawai itu tidak berjaya menemui satu orang miskin pun dan terpaksa kembali dengan membawa harta itu. Umar bin Abdul Aziz sudah menjadikan rakyatnya kaya-raya.”
Yahya bin Sa’ad berkata, “Umar bin Abdul Aziz pernah mengutuskan saya untuk mengutip zakat di benua Afrika. Selepas hasil zakat berjaya saya kumpulkan saya pun mencari orang miskin untuk saya bahagikan hasil zakat itu kepada mereka. Namun, saya tidak menjumpai seorang miskin pun dan tidak ada seorang pun yang mahu mengambil hasil zakat itu. Umar bin Abdul Aziz sudah menjadikan seluruh manusia kaya raya. Akhirnya saya terpaksa membelanjakan hasil zakat itu dengan membeli beberapa hamba sahaya untuk saya memerdekakan.”
Kekayaan dan kesejahteraan penduduk tidak hanya wujud di benua Afrika seperti diceritakan Yahya bin Sa’ad. Sebaliknya sejarah mencatatkan kemakmuran dan kesejahteraan wujud di merata pelusuk kawasan yang bernaung di bawah khalifah Islamiah pada masa itu.
Abu Ubaid meriwayatkan, Umar bin Abdul Aziz pernah menulis warkah kepada Gabenor Iraq, Abdul Hamid bin Abdur Rahman. Isi warkah itu ialah satu perintah supaya Abdul Hamid membahagikan agihan (gaji atau peruntukan khas) kepada orang ramai.
Warkah itu dijawab oleh Abdul Hamid dengan jawapan: “ Saya sudah memberikan seluruh agihan kepada orang ramai, tetapi masih tersisa lagi sejumlah harta di Baitulmal.
Umar bin Abdul Aziz menghantar satu warkah lain mengatakan: “Carilah orang yang dibebani hutang, tetapi dia berhutang bukan untuk tujuan berfoya-foya. Tunaikanlah hutangnya.” Warkah itu dijawab kembali Abdul Hamid, “Saya sudah menunaikan hutang mereka, tetapi masih lagi tersisa sejumlah harta di Baitulmal.”
“Jika begitu, carilah orang bujang yang ingin menikah. Nikahkanlah mereka dan bayarlah maharnya,” perintah Umar bin Abdul Aziz. Tidak lama kemudian datang jawapan daripada Abdul Hamid, “Saya sudah menikahkan seluruh orang bujang yang saya jumpa, tetapi masih tersisa lagi sejumlah harta di Baitulmal.”
“Jika demikian, carilah orang yang terkena kewajipan cukai. Tambahkanlah tanah mereka dan berikan kepada mereka modal yang boleh mengembangkan usaha pertanian mereka. Kita tidak akan memintanya kembali selepas setahun atau dua tahun.”
Apabila hajat dan keperluan orang ramai sudah dipenuhi, barulah Khalifah Umar bin Abdul Aziz mengarahkan gabenornya untuk melaburkan harta itu untuk tujuan pengembangan dan menambah hasil pengeluaran negara.
Pelaburan dijalankan dengan cara membantu petani kecil yang hanya memiliki sebidang tanah. Mereka diberi pinjaman yang boleh mempertingkatkan usaha mereka. Semua perkara ini berlaku ratusan tahun sebelum dunia mengenal ‘Bank Pinjaman Pertanian’.
Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz menerangkan kepada petani bahawa kehebatan hasil pertanian bukan hanya membawa keuntungan kepada petani saja, tetapi juga menambah kekuatan negara. Di samping itu, setiap negara berhak mengutip cukai daripada kalangan berada, tetapi negara juga tidak boleh melupakan kewajipannya membantu kalangan itu mengembangkan usaha mereka supaya mampu menunaikan segala kewajipannya secara teratur.
Bersambung minggu depan
Wednesday, February 13, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment