Sokongan kerajaan, kawal selia berterusan mantapkan keberkesanan Ar-Rahnu
JUMLAH cawangan menawarkan perkhidmatan pajak gadai di seluruh Malaysia pada akhir 2000 ialah sebanyak 399 dengan nisbah satu pajak gadai bagi setiap lima cawangan bank perdagangan.
Jumlah pelanggan pula dianggarkan 1,015,200 orang, dengan purata 300 pelanggan setiap bulan dan purata pinjaman RM803 seorang. Kesimpulannya, pinjaman pajak gadai mempunyai peranan tersendiri dengan peratusan bilangan penduduk mendapat manfaat (penduduk Malaysia dianggarkan berjumlah 19 juta orang pada 1995).
Namun, kajian menunjukkan pajak gadai di setiap negeri dapat menawarkan kepada jumlah penduduk lebih ramai. Contohnya, setiap pajak gadai menawarkan perkhidmatan kepada 70,488 penduduk pada 1980, tetapi angka ini meningkat kepada 103,393 penduduk pada 2000.
Pajak gadai juga penting kepada penduduk Malaysia, terutama bagi golongan berpendapatan rendah (kurang daripada RM500) dan kurang berpendidikan (tingkat sekolah rendah). Golongan itu mempunyai risiko pinjaman yang tinggi menyebabkan mereka terpinggir daripada pasaran kewangan arus perdana.
Kajian oleh Ragayah (1986) menunjukkan bahawa suri rumah, pekerja swasta dan kakitangan sokongan kerajaan tidak layak meminjam daripada pasaran kewangan arus perdana seperti bank perdagangan dan syarikat kewangan.
Perkembangan terkini dengan kewujudan jongkong emas kijang mampu mengembangkan lagi peranan pajak gadai. Pelaburan aset termasuk emas perhiasan, jongkong emas kijang, perak dan platinum adalah pilihan portfolio pelaburan selain saham, bon, hartanah dan tunai yang boleh dipilih pelabur masa kini.
Malah, ahli strategi pelaburan berpendapat pelaburan yang berjaya perlu mengimbangi dan mempelbagaikan portfolio pelaburan. Mereka mencadangkan supaya pelabur memegang antara lima peratus hingga 15 peratus daripada portfolio dalam aset.
Faktor penyumbang dari segi kelebihan melabur dalam aset emas ialah harga yang lebih stabil berbanding saham atau stok, kurang bersifat jangka pendek. Contohnya, peristiwa pengeboman Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon di Amerika Syarikat menyebabkan kelembapan ekonomi dunia secara keseluruhan dan seterusnya menyebabkan pasaran saham Amerika Syarikat jatuh merudum.
Kesan sebaliknya berlaku terhadap harga emas yang didapati semakin kukuh. Harga emas semakin meningkat hingga mencapai kenaikan AS$20 satu aun dan turun naik dalam julat berkenaan. Sementara di pasaran emas London pula, harga emas antara tempoh 1989-1997 dianggap stabil dan turun naik harganya berlaku sekitar 30 per aun.
Oleh kerana pelaburan emas berjangka pendek, maka pelabur boleh mencairkan emasnya di pajak gadai. Ini bermaksud, pemilik jongkong emas kijang boleh menggadai emasnya apabila harga emas semasa lebih rendah berbanding harga dijangka. Keuntungan daripada sumber deposit mudharabah dan hasil perbezaan harga belian dan jualan akan diperoleh pemilik.
Pada 1999, jumlah emas diimport ialah RM3.4 bilion. Ini menunjukkan emas yang dipegang sebagai aset semakin bertambah.
Pajak gadai turut menjadi tumpuan saluran mikro kredit kepada penjaja, peniaga kecil serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Penjaja dan peniaga kecil cenderung menggunakan perkhidmatan pajak gadai.
Sebagai bukti, menurut Barjoyai (1999) skim pajak gadai membantu peniaga pasar dan peniaga kecil di Lembah Klang, Kuala Terengganu dan Kota Bahru mendapatkan tambahan modal. Begitu juga pembiayaan perniagaan bagi kebanyakan usahawan PKS.
Sistem pajak gadai dijangka mampu dijadikan alternatif kepada pinjaman bank dan Credit Guarantee Corporation (CGC). Dua persoalan dikemukakan Abd Ghafar dan Nor Zakiah (1997) berkaitan pengaplikasian skim pajak gadai kepada PKS, pertama, mampukah institusi kewangan memenuhi keperluan dana bagi PKS memandangkan pertumbuhan pesat bilangan PKS daripada 4393 pada 1988 kepada 17,483 pada 1996.
Kedua, bagaimana industri pajak gadai mampu menyediakan dana. Bagi menjawab persoalan itu berapa faktor digariskan antaranya, kos pengangkutan dan kos tempoh pemprosesan pinjaman; kemeruapan kadar faedah; kecenderungan tidak formal; kesan liberalisasi kewangan; tempoh masa; kerahsiaan pinjaman dan had waktu operasi sistem perbankan.
Berdasarkan ukuran dan perkembangan dibincangkan dalam bahagian tiga, jelas institusi pajak gadai di Malaysia mempunyai potensi besar dalam menjana ekonomi masyarakat dengan syarat kegiatan pajak gadai dieksploitasi sepenuhnya dan keberkesanan aktivitinya juga dipertingkatkan.
Namun begitu, usaha merancang dan membangun pajak gadai seharusnya dilaksanakan dengan mengambil kira bukan saja jumlah pinjaman dijana, tetapi juga mampu menjawab bagaimana isu kawal selia dapat memberi kesan kepada operasi dan perkembangan institusi pajak gadai.
Persoalan yang timbul, adakah pajak gadai perlu dikawal selia? Jika iya, apakah aktiviti yang harus dikawal selia? Siapakah yang harus mengawal selia operasi pajak gadai?
Akta Pajak Gadai 1972 umumnya mendefinisikan 'perniagaan pajak gadai' sebagai perniagaan yang memberikan pinjaman wang dengan menyerahkan 'barang berharga' sebagai cagaran. Wang dipinjamkan pula perlu diperoleh daripada dana awam.
Contohnya, geran kerajaan, sumbangan agensi kerajaan (seperti Majlis Agama Islam Negeri), pelabur individu dalam bentuk modal persendirian dan modal keluarga, saham koperasi atau pinjaman bank. Ini menimbulkan risiko kepada institusi yang menjalankan perniagaan itu.
Tambahan pula, lesen, perniagaan pajak gadai diperoleh daripada Majlis Tempatan dan Kementerian Kewangan (bagi kes kedai pajak gadai ditawarkan YaPEIM). Oleh itu, kuasa untuk mengawal perniagaan pajak gadai melalui pelesenan adalah landasan yang digunakan agensi berkenaan untuk mengawal selia perniagaan ini.
Aspek penting yang harus dipertimbangkan sama ada kedua-duanya mempunyai keupayaan dan sumber manusia untuk melaksanakan tugas itu. Oleh demikian, kos tambahan harus ditanggung Majlis Tempatan untuk menstruktur organisasi, mendapatkan kakitangan teknikal dan sumber manusia untuk memenuhi tatacara kawal selia serta keperluan melaporkan.
Selain itu, pengenalan garis panduan kawal selia dan piawaian peraturan adalah isu yang dapat dikaitkan dengan persoalan mengapa aktiviti pajak gadai harus dikawal selia, oleh siapa dan bentuk kawal selia. Namun, kedua-duanya boleh mengekang inovasi dan keluwesan akibat terbiasa dengan tanda niaga tidak formal.
Beberapa kesimpulan dapat dibuat iaitu perkembangan Ar-Rahnu (pajak gadai Islam) di Malaysia amat menggalakkan dengan bilangan cawangan Ar-Rahnu dan jumlah pinjaman semakin meningkat.
Kedua, sokongan dana kerajaan dan bantuan kepakaran Ar-Rahnu YaPEIM sebagai contoh, kepada cawangan baru Ar-Rahnu lain.
Namun begitu, usaha untuk mengembangkan Ar-Rahnu memerlukan cadangan lanjutan antaranya keperluan sumber manusia untuk operasi cawangan, kawal selia dan pengenalan beberapa bentuk peraturan untuk memantap kewujudannya.
Dalam bentuk kerjasama serantau pula, ini dapat dimanfaatkan Malaysia dari segi menyumbangkan kepakaran operasi, kawal selia dan mengembangkan aktiviti ke negara lain menerusi Sekretariat Ar-Rahnu Serantau yang diterajui YaPEIM membabitkan keanggotaan Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei Darussalam, Kemboja dan Timor Leste.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment