Al-Quran dan hadis banyak membicarakan mengenai kepemimpinan dalam Islam yang berkisar kepada hubungan antara pemimpin dan orang yang berada di bawah pimpinannya. Bagaimanapun, hubungan itu tidak terhad di dunia semata-mata, malah ia merentasi masa hingga ke akhirat.
Apa yang berlaku di akhirat kelak ialah betapa ramainya manusia yang menyesal lantaran pemimpin diikuti tidak mampu mempertanggungjawabkan kepemimpinannya di hadapan Allah SWT. Pemimpin yang tidak bertanggungjawab itu cuba berdolak dalih melepaskan diri mereka daripada belenggu berada di bawah pimpinan mereka.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) ketika ketua yang menjadi ikutan itu melepaskan diri daripada orang yang mengikutinya sedangkan kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa dan ketika terputusnya segala hubungan antara mereka, dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang yang menjadi pengikutnya: Alangkah eloknya kami dikembalikan semula ke dunia, maka (dengan itu dapat) kami melepaskan diri daripada mereka sebagaimana mereka melepaskan diri daripada kami (pada saat ini). Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amalan mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka dan mereka pula tidak dapat keluar dari neraka.” (Surah al-Baqarah, ayat 166 - 167)
Mengenai kepemimpinan ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Betapa tingginya kedudukan seorang pemimpin dalam Islam dan betapa beratnya tanggungjawab yang terpikul di bahu setiap Muslim kerana setiap tanggungjawab serta amanah itu akan disoal dan ditanya Allah SWT pada persidangan Mahsyar pada hari akhirat kelak.
Kualiti dan mutu pemimpin amat berkait rapat dengan kualiti dan mutu masyarakatnya. Dengan yang demikian, umat Islam wajar memerhatikan kebolehan, keilmuan, pengalaman dan keperibadian bakal pemimpin supaya tidak terbawa ke arah kehancuran.
Umat Islam wajib mengambil berat soal memilih pemimpin mereka. Jangan pula tersalah pilih. Kemungkinan besar perkara itu terjadi kerana mereka mempunyai persepsi kepemimpinan adalah hal keduniaan semata-mata dan tidak mempunyai hubungan dengan urusan ukhrawi.
Islam yang dibawa Rasulullah SAW lengkap dan menyeluruh dalam semua aspek kehidupan, termasuk soal kepemimpinan. Malah, hampir seluruh ayat al-Quran mendahului ungkapan kepemimpinan dengan memberi seruan kepada orang yang beriman.
Apakah acuan kepemimpinan yang dicorakkan Islam bagi melahirkan pemimpin bertanggungjawab? Allah SWT menjawab persoalan itu dengan perumpamaan dan perbandingan cukup indah untuk dihayati dan diselami.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan itu untuk manusia supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). Dan bandingan kalimah yang jahat, buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah terbongkas akar-akarnya daripada muka bumi, tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. Allah menetapkan (pendirian) orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya.” (Surah Ibrahim, ayat 24-27)
Perumpamaan itu menyingkap sebatang pohon yang baik akarnya bertunjang kukuh di bumi adalah nilai, dasar, pandangan hidup, kerangka acuan dan pandangan dunia serta tempat pijaknya tetap utuh di bawah ketentuan dan hidayah Allah SWT.
Dahannya menjulang tinggi ke langit adalah kemampuan dinamik menerima segala perubahan dan perkembangan berlaku di sekelilingnya. Buah segar pula melambangkan hasil dan natijahnya. Ia mampu memanfaatkan dan memberi faedah kepada manusia.
Akhirnya, ia mencerminkan segala usaha dan tindakan sama sekali tidak membuahkan hasil berkualiti tanpa panduan Ilahi dan hidayah-Nya yang suci.
Pohon yang tidak berguna pula tidak dapat memberikan sumbangan kepada alam sekelilingnya. Sudahlah akarnya yang tidak mampu bertahan mendepani pancaroba hidup, rantingnya yang kekeringan, dedaun dan buahnya pula tidak berupaya memberikan naungan atau perlindungan kepada yang memerlukan di samping tidak berupaya mengeluarkan hasil produktiviti yang menjamin kelangsungan makhluk Allah SWT di bumi. Akhirnya, pohon itu rebah ke bumi lantaran jauh daripada hidayah Allah SWT.
Pemimpin menurut acuan Islam mesti memiliki pembawaan dan keperibadian berteraskan Islam iaitu seseorang beriman kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya dalam segala tindak tanduknya. Inilah maksudnya pohon yang baik.
Selain itu, berkemampuan berdepan dengan segala bentuk perubahan dan tentangan yang bakal menguji kewibawaan serta keupayaannya menangani sebarang isu sebaik mungkin. Inilah erti dahan yang menjulang tinggi ke langit.
Pemimpin yang berjiwa Islam dan berwawasan jauh amat dituntut Islam dalam menerajui sebuah masyarakat, bangsa dan negara untuk memartabatkan kembali ketuanan Islam di bumi Allah ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment