Oleh Hasliza Hassan
Al-AZHAR bersama ulamanya memainkan peranan besar mempertahankan Islam, memelihara akidah dan dasarnya daripada kempen jahat musuh yang membenci Islam sama ada dari luar atau dalam Islam sendiri.
Dr Said Abdullah Harib dari Universiti Emiriah Arab Bersatu berkata, Al-Azhar berperanan sebagai pemimpin yang menjadi panduan kepada umat Islam mengharungi perjalanan mengikut pendekatan Islam dengan mengukuhkan pegangan umat terhadap realiti kehidupan yang dilalui mereka.
Katanya, jalinan usaha antara Al-Azhar yang melahirkan ramai ulama dengan institusi dunia Islam menjadikan ia pintu masuk bagi sebuah kehidupan yang berdiri atas asas persefahaman, penyesuaian dan toleransi antara umat Islam serta bangsa lain di dunia.
"Al-Azhar terkenal sepanjang sejarahnya dengan dasar keterbukaan terhadap mazhab dan kumpulan yang pelbagai dalam Islam. Ia menjadikannya tempat rujukan serta titik pertemuan bagi segala perselisihan kerana adanya semangat persefahaman.
"Al-Azhar menentukan batu sempadan kepada hubungan yang betul di kalangan umat Islam dalam memelihara penyatuan saf Islam dan menjadikan perselisihan itu sebagai perselisihan kepelbagaian bukan perselisihan yang berlawanan," katanya.
Justeru, katanya, menjalinkan hubungan sesama manusia dalam kehidupan ini menjadi satu keperluan penting yang perlu dilakukan lulusan universiti itu menerusi jalinan hubungan antara alumni Al-Azhar di seluruh dunia.
Berdasarkan kertas kerja bertajuk 'Jalinan Hubungan di Antara Al-Azhar dan Alumninya' yang disediakan sempena Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008, Said menjelaskan kepentingan peranan kepemimpinan yang dimainkan Al-Azhar hingga membolehkan ia meraih penghormatan dan penghargaan daripada seluruh umat Islam, bahkan orang bukan Islam.
Beliau berkata, kedudukan itu tidak dikecapi institusi Islam lain iaitu sebagai sebuah institusi yang menghimpunkan aspek keagamaan, pendidikan, kemasyarakatan dan kemanusiaan hingga kedudukannya kukuh sepanjang zaman.
Katanya, adalah tanggungjawab alumni Al-Azhar yang secara automatik menjadi utusan Al-Azhar untuk menyebarkan dakwah dan risalahnya dengan menabur bakti kepada agama Allah, menyeru serta mengajar manusia ke arah kebaikan.
"Hampir semua negara Islam memiliki lepasan dari Universiti Al-Azhar. Sewajarnya mereka pulang ke negara masing-masing dan menabur bakti kepada agama serta negara dengan memegang jawatan penting dalam kepimpinan negara dan masyarakat," katanya.
Katanya, cabaran dihadapi umat Islam hari ini juga menuntut kepada satu kebangkitan baru tertegak atas asas Islam untuk membawa kepada kemajuan ilmu dan teknologi yang meletakkan mereka pada kedudukan tinggi.
Said berkata, semua itu hanya akan dapat dilaksanakan menerusi kerjasama daripada lepasan Al-Azhar yang sentiasa berhubungan sesama mereka dengan matlamat berkongsi usaha untuk menabur bakti kepada umat Islam.
Oleh itu, beliau menyarankan supaya Al-Azhar menjalinkan hubungan kukuh dengan alumninya dan mengenal pasti kedudukan, peranan dimainkan serta sumbangan diberikan kepada bangsa dan negara mereka.
Pada masa sama, katanya, kedua pihak perlu merangka pelbagai perancangan untuk terus menyokong perjalanan serta bekerjasama membangunkan universiti berkenaan menerusi penghantaran pelajar.
Bagi tujuan itu, pelbagai cara boleh digunakan untuk mendekatkan Al-Azhar dengan alumninya yang berada di seluruh dunia antaranya mendapatkan semua maklumat lepasan Al-Azhar melalui borang maklumat dan menubuhkan Persatuan Alumni Al-Azhar.
"Persatuan alumni ini menjadi saluran penting antara universiti dengan bekas pelajarnya. Banyak kita dapati contoh persatuan alumni universiti seperti Universiti Harvard di Amerika, Cambridge di Britain dan banyak lagi.
"Dengan adanya persatuan alumni ini mampu merealisasikan jalinan hubungan antara lepasan Al-Azhar seterusnya mengumpulkan usaha yang dilakukan di negara mereka atau pada peringkat antarabangsa," katanya.
Katanya, dengan adanya teknologi terkini, laman web boleh menjadi salah satu cara penting alat perhubungan masa kini terutama dari segi menjimatkan masa, tenaga dan memendekkan jarak yang jauh.
Begitu juga dengan Konvensyen Sedunia Alumni Al-Azhar yang dianjurkan dalam tempoh tertentu seperti setahun sekali atau dua tahun sekali dan ditentukan matlamat serta programnya supaya mencapai tujuan diharap yang dapat memberi faedah kepada semua.
Said berkata, perjumpaan itu hendaklah menghasilkan resolusi yang memberi sumbangan kepada perjalanan Al-Azhar menerusi perancangan rapi dengan ditetapkan objektif, cara pelaksanaan dan resolusi yang dijangkakan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment