Oleh Masmawi Abdullah
WANITA masa kini sudah mencapai kejayaan memberangsangkan dalam pendidikan. Realitinya yang tidak boleh dinafikan, ada yang lebih berjaya daripada lelaki dalam bidang diceburi dan pencapaian itu mendorong lebih ramai wanita turut serta dalam pekerjaan.
Malah, ada yang terbabit dalam bidang yang sebelum ini dikuasai lelaki lantaran kebolehan dimiliki untuk berhadapan pelbagai cabaran di sektor swasta, mahu pun kerajaan.
Mereka juga mampu menjawat jawatan tinggi atau berpangkat melebihi lelaki. Ini menyebabkan masa mereka lebih banyak di luar rumah demi menguruskan tugas serta tanggungjawab bidang pekerjaan.
Dalam konteks ini, Islam tidak melarang atau menghalang, malah membenarkan wanita bekerja di luar rumah dengan syarat pekerjaan itu mestilah pekerjaan yang baik lagi halal, diredai Allah serta mendapat ganjaran baik.
Firman Allah bermaksud: "Sesiapa beramal salih daripada lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan." (Suruh an-Nahl, ayat 97)
Sejarah Islam membuktikan bagaimana peranan wanita yang turut serta dalam pekerjaan di luar rumahnya berjaya membantu ke arah kecemerlangan Islam, malah orang yang pertama gugur syahid dalam Islam juga daripada kalangan wanita iaitu Saiyidah Sumayyah.
Pembantu Rasulullah SAW iaitu Laila al-Ghafariyah turut membantu Rasulullah SAW dalam peperangan dengan merawat tentera Islam yang cedera sakit.
Dalam bidang perniagaan pula, isteri Rasulullah SAW, Khadijah Khuwailid dengan beraninya menerokai bidang itu hingga menjadi saudagar kaya dan dikenali sebagai 'Tahirah' yang bermaksud suci disebabkan beliau amat memelihara diri, kehormatan serta sifat peribadinya sebagai seorang wanita.
Saidatina Aisyah Abu Bakar, isteri Rasulullah SAW adalah wanita contoh dalam bidang pendidikan. Beliau mempunyai ilmu yang luas dalam bidang fiqh, kemasyarakatan dan politik. Beliau menjadi pakar rujuk ilmu hadis, seorang pemidato dan sasterawan. Urwah ibni al Zubir menyifatkan Aisyah wanita paling alim dalam ilmu al-Quran, fiqh, syair dan hadis.
Isteri Harun al Rasyid, Sayidah Zubaidah, adalah seorang pahlawan Islam dan puteri dari Bani Nasyim. Beliau mempunyai kedudukan tinggi ketika hayatnya kerana dengan arahannya penduduk Makkah dapat menikmati air minum bersih daripada mata air terkenal iaitu mata air Zubaidah.
Beliau juga memerintah supaya dibina semula bandar Iskandariah yang musnah dihancurkan tentera Bizantiyum. Saiyidah Zubaidah terkenal dengan penulisan ayat yang baik serta mempunyai pendapat bernas dalam bidang politik dan pentadbiran.
Dalam bidang perubatan, kitab Tahaqat al Atibba karya Ibni Abi Usaybiah, menyebut Zainab sebagai doktor dalam bidang perubatan mata, manakala seorang lagi bernama Ummul Hassan binti al-Qadi Abi Jaafar Atangali sebagai doktor pakar dalam pelbagai bidang perubatan sementara dua anak perempuannya juga doktor pakar dalam bidang sakit puan.
Sebenarnya ramai wanita sejak daripada dulu terbabit dalam kerja di luar rumah dan mereka berjaya apabila dapat menghadapi segala cabaran yang datang, di samping menjaga akhlak serta sifat sebagai wanita muslim.
Ada banyak cabaran kepada wanita yang bekerja di luar rumah antaranya untuk menyesuaikan dan mengatur masa menunaikan tanggungjawab isteri, ibu di rumah dan pada masa sama berperanan sebagai pekerja atau majikan di luar rumah.
Tugas utama wanita adalah sebagai isteri, ibu dan pendidik kepada anaknya. Oleh itu, apabila wanita bekerja, dia perlu menyesuaikan diri dengan suasana di mana dia perlu menyelesaikan kerja rumah sebelum memberi tumpuan kepada tugas pejabat.
Wanita yang bekerjaya tidak digalakkan membawa beban tugas atau masalah pejabat ke rumah kerana dikhuatiri akan menyebabkan hilang tumpuan kepada rumah tangga hingga anak terabai dan tidak terurus.
Prof Dr Miqdad Yaljan pernah menyatakan, kita pada adatnya menganggap suri rumah sepenuh masa adalah wanita yang tidak bekerja, sedangkan hakikatnya suri rumah adalah tugas kemasyarakatan, ekonomi, pendidikan dan psikologi.
Beberapa negara maju membayar gaji kepada suri rumah yang bekerja sebagai suri rumah sepenuh masa. Dr Miqdad turut menjangkakan suatu masa nanti, wanita berada antara dua persimpangan untuk memilih antara kerjaya atau keluarga.
Beliau percaya wanita pada masa itu akan memilih anak dan duduk di rumah untuk mendidik mereka. Oleh itu, kita perlu ada kesungguhan dalam menilai dan menghargai peranan wanita serta memahami perasaan, jiwa dan kerohanian yang ada pada setiap wanita.
Syeikh Muhamad al-Ghazali berpendapat, jika ada 100,000 guru, tidak ada halangan bagi wanita menjadi sebahagian daripada bilangan itu, tetapi yang penting dalam masyarakat ialah pelaksanaan akhlak dan tingkah laku yang baik selaras dengan syariat.
Dalam hal itu, perkara utama perlu dipelihara setiap individu wanita yang bekerja di luar rumah ialah kehormatan diri dan ketakwaan kepada Allah. Walau dalam apa juga keadaan, setiap wanita jangan terlalu ghairah mencari persamaan dengan lelaki hingga membelakangkan ajaran Islam.
Pada masa sama, wanita bekerja tidak boleh mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Sesungguhnya alangkah bahagia wanita yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan serta kebahagiaan suami, anak, keluarga, masyarakat dan negara.
INTI PATI
Islam tidak melarang atau menghalang, malah membenarkan wanita bekerja di luar rumah dengan syarat pekerjaan itu mesti pekerjaan halal, diredai Allah serta mendapat ganjaran baik.
Sejarah Islam membuktikan bagaimana peranan wanita yang turut serta dalam pekerjaan di luar rumahnya berjaya membantu ke arah kecemerlangan Islam.
Apabila wanita bekerja, dia perlu menyesuaikan diri dengan suasana di mana dia perlu menyelesaikan kerja rumah sebelum memberi tumpuan kepada tugas pejabat.
Setiap individu wanita yang bekerja di luar rumah perlu menjaga kehormatan diri dan ketakwaan kepada Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment