Oleh Prof Madya Dr Abdul Rashid Ahmad
PERJALANAN hidup di dunia ini tidak selamanya tenang dan damai. Ia bagaikan seorang yang berada di tengah lautan, sekali sekala dipukul gelombang dan dilambung ombak. Demikian juga ketentuan Allah kepada alam ini.
Hidup kita tidak akan terlepas daripada keadaan yang sentiasa bertentangan, iaitu susah senang, sihat sakit, untung rugi, berjaya gagal dan seterusnya. Secara fitrahnya apabila menghadapi keadaan positif, ia tidak menimbulkan masalah. Tetapi jika berlaku sebaliknya seperti sakit, susah, gagal dan kerugian, di situlah kadang-kadang akan menjejaskan ketenangan jiwa.
Dalam konteks ini, orang mukmin dibekalkan kepercayaan yang boleh melahirkan kekuatan dalaman sehingga ia tidak akan menghakis ketenangan hidup dalam keadaan apapun. Kepercayaan itu ialah reda terhadap qada dan qadar Allah sebagai salah satu rukun iman yang keenam.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mendengar azan lalu dia berkata: Aku reda dengan Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, Nabi Muhammad sebagai Rasul-Nya, diampunkan Allah dosa-dosanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Yang dimaksudkan reda dengan Allah ialah reda kepada pentadbiran Allah terhadap hamba-Nya. Ia termasuk penyerahan diri sepenuhnya kepada-Nya, mengharapkan pertolongan semata-mata kepada-Nya, reda dan rela sepenuhnya terhadap apa yang dilakukan Allah kepadanya.
Reda mencakupi dua bentuk iaitu reda dengan apa yang diperintahkan Allah kepada kita dan kedua, reda dengan apa yang ditakdirkan Allah kepada kita. Berasaskan kepercayaan bahawa apa yang dikehendaki Allah pasti berlaku, dan apa yang tidak dikehendaki Allah tidak akan berlaku.
Maka, reda kepada Allah akan membuahkan kegembiraan dan ketenangan hidup kerana hidup ini tidak terlepas daripada ketentuan Allah. Namun, ia tidak menafikan doa kita kepada Allah kerana doa itu sendiri adalah ibadah.
Allah memuji hamba-Nya dalam firman yang bermaksud: “Dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas.” (Surah al-Anbiya’, ayat 90)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meminta kepada Allah, Allah memurkainya.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)
Oleh itu, orang yang reda terhadap Allah ialah yang tidak menentang takdir Allah. Reda dengan apa yang tidak disenangi oleh nafsu kita boleh berlaku dengan tiga faktor iaitu pertama seorang mukmin yakin pentadbiran Allah lebih baik daripada pentadbirannya.
Kedua, reda terhadap kesakitan yang dialami dengan harapan memperoleh pahala dan ketiga, reda dengan Allah bukan kerana mengharapkan pahala, bahkan kerana ia dilakukan oleh kekasihnya (Allah).
Rabeah al-Adawiah, seorang sufi wanita terkenal pernah ditanya: “Bilakah seseorang itu dinamakan reda? Jawabnya: Apabila dia gembira ketika ditimpa musibah, sebagai mana dia gembira ketika menerima nikmat.”
Ulama menjelaskan cara untuk mendapat keredaan terhadap qada dan qadar Allah adalah dengan sentiasa mengingati mati, kerana dengan mengingati mati akan menyebabkan mereka berasa kecil musibah yang dialami. Apabila kita sentiasa demikian, maka akan seronok dengan keredaan itu.
Sebagai seorang yang beriman kepada Allah, cukuplah kepercayaan kita kepada qada dan qadar ini menjadi kekuatan dalaman utuh dalam menghadapi seribu satu kemungkinan yang akan berlaku kepada kita dalam menjalani hidup ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment