Oleh Ibrahim Abdullah
FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Keduanya berkata, Ya Tuhan kami, kami telah menganiayai diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang yang merugi." (Surah al-A'raf, ayat 23)
Berani mengakui kesalahan diri sendiri adalah salah satu kredibiliti bagi seorang pemimpin, seperti tunjukkan Nabi Adam dalam ayat itu.
Pengakuan itu dilihat daripada ungkapannya kepada Allah SWT, 'kami telah menganiayai diri kami sendiri' ketika terjadi pelanggaran terhadap ketentuan dilakukan oleh Allah SWT untuk tidak menghampiri pohon terlarang (khuldi).
Untuk ukuran zaman sekarang, pengakuan seperti itu relevan kepada pemimpin tetapi berapa ramai di kalangan pemimpin yang berani mengakui kesalahan diri sendiri malah, menutupi kesalahan dilakukan mereka.
Cara pengakuan Nabi Adam AS didasarkan nilai keikhlasan. Adalah sangat menarik daripada kepimpinan Nabi Adam, di mana keadaan yang dihadapi tidak jauh berbeza dengan perkembangan politik hari ini.
Nabi Adam walaupun sudah direncanakan Allah SWT untuk menjadi khalifah di muka bumi, beliau tidak diserahkan jawatan itu begitu saja. Sebelum dilantik, Nabi Adam menjalani ujian tapisan menentukan sama ada beliau layak untuk jawatan itu atau tidak.
Sebelum menghadapi ujian, Nabi Adam terlebih dulu dibekalkan dengan ilmu pengetahuan sehingga hampir tidak ada yang tidak diketahuinya. Natijah dan hasil rakaman Nabi Adam terhadap ilmu itu ditandingkan semula dengan malaikat dan ternyata Baginda lulus ujian yang dimaksudkan.
Hal menakjubkan daripada peristiwa itu, Nabi Adam dapat mengalahkan reputasi malaikat sehingga mereka angkat tangan kepada Nabi Adam. Kejayaan Nabi Adam ini diangkat Allah SWT ke permukaan dengan menyuruh malaikat sujud kepadanya.
Demikian cara Allah SWT mengangkat Nabi Adam supaya jawatan yang akan diserahkan itu tidak mengundang protes daripada malaikat. Sebagaimana diceritakan, malaikat pernah melakukan protes mengenai kelayakan Nabi Adam untuk diangkat memangku jawatan khalifah itu.
Malaikat sujud kepada Nabi Adam kecuali iblis dengan alasan dirinya jauh lebih baik dan terhormat dibandingkan dengan Nabi Adam kerana Nabi Adam diciptakan daripada tanah sementara dirinya diciptakan daripada api.
Alasan iblis ditolak Allah SWT kerana faktor asal kejadian tidak relevan dengan jawatan atau jabatan khalifah. Dengan kata lain, faktor kejayaan dalam memimpin tidak ada kaitannya dengan asal kejadian kerana faktor ini hanya bersifat kebetulan dan pengaruhnya kosong.
Justeru, kepimpinan yang baik adalah kepimpinan yang dilandaskan oleh pengetahuan bukan kerana faktor asal kejadian. Sekali pun Nabi Adam lulus secara total dalam menghadapi ujian, namun jawatan khalifah tidak terus diberikan kepadanya.
Ujian berikutnya, Nabi Adam ditempatkan dalam syurga dengan arahan supaya tidak menghampiri pohon khuldi, bagaimanapun Nabi Adam melanggar perintah akibat termakan pujuk rayu iblis. Akibatnya, Nabi Adam dituduh Allah SWT sebagai makhluk yang derhaka dan sesat.
Menyedari kekeliruan itu, Nabi Adam menyatakan bahawa dia dan isterinya sudah menganiayai (menzalimi) diri mereka sendiri. Pengakuan menunjukkan Nabi Adam seorang yang berani mengakui kesalahan dilakukannya.
Pengakuan berani Nabi Adam menunjukkan Baginda bersedia menerima risiko atas perbuatannya dan keberanian mengakui kesalahan seperti dilakukan Nabi Adam adalah tindakan paling tepat bagi pemimpin,
Nabi Adam seorang yang sangat merendah diri. Pada hal kelemahan yang dimilikinya hanya sekelumit jika dibandingkan dengan kelebihannya. Akan tetapi, sebagai pemimpin bertanggungjawab, Baginda tidak pernah menunjukkan kelebihan sebaliknya mengakui akan kelemahan dirinya.
Ketokohan pemimpin juga dapat dilihat dari segi kemampuan memegang amanah dan menyampaikan nasihat kerana kedua sifat ini berkaitan dengan keadaan kehidupan masyarakat yang dipimpinnya.
Kemampuan memegang amanah ini dapat pula didasarkan melalui kejayaannya mengangkat taraf kehidupan rakyat. Kedua sifat ini hanya dapat dilaksanakan dengan baik apabila pemimpin mampu berkomunikasi dengan rakyat.
Melaksanakan amanah adalah cermin daripada kebersihan dan kesungguhan hati yang membentuk rasa tanggungjawab pemimpin kepada rakyat dan Allah SWT, manakala memberi nasihat lahir daripada fikiran yang cerdas memberi petunjuk untuk kebaikan semua.
Sifat amanah dan suka memberi nasihat menonjol pada kepemimpinan Nabi Saleh yang dijadikan acuan bagi pemimpin berikutnya. Kesungguhannya mendapat pujian dan sanjungan Allah SWT yang menyelamatkan Baginda serta pengikutnya daripada kehinaan serta kemurkaan.
Pujian dan sanjungan seperti diperoleh Nabi Saleh ini, tidak mustahil akan diterima pemimpin sekarang, selama amanah yang dilakukannya benar-benar memihak kepada kepentingan rakyat.
Sifat amanah dan menyampaikan nasihat mesti dilakukan sekali gus kerana keduanya saling berinteraksi. Pemimpin yang amanah tidak suka membazirkan wang rakyat dan negara sebaliknya memastikan rakyat mendapat manfaat sepenuhnya.
Perilaku kepimpinan Nabi Saleh menunjukkan bahawa seorang pemimpin pasti berhasil melakukan pembaharuan dalam masyarakat jika sifat amanah dipegang dengan teguh dan telus.
Berdasarkan ciri kepimpinan Nabi Saleh, dapat disimpulkan bahawa sifat amanah dimiliki pemimpin memudahkan mereka menyampaikan pesan nasihat kepada rakyat dan rakyat bersedia menerima nasihat diberi.
Sama halnya jika pemimpin beriya-iya untuk mencegah rasuah, tetapi dirinya terbabit dengan rasuah. Maka dapat dipastikan pesan yang disampaikannya tidak akan membawa perubahan serta menghilangkan kepercayaan rakyat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Pemberi rasuah dan penerima rasuah, kedua-duanya di dalam neraka." (Hadis Muttafaq 'Alaih)
Oleh itu, pemimpin hendaklah benar-benar menjaga dan melaksanakan amanah dengan baik serta sempurna untuk jangka masa yang panjang di dunia dan akhirat. Di samping itu, mereka perlu memberi nasihat untuk membawakan rakyatnya ke arah kebaikan, kesejahteraan dan keselamatan.
Mengenai amanah, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya. (Pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikul amanah itu. (Ingatlah) sesungguhnya (kebanyakan) manusia adalah suka melakukan kezaliman dan amat bodoh." (Surah al-Ahzab, ayat 72)
Ulama menegaskan, selepas langit, bumi dan gunung-ganang enggan menerima tawaran amanah daripada Allah SWT, lalu diterima oleh Nabi Adam untuk memikulnya. Ketika Adam mengangkat amanah sehingga sampai ke atas punggungnya dan terus dipikulnya di atas pundaknya kemudian hendak meletakkannya kembali.
Tiba-tiba terdengar panggilan dari sisi Allah SWT: "Wahai Adam, biarkan di atas pundakmu, jangan diletakkan kembali. Biarkan amanah ini tetap di atas pundakmu, dan pundak anak-anak cucumu hingga hari kiamat, dan kamu akan mendapat pahala memikulnya dan akan mendapat seksa apabila mensia-siakannya."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment