Sunday, February 3, 2008

Ulul Albab: Wakaf menjana ekonomi berorientasi akhirat

Oleh Abdurrahman Haqqi

Ganjaran berterusan capai impian dalam zahirkan pengabdian kepada Tuhan walaupun sudah mati

SEORANG hamba Allah seperti dilaporkan AFP Khamis lalu mewakafkan hartanya sebanyak AS$123 juta kepada kerajaan Bangladesh. Harta itu adalah sumbangan terbesar individu yang pernah diterima kerajaan negara berkenaan setakat ini. Harta itu diwakafkan untuk keperluan mangsa bencana alam yang baru-baru ini melanda Bangladesh termasuk membangunkan perkampungan baru dan mendirikan 500 sekolah.

Paling murni, hamba Allah berkenaan tidak mahu namanya disebut seperti ajaran Nabi yang menekankan jika tangan kanan bersedekah, tangan kiri pun tidak mengetahuinya.

Bermula esok dan untuk selama tiga hari, penulis akan menghadiri Dubai International Conference on the Investment of Endowment yang dianjurkan Awqaf and Minor Foundation milik kerajaan Emiriah Arab Bersatu di Dubai. Antara objektifnya ialah mencari format untuk menubuhkan institusi wakaf antarabangsa bagi kepentingan umat Islam global. Kesemua pembentang kertas kerja termasuk penulis mendapat undangan daripada penganjur.

Dalam persidangan itu tidak banyak dibincangkan mengenai hukum hakam berkaitan wakaf termasuk hukum melaburkan harta wakaf kerana permasalahan itu sudah selesai dibincangkan ulama semasa dengan mengambil kira pandangan ulama terdahulu. Persidangan itu difokuskan kepada strategi antarabangsa bagaimana harta wakaf yang besar nilainya yang dimiliki umat Islam kaya boleh dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk mensejahterakan umat Islam menerusi bidang ekonomi.

Ulama Islam hakikatnya tahu bahawa antara hikmah di sebalik wakaf adalah membuka ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan cara mengalirkan harta di jalan-Nya. Sebagai balasan pewakaf beroleh ganjaran pahala. Tiada amalan yang paling disukai seorang mukmin selain amalan yang boleh mendekatkan dirinya dengan Allah dan menjadikan dirinya dikasihi Allah.

Wakaf menjadi impian seorang mukmin tercapai. Ia kerana dengan amalan wakaf seorang Muslim berpeluang menzahirkan pengabdian dan cintanya kepada Allah. Sesungguhnya perasaan cintakan Allah hanya dapat dizahirkan melalui amalan dan pelaksanaan. Allah berfirman maksudnya: "Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kebaikan (yang sempurna) sehingga kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi." (Surah Ali 'Imran: 92)

Wakaf juga dapat menunaikan impian seorang mukmin untuk melihat kebajikannya sentiasa berterusan walaupun selepas kematiannya, dan ganjaran pahala sentiasa diperolehnya ketika dalam kubur walaupun dia tidak boleh beramal di dunia. Ketika itu harapannya hanyalah kepada harta yang diwakafkan kerana Allah ketika masih hidup. Ataupun ia menjadi sebab kepada wujudnya anak yang salih atau ilmu yang boleh dimanfaatkan.

Melalui wakaf akan tercapai kepentingan Islam. Sekiranya harta wakaf ini diuruskan dengan baik ia boleh menjadi aset yang baik untuk mencapai kepentingan masyarakat Islam seperti membina masjid, sekolah, menghidupkan ilmu, syiar Islam seperti azan, kepimpinan Islam dan sebagainya.

Akhirnya, wakaf dapat memenuhi keperluan fakir miskin, anak yatim dan ibnu sabil yang tidak dapat mencari rezeki kerana keadaan tertentu. Harta wakaf ini boleh memenuhi keperluan dan mengurangkan kesengsaraan mereka. (Lihat Kitab Fikah Mazhab Syafei, V/1002-03)

Amalan wakaf menjadi budaya di kalangan sahabat Rasulullah sehingga Jabir ra pernah berkata: "Tidak ada seorang pun di kalangan sahabat yang berkemampuan tetapi tidak mewakafkan hartanya." Perbuatan sahabat ini menunjukkan kepada kita bagaimana mereka sangat mengerti dalam mengamalkan ajaran Islam yang berkaitan dengan harta di mana ia adalah titipan Allah yang mesti dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Bekas Syeikh al-Azhar, Syeikh Mahmud Syaltut dalam bukunya al-Islam: Aqidah wa Syari'ah menulis: "Menyedari bahawa faedah yang lahir daripada harta itu akan merangkumi semua pihak dalam masyarakat, dan harta itu pula dapat memenuhi keperluan masyarakat seperti yang kami sebutkan, maka Allah SWT menyandarkan harta itu supaya diambil perhatian mengenai betapa pentingnya harta itu dan kadangkala kepada diri-Nya sendiri.

Allah juga menjadikan pemilik harta itu sebagai wakil Allah untuk menjaga dan membelanjakannya mengikut cara yang digariskan Allah untuk mereka melalui firman-Nya bermaksud: "Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikan-Nya yang mana kamu menguasainya sebagai wakil.." (Surah al-Hadid: 7)

Kadangkala Allah SWT menyandarkan perkataan harta itu kepada masyarakat, dan dengan sandaran itu Allah menjadikan harta sebagai milik masyarakat. Allah berfirman maksudnya: "Dan janganlah kamu maka (atau mengambil) harta (orang lain dalam masyarakat) di antara sesama kamu dengan cara yang salah." (Surah al-Baqarah: 188) (Hal. 272)

Dalam bukunya yang lain bertajuk Manhaj al-Qurani fi Bina al-Mujtama (Metod Islam dalam Mendirikan Masyarakat), Syeikh Syaltut mengatakan: "Apabila harta itu adalah harta Allah dan seluruh umat manusia itu adalah hamba Allah, maka kehidupan yang menjadi arena pekerjaan umat manusia itu bekerja dengan menggunakan harta Allah ialah juga kerana (mencari keredaan) Allah. Maka dengan sendirinya harta itu walaupun dikaitkan dengan nama individu tertentu tetapi untuk seluruh hamba Allah yang sama-sama dijaga dan dipelihara serta diambil manfaatnya oleh semua orang. Allah SWT memberikan panduan mengenai masalah ini melalui firman-Nya bermaksud: "Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi." (Surah al-Baqarah: 29) (hal. 97)

Syeikh Muhammad Abu Zahrah ketika menyampaikan kuliah mengenai harta dan kepemilikan dalam Islam menerusi bukunya Beberapa Kajian Mengenai Ilmu Fiqh berkata: "Islam membawa suatu sistem sendiri, yang bukan bercorak terlalu individualistik dan bukan juga kolektif mengikut kedua-dua makna yang terdahulu (iaitu sistem kapitalis dan sistem komunis) juga bukan berdekatan di antara salah satunya dan tidak juga pertengahan di antara kedua-dua sistem itu. Malah, ia mempunyai pemikiran sosial yang khusus, yang berasas kepada prinsip bahawa semua hak milik itu adalah kepunyaan Allah. Semua hak itu ditetap dan diatur oleh Allah, dan Allah memberikan kepada setiap individu itu hak mereka masing-masing dan juga kepada masyarakat itu haknya sendiri. Allah juga menentukan bahawa individu untuk masyarakat dan masyarakat itu untuk individu. Hal ini digambarkan dengan jelas dan terang sekali dalam sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Perbandingan dan perumpamaan orang beriman itu dari segi sikap kasih sayang dan hubungan silaturahim mereka adalah bagai sebuah tubuh manusia, apabila sesuatu anggota itu berasa sakit, maka seluruh tubuh itu akan ikut juga menderita demam dan tak dapat tidur." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selama semua hak itu adalah daripada dan kepunyaan Allah, maka hak itu sentiasa mendidik setiap individu supaya berkhidmat untuk masyarakat, dan Islam mengamalkan dasar memberi hak khusus (untuk individu) sambil memelihara hak umum (masyarakat). Dengan itu, Islam memberikan hak milik khusus, tetapi dibatasinya dengan hak itu dan menetapkan garis sempadannya yang tidak boleh diingkari." (Hal. 30)

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, minggu lalu menegaskan bahawa ekonomi Malaysia kukuh. Ia membuktikan bahawa jentera kerajaannya berjalan secara benar demi memakmurkan negara.

Dalam kepelbagaian cara mengukuhkan ekonomi negara yang berterusan satu projek berkaitan pelaburan wakaf dirancang oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhah). Menyedari keperluan terhadap hotel dalam sektor pelancongan yang boleh secara tidak langsung meningkatkan pendapatan negara menerusi industri itu Jawhah turut memainkan peranan dengan menceburi industri perhotelan apabila bercadang membina tiga hotel wakaf pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Ketua Pengarah Jawhah yang juga akan menjadi seorang daripada pembentang kertas kerja dalam persidangan Dubai, Dr Mohd Sohaimi Mohd Salleh, seperti dilaporkan akhbar tempatan Rabu lalu menyatakan bahawa projek pertama pembinaan hotel itu akan dijalankan di Kuala Terengganu membabitkan kos sebanyak RM20 juta. Katanya, hotel bertaraf tiga bintang itu turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Yayasan Wakaf Kebangsaan (YWK). Projek itu akan dilaksanakan tidak lama lagi dan pembinaannya dilakukan di tanah wakaf. Selain Terengganu, hotel seperti itu akan dibina di Melaka, Negeri Sembilan dan Perak.

Projek pelaburan wakaf itu diharapkan menjadi pemangkin dalam menjana peluang pekerjaan di kalangan umat Islam di negeri terbabit, sekali gus menambah pendapatan negara menerusi sektor berkenaan. Tanah itu bukan saja dikhaskan untuk pembinaan surau, masjid atau tanah perkuburan tetapi bagi tujuan lain demi pembangunan ummah.

Kita kembali ke hamba Allah yang mewakafkan AS$123 juta di Bangladesh di permulaan tulisan ini dan kita kaitkannya dengan hikmah di sebalik wakaf maka hamba Allah itu dengan amalan wakafnya akan menjadi dekat dengan Allah; mencapai impiannya dalam menzahirkan pengabdian dan cintanya kepada Allah; ganjaran akan berterusan walaupun dia meninggal dunia; kepentingan Islam tercapai; dan memenuhi keperluan fakir miskin, anak yatim dan ibnu sabil. Dan kelima-lima perkara ini tidak diajarkan bahkan dibahas dalam sistem ekonomi kapitalis dan komunis yang dikatakan dua sistem yang ampuh dalam membangun dan mensejahterakan negara.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Apabila seorang manusia mati segala amalannya akan terputus kecuali daripada tiga sumber; sedekah jariah atau ilmu yang boleh dimanfaatkan atau anak salih yang mendoakannya. (Hadis riwayat Muslim) Sedekah jariah dalam hadis ini menurut ulama ditakrifkan sebagai wakaf.

No comments: