Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
HIDUP berkeluarga adalah fitrah setiap manusia yang dicipta Allah. Hidup berpasangan atau berkeluarga amat digalakkan Islam kerana pembentukan keluarga bukan sekadar memenuhi fitrah tabii manusia, tetapi juga mempunyai matlamat lebih penting iaitu untuk mendapat keredaan Allah.
Melalui institusi kekeluargaan setiap individu yang menjadi anggotanya akan dapat dibimbing dan dibantu antara satu sama lain dalam menunaikan tanggungjawab diamanahkan.
Kepentingan berkeluarga dititikberatkan oleh Islam sejak daripada awal kewujudan manusia malah, menjadi lebih penting apabila masyarakat hari ini diserang pelbagai keruntuhan sosial yang semakin membimbangkan.
Ini diburukkan lagi dengan kesibukan mengejar keuntungan material dan harta benda melebihi perhatian yang diberikan kepada keluarga. Keluarga yang bertakwa adalah keluarga yang mencontohi keperibadian dan akhlak ditunjukkan Rasulullah SAW.
Ini dibuktikan walau bagaimana sibuknya Baginda menjalankan tugas sebagai Rasul dan pemimpin negara, tanggungjawab terhadap keluarga tidak sekali-kali diabaikan.
Ciri-ciri keluarga yang bertakwa ialah:
Bertanggungjawab
Semua anggota keluarga mempunyai tanggungjawab sesuai dengan kedudukannya dalam keluarga. Suami, isteri, bapa, ibu atau anak mempunyai tanggungjawab antara satu sama lain. Suami atau bapa mempunyai tanggungjawab berat untuk menjaga dan membimbing ahli keluarga supaya sentiasa berada di jalan yang diredai Allah. Ini kerana, keluarga yang bahagia tertegak atas dasar amanah dan tanggungjawab suami atau bapa selaku ketua keluarga.
Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya terdiri daripada malaikat yang kasar dan keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mengerjakan apa yang diperintahkan." - (Surah at-Tahrim, ayat 6)
Amanah
Amanah dan jujur dalam setiap tindakan perlu bagi memastikan keluarga yang dibentuk terus kekal serta menikmati ketenangan dan kebahagiaan sepanjang masa. Ini dilakukan dengan memberikan iltizam atau komitmen berterusan serta ikhlas dalam menunaikan kewajipan kepada Allah selain memastikan hak setiap ahli keluarga turut dipenuhi.
Sebagai bapa atau ibu, kita perlu menanamkan rasa cinta terhadap agama iaitu kepada Allah dan Rasul-Nya dalam diri setiap ahli keluarga. Antara nilai amanah yang harus dipenuhi termasuklah mengambil berat mengenai solat untuk membina ketakwaan dan sahsiah yang baik.
Sembahyang juga berupaya menggalakkan seseorang itu melakukan kebaikan dan mengawal diri daripada melakukan keburukan.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada melakukan perkara yang jahat dan mungkar." - (Surah al-Ankabut, ayat 45)
Mempunyai kekuatan
Setiap ahli keluarga perlu memiliki kekuatan peribadi untuk sentiasa bersifat teguh dalam mengharungi segala bentuk cabaran dan dugaan yang bakal menimpa. Kekuatan peribadi dapat memperkukuhkan lagi ikatan kekeluargaan.
Ini dapat diterjemahkan melalui sikap tenang, sabar dan sentiasa bersyukur dalam menghadapi apa juga ujian serta dugaan. Ini termasuklah saling memohon dan memberi maaf sesama ahli keluarga serta sentiasa beristighfar (memohon ampun) kepada Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya dua tabiat yang dicintai oleh Allah adalah murah hati dan sabar."
Mempunyai wawasan
Sebagai bapa atau ibu, masing-masing perlu berbincang untuk menetapkan wawasan yang ingin dan mesti dicapai. Dengan wawasan yang jelas, sudah tentu perjalanan hidup dilalui akan lebih terarah dan dapat memandu keluarga mengorak langkah ke arah kejayaan bersama.
Bagi merealisasikan wawasan itu, setiap anggota keluarga perlulah dari semasa ke semasa bermuhasabah untuk melihat sama ada keluarganya berada di jalan yang betul, diredai Allah atau sebaliknya.
Berakhlak mulia
Ibu bapa dan anak perlu bekerjasama memupuk jati diri untuk menjadi insan yang jujur dan berpekerti mulia. Setiap anggota bertanggungjawab memelihara maruah diri dan keluarga seperti tidak terbabit dalam aktiviti tidak berfaedah atau pergaulan tidak sihat.
Usaha mengukuhkan institusi keluarga, anak juga perlu melaksanakan tanggungjawab mereka. Seperti seorang bapa selaku ketua keluarga bertanggungjawab mendirikan keluarga bertakwa, Islam juga menganjurkan supaya anak bertanggungjawab terhadap kedua ibu bapa.
Tidak dinafikan, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak terlalu besar hingga tidak dapat dibayar dengan wang ringgit dan harta benda yang melimpah ruah. Jasa mereka tidak akan mampu untuk dibalas.
Sebagai anak hendaklah kita mengenang jasa mereka, menjalankan kewajipan dan tanggungjawab dengan sempurna dengan mentaati ibu bapa selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Islam menegaskan, antara dosa besar yang akan ditanggung seseorang ialah perbuatan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Antara tanda penderhakaan ialah menyinggung perasaan mereka dengan perkataan bernada bengis, kasar dan kesat serta memandang diri sama kedudukan dengan mereka.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sembahlah Allah dan jangan menyengutukannya serta kepada kedua-dua ibu bapa hendaklah kamu berbuat baik." - (Surah an-Nisa', ayat 36)
Dalam soal ketaatan ini, Islam melebihkan ketaatan seseorang anak itu terhadap ibunya melebihi ketaatan kepada bapa. Ibulah yang terpaksa menanggung penderitaan ketika mengandung, melahirkan, menyusukan, mengurus segala keperluan serta mendidiknya.
Rasulullah SAW menceritakan melalui sabdanya yang bermaksud: "Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW seraya bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah yang lebih berhak untuk aku mempergaulinya dengan baik?" Jawabnya: "Ibumu." Ditanya lagi kemudian siapa pula? Jawab Rasulullah: "Ibumu." Kemudian siapa? Jawabnya, "Ibumu." "Kemudian siapa?" Rasulullah menjawab, "Ayahmu."
Anak juga bertanggungjawab menjaga ibu bapa apabila usia mereka sudah lanjut. Seorang anak tidak sepatutnya melupai jasa ibu bapa membesarkan mereka dan ibu bapa yang uzur mesti diberi perhatian dalam semua aspek kehidupan seperti makan, minum serta perbelanjaan harian mereka.
Apabila ibu bapa sudah meninggal dunia, anak hendaklah mendoakan mereka.
Kebaktian seorang anak tidak terhenti apabila ibu bapa mereka meninggal dunia. Kebaktian ini dapat diteruskan dengan memberi sedekah dan membaca al-Quran serta mendoakan supaya mereka diampunkan Allah dan ditempatkan di kalangan orang yang dikasihi-Nya.
Institusi keluarga adalah institusi penerus yang bertanggungjawab melahirkan generasi selanjutnya menerajui tugas sebagai khalifah di muka bumi ini. Kejayaan atau kegagalan rumah tangga secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pembentukan negara. Kesejahteraan negara hanya akan tercapai jika setiap keluarga dapat melahirkan generasi yang berwibawa.
INTI PATI
Semua anggota keluarga ada tanggungjawab sesuai dengan kedudukannya dalam keluarga. Suami, isteri, bapa, ibu atau anak mempunyai tanggungjawab antara satu sama lain.
Amanah dan jujur dalam setiap tindakan perlu bagi memastikan keluarga yang dibentuk terus kekal serta menikmati ketenangan dan kebahagiaan sepanjang masa.
Setiap ahli keluarga perlu memiliki kekuatan peribadi untuk sentiasa bersifat teguh dalam mengharungi segala bentuk cabaran dan dugaan yang bakal menimpa.
Setiap ahli keluarga perlu memiliki kekuatan peribadi untuk sentiasa bersifat teguh dalam mengharungi segala bentuk cabaran dan dugaan yang bakal menimpa.
Ibu bapa dan anak perlu bekerjasama memupuk jati diri untuk menjadi insan yang jujur dan berpekerti mulia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment