Wednesday, February 27, 2008

Peguam syarie menulis: Peguam syarie perlu pertingkat ilmu

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

SERAMAI 150 peguam syarie bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerima sijil pentauliahan mereka pada majlis yang disempurnakan Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan, Husin Ahamad.

Hadir sama di majlis yang diadakan di Dewan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur ialah Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Ibrahim Lembut dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar. Segulung tahniah kepada mereka dan 'Selamat Beramal'.

Apabila memperkatakan mengenai peguam syarie, kita memperkatakan mereka yang membela anak guamnya di Mahkamah Syariah dalam kes di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Hakikatnya peguam syarie ada tugas tertentu dan tugas utamanya ialah mewakili pihak yang terbabit dalam prosiding perbicaraan dengan menghadirkan diri bagi pihak mereka, membela pelanggan secara lisan atau bertulis.

Ini bermakna tugas peguam merangkumi mengemuka, membela dan menjadi wakil kepada pihak yang terbabit dalam sesuatu kes. Menurut Almarhum Syaikh Mohd Abu Zuhrah mengenai peguam syarie, "seorang yang alim mengenai undang-undang yang mampu mencari kebenaran pihak yang benar dan menolak kepalsuan pihak yang bersalah bersandarkan kepada ilmunya mengikut kehendak undang-undang dalam menegakkan hak dan kewajipan dan pengekalan dan pengukuhan kepada kepada kebebasan awam."

Ini bermakna peguam syarie mempunyai tugas penting selain mewakili anak guamnya di mahkamah iaitu dengan membantu mahkamah menegakkan keadilan dengan meletakkan hak kepada yang berhak.

Dengan kata lain, peguam syarie sebenarnya adalah pegawai mahkamah yang membantu hakim mengendalikan kes di mahkamah syariah supaya mahkamah dapat menghukum dengan adil, tepat dan berkesan.

Tanpa bantuan peguam syarie akan menyukarkan mahkamah untuk membuat sebarang keputusan yang tepat dan adil kerana mahkamah berperanan untuk mendengar dan memutuskan kes saja. Peguam bertindak membentangkan fakta kes pihak yang bertikai, membentangkan daripada aspek perundangan dan prosedur kepada mahkamah supaya mahkamah dapat memberikan keputusan yang tepat dan adil berlandaskan hukum syarak.

Justeru, peguam syarie perlu mempersiapkan diri dengan ilmu untuk mencari kebenaran serta menolak sebarang kebatilan. Beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh peguam syarie sebelum dapat mewakili anak guamnya.

Allahyarham Prof Datuk Dr Mahmud Saedon Awang Othman berkata, peguam syarie hendaklah seorang yang berakhlak. Ini bermakna peguam syarie perlu memiliki akhlak serta budi pekerti yang mulia seperti dituntut hukum syarak.

Peguam syarie hendaklah melaksanakan amanah yang diberikan anak guamnya dengan jujur serta niat ikhlas melakukan ibadat. Niat penting bagi mengelakkan hak anak guam diabaikan.

Selain itu, peguam syarie hendaklah mempunyai pengetahuan syariah yang mendalam daripada aspek Usul Fiqh, Qawaid Fiqhiyyah, memahami Maqasid Syariah dan sebagainya.

Peguam syarie yang tidak mempunyai pengetahuan syariah mendalam akan menghadapi kesukaran mendapat membantu hakim dalam menegakkan keadilan terutama yang berhubung undang-undang syariah diamalkan di mahkamah syariah.

Peguam syarie, memahami undang-undang prosedur di Mahkamah Syariah yang terbahagi kepada dua iaitu prosedur atau tatacara mal dan prosedur atau tatacara jenayah. Tanpa memahami kedua-dua prosedur ini, peguam syarie dianggap gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai peguam syarie.

Peguam syarie hendaklah mengetahui Undang-Undang Keterangan Islam dan Kanun Jenayah Syariah yang diterima pakai di mahkamah syariah, selain mengetahui undang-undang berkaitan tugasan seharian dan memahami enakmen atau akta Keluarga Islam, Pentadbiran Agama Islam, Perlembagaan Malaysia, Kanun Tanah Negara, Akta KWSP dan undang-undang lain yang berkaitan.

Selain itu pengetahuan serta pemahaman berkaitan dengan Arahan Amalan Mahkamah Syariah yang dikeluarkan oleh JKSM juga perlu bagi memudahkan urusan pentadbiran serta pengamalan di mahkamah syariah lebih berkesan.

Mengetahui dan memahami undang-undang lain berkaitan arahan amalan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan di samping menyelesaikan permasalahan yang timbul lebih-lebih lagi dalam menyelesaikan permasalahan anak guam yang semakin kompleks hari ini.

Justeru, bagi melahirkan peguam syarie yang cemerlang hendaklah menyahut cabaran dengan mempertingkatkan ilmu pengetahuan terutama berkaitan perundangan syariah serta mendalami ilmu lain berkaitan tugasan mereka.

Ini adalah kerana peguam syarie mempunyai tugasan berat selain mendokong amanah anak guam, mereka bertanggungjawab membantu hakim di mahkamah menegakkan keadilan.

Selain itu, akhlak sebagai peguam syarie hendaklah dijaga dan dihayati supaya profesion ini lebih dihormati dan disegani bukan saja daripada aspek profesion tetapi nilai mulia yang ditampilkan mereka.

Hayatilah kisah Ka'b di mana Ka'b berjaya membantu Khalifah Umar memahami pengaduan seorang wanita mengenai suaminya yang gagal memberikan layanan wajib terhadapnya. Kisah Ibn Abbas membela seorang perempuan yang disabitkan kesalahan melakukan zina dan hendak direjam.

Dengan pembelaan itu, Khalifah Uthman membetulkan hukuman yang dijatuhkan dengan membebaskan perempuan berkenaan walaupun sebelum ini sudah berikrar di hadapannya bahawa dia melakukan zina.

No comments: