Saturday, February 23, 2008

Penyertaan ulama tempatan di multaqa kena lebih menyerlah

Oleh Hasliza Hassan



MULTAQA Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 di Kuala Lumpur berakhir Isnin lalu menjadi landasan perbincangan serta percambahan idea daripada lulusan Universiti Al-Azhar Mesir yang terdiri daripada ulama dan cendikiawan.

Perhimpunan tiga hari lulusan Al-Azhar itu dilihat mencapai kejayaan dalam membangkitkan pelbagai isu membabitkan kepentingan umat Islam secara menyeluruh untuk mencari kata sepakat merencana agenda berkesan untuk pembangunan umat Islam seluruh dunia.

Multaqa bertemakan ‘Pendekatan Islam Hadhari di Antara Warisan dan Cabaran Semasa’, selain mengetengahkan pendekatan Islam Hadahri di Malaysia turut membincangkan mengenai masalah kemunduran umat Islam, sebab musabab serta kaedah terbaik memandu umat Islam ke arah kecemerlangan.

Bagi menghadapi cabaran masa kini, umat Islam perlu memberi penekanan kepada usaha menimba ilmu pengetahuan yang berkualiti untuk membina ketamadunan Islam tanpa meminggirkan tamadun dulu yang sepatutnya dijadikan panduan untuk terus maju ke depan.

Pendakwah dari Sarawak, Dr Juanda Jaya berharap apa dibincangkan pada multaqa kali ini terutama isu berhubung perkara berlaku di dunia antarabangsa tidak akan tinggal dalam alam retorik saja.

Sebaliknya, semua pihak perlu mencari penyelesaian terbaik dengan menganalisis keadaan semasa bagi memastikan wajah Islam laku di seluruh dunia dan berjaya membuktikan bahawa Islam adalah penyelesaian kepada masalah.

“Bagi saya, ia satu perjumpaan yang amat bermanfaat kerana kebanyakan pembentang kertas kerja memang terbabit secara langsung dengan keadaan di seluruh dunia Islam jadi mereka boleh memandu ke arah mencari penyelesaian terbaik kepada masalah yang melanda umat Islam sejagat.

“Sepatutnya penyertaan ulama tempatan lebih menyerlah kerana isu dibincangkan adalah isu antarabangsa yang turut memberi impak besar kepada isu setempat iaitu apa yang berlaku di Malaysia,” katanya.

Bekas Ketua Penolong Mufti Sarawak yang juga graduan lulusan Universiti Al-Azhar dalam jurusan Undang-Undang Islam itu berkata, masih ada lopongan yang boleh diperbaiki terutama dari segi isi kandungan kertas kerja supaya lebih fokus kepada isu semasa.

Katanya, bukan idea lama tidak baik tetapi perlu diperbaiki dengan memberi suntikan baru supaya apa juga tindakan akan dilaksanakan nanti benar-benar menepati kehendak serta keperluan semasa umat Islam.

Contohnya, pembentangan kertas kerja mengenai kesenian Islam membangkitkan soal hasil seni yang ada di Sepanyol dan Perancis sebenarnya adalah milik orang Islam tetapi disebabkan kaedah pemasaran menjadikan ia kelihatan seolah kesenian itu milik Barat.

Disebabkan itu, katanya, seni yang dihasilkan daripada roh Islam sudah tidak nampak walaupun hakikatnya ia berasal daripada kreativiti umat Islam.

Juanda berkata, alumni Al-Azhar terutama di Malaysia juga perlu bersikap proaktif supaya usaha lepasan Al-Azhar dapat digembleng bagi menghasilkan satu pemikiran yang baik dan dapat dikemukakan kepada kepemimpinan negara.

Beliau berkata, dengan cara itu pengaruh mereka akan lebih kuat kerana gabungan suara lebih ramai akan memberi impak besar berbanding suara individu tertentu dan lebih penting, kesannya dikongsi di seluruh dunia bukan saja di Malaysia.

“Perkara itu turut dibangkitkan wakil dari Tunisia yang mencadangkan supaya lepasan Al-Azhar menghantar sumbangan mereka kepada pihak universiti dan memberi cadangan pembaharuan yang perlu dilakukan di sana.

“Malangnya, agak menyedihkan kerana penyertaan daripada alumni tempatan kurang memberangsangkan. Sikap ini wajar diubah kerana lulusan Al-Azhar perlu sedar mereka memikul amanah menyebar risalah Al-Azhar di seluruh dunia,” katanya.

Multaqa Sedunia Alumni al-Azhar 2008 yang kali pertama diadakan di luar Mesir berlangsung bertujuan menyatupadukan graduan universiti al-Azhar yang berjaya pada peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur.

Selain mengeratkan hubungan, perjumpaan itu bagi membolehkan mereka berbincang serta mendapat pandangan berhubung isu semasa membabitkan umat Islam dalam usaha membina tamadun melihat kepada warisan Islam serta cabaran semasa.

Pensyarah al-Quran dan al-Qiraat di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Nazri Abdullah, berkata multaqa yang diadakan selama empat hari bermula 15 Februari berjaya menghimpunkan graduan keluaran Universiti Al-Azhar.

Beliau berkata, ia membuktikan pengaruh Al-Azhar masih kuat dan kepercayaan terhadap sistem pendidikan di sana terus menebal berdasarkan jumlah pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti itu yang sentiasa bertambah dari tahun ke tahun.

“Lulusan Al-Azhar sentiasa dipandang tinggi dan dari aspek pemilihan kakitangan, mereka lebih diutamakan berbanding graduan lulusan Jordan atau Indonesia. Malah, masyarakat berbangga dengan alumni Al-Azhar, umpamanya jika bujang memang hendak dijadikan menantu.

“Tetapi jika ada pendapat mengatakan barisan lulusan Al-Azhar yang baru gagal mempengaruhi masyarakat, ia mungkin disebabkan mereka kurang menonjol atau diketengahkan berbanding dengan graduan dulu yang terserlah ketokohan mereka yang terbabit dalam politik,” katanya.

Mohd Nazri berkata, sejajar dengan perkembangan hari ini, menjadi harapan beliau supaya Al-Azhar mengkaji semula peranan mereka melahirkan ulama dengan memberi nilai tambah kepada kurikulum pendidikan disediakan untuk pelajarnya.

Katanya, Al-Azhar sudah mempunyai asas betul serta kukuh dan hanya perlu menambah kurikulum dirasakan sesuai mengikut keperluan dunia hari ini seperti mencari ilmu yang dapat menangani cabaran globalisasi.

“Jika dulu ulama menyebarkan maklumat dalam bentuk menghasilkan buku tetapi hari ini mungkin perlu kepada pendekatan lain seperti menyebarkan risalah melalui internet. Maknanya, perlu ada ilmu baru dengan pendekatan pengajaran yang baru.

“Bukan kata ilmu lama tidak sesuai lagi, ilmu yang ada dikekalkan cuma diberi nilai tambah sesuai perkembangan dunia hari ini. Perkara ini patut dibincangkan Al-Azhar supaya ulama yang dilahirkan nanti adalah mereka yang benar-benar mampu menangani cabaran semasa,” katanya.

No comments: