Oleh Nik Mustapha Nik Hassan
Pendekatan syura, semangat keadilan antara ciri capai matlamat organisasi
PENGURUSAN adalah satu daya usaha menyusun sesebuah organisasi untuk mencapai matlamat tertentu. Usaha itu mampu memperoleh mutu pencapaian yang tinggi jika pemimpin memiliki wawasan, menggariskan matlamat dan arah panduan sekali gus berkemampuan menterjemah wawasan kepada program serta kegiatan yang membolehkan matlamat dan objektif tercapai.
Kemampuan itu memerlukan pemimpin organisasi mempunyai daya cipta dan kebolehan yang tinggi. Daya cipta dalam pengurusan adalah kemampuan mencipta pendekatan baru yang lebih berkesan dalam pengurusan sesebuah organisasi.
Sementara daya pembaharuan adalah daya usaha berterusan meningkat mutu pengurusan daripada cara sedia ada. Pertanggungjawaban pemimpin mengurus sesebuah organisasi untuk mencapai kejayaan cemerlang mengikut Islam adalah suatu amanah yang penting.
Kecapaian itu mampu diperoleh jika pemimpin dilantik daripada individu yang berkebolehan dan berwibawa. Dalam konteks negara, salah satu faktor utama yang akan menjayakan wawasan negara pada abad 21 ialah mencapai mutu kualiti pengurusan tinggi di semua sektor, termasuk awam dan swasta.
Kejayaan itu seharusnya wujud pada kesemua peringkat sektor berkenaan supaya hasil daripada pengurusan bermutu dan berkualiti akan membuahkan pencapaian kemajuan setiap organisasi dalam semua perkara. Keseluruhan kejayaan memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.
Mengikut Dasar Pensyarikatan Malaysia, kepentingan kualiti pengurusan bukan hanya sekadar meningkat prestasi sektor awam dan swasta secara berasingan tetapi kedua-dua sektor harus mencapai keharmonian supaya saling bantu-membantu kerana mereka memerlukan antara satu sama lain untuk memajukan negara.
Usaha penyusunan negara perlu peka bahawa prestasi organisasi yang berkesan akan dapat dijayakan melalui peningkatan kualiti pengurusan bagi sektor awam dan swasta, dan kemampuan mereka berperanan secara berpasukan menjayakan matlamat negara.
Jika hanya satu sektor berjaya meningkat mutu pengurusan dan yang satu gagal mencapai kualiti pengurusan tinggi, matlamat negara mencapai status negara maju tidak akan berhasil kerana walaupun dalam bidang berlainan, mereka tetap memerlukan antara satu sama lain.
Kejayaan negara maju jelas dibuktikan oleh kualiti pengurusan kedua-dua organisasi mereka yang bermutu. Mereka mampu menghasilkan barang dan perkhidmatan dengan kualiti tinggi mengatasi pengeluaran negara lain.
Dalam era globalisasi, kualiti barang dan perkhidmatan hasil daripada mutu pengurusan organisasi adalah penentu kepada kejayaan kerana keadaan persaingan antara masyarakat dan negara makin bertambah sengit dalam suasana semasa.
Islam diutus Allah untuk menyusun kehidupan manusia pada peringkat individu dan masyarakat semoga mencapai kemakmuran, kecemerlangan hidup di dunia dan seterusnya di akhirat. Penumpuan kepada usaha mendidik individu dan menyusun masyarakat pada peringkat awal bertujuan melahirkan individu berguna dan mengatur sistem hidup masyarakat supaya berfungsi dengan baik dan sekali gus mengurangkan segala bentuk permasalahan.
Penyelesaian Islam bukan timbul akibat daripada sesuatu permasalahan yang dihadapi manusia, tetapi Allah mengarahkan umat manusia pada awal lagi supaya dididik dan menyusun aktiviti kehidupan menepati fitrah kemanusiaan.
Natijah daripada proses penyusunan yang baik ini memerlukan kepada suatu sistem pengurusan diri, keluarga, organisasi dan negara yang mantap demi membawa kepada wujudnya sebuah tamadun mulia.
Bagi usaha ke arah mewujudkan penyusunan organisasi menepati Islam, ia memerlukan kepada satu pendekatan yang sesuai dan praktikal. Islam tidak mengesyorkan semua bentuk, kaedah dan kegiatan organisasi yang sedang diamal dihapuskan, melainkan kegiatan itu jelas bertentangan dengan falsafah Islam.
Islam hanya mengutarakan garis panduan dan mengambil kira suasana serta budaya persekitaran. Dalam menyusun pengurusan, manusia yang menganggotai sesebuah organisasi hendaklah diberi keutamaan.
Manusia pada fitrahnya memiliki sifat makhluk individu dan masyarakat. Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam semua usaha, memahami hakikat ini sangatlah perlu. Sifat makhluk individu menonjolkan bahawa setiap individu berkeinginan menjaga kepentingan diri.
Pendekatan Islam mengemukakan usaha dan tindakan yang mengharmonikan kepentingan individu dan tanggungjawab individu ke arah pencapaian kebajikan warga serta matlamat organisasi pada keseluruhannya.
Untuk menjayakan keharmonian pada peringkat individu, Islam mengutamakan penghayatan akhlak semoga sahsiah individu dapat dibentuk dengan memiliki sikap (boleh dipengaruhi oleh pandangan hidup) yang luhur dan mengamal perilaku mulia.
Usaha itu perlu kepada pendidikan yang dapat membantu kefahaman dan menjalani latihan kerohanian semoga tindak tanduk negatif dapat dikurangkan. Akhlak dan perilaku individu sepatutnya mengarah kepada tanggungjawab individu menghayati nilai dan semangat luhur dalam semua urusan pengendalian organisasi.
Pendidikan akhlak dengan itu dapat membentuk sikap yang mulia serta berpandangan progresif. Memahami keadaan suasana semasa, setempat dan antarabangsa turut juga adalah keperluan yang penting.
Justeru, menguasai ilmu masyarakat, ekonomi, politik dan kebudayaan turut dianggap penting. Sesebuah organisasi berperanan dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu, untuk sesebuah organisasi dapat berperanan dengan berkesan suasana setempat sangat penting.
Di samping itu, Islam turut memberi penumpuan kepada peningkatan daya kemahiran dan kepakaran individu pekerja dalam sesebuah organisasi. Organisasi mesti menganggap pekerja sebagai sumber terpenting dan sanggup melabur kepada peningkatan kepakaran mereka.
Individu yang hendak dibangun mesti memiliki ketiga-tiga ciri iaitu sikap yang murni, memahami suasana dan budaya masyarakat serta daya kepakaran tinggi pada peringkat tahap pekerjaan masing-masing.
Tanpa ketiga-tiga ciri itu, kejayaan sesebuah organisasi akan berada pada tahap yang rendah. Bahkan hanya memiliki salah satu dari ciri itu tidak mungkin membawa kepada kejayaan yang membanggakan.
Sifat mementing diri adalah daya penggerak yang akan dapat memberi sumbangan berkesan kepada kemajuan sesebuah organisasi jika itu dapat dididik dan diletak pada tempatnya. Tanpa sifat itu tidak mungkin manusia akan berusaha dengan gigih demi mencapai kejayaan diri.
Dalam sistem penyusunan organisasi, ruang untuk individu berperanan serta membuat keputusan perlulah diperluaskan. Corak membuat keputusan dalam organisasi dengan itu akan diturunkan ke bahagian dan unit tertentu mengikut keperluan dan bidang tugas yang sesuai.
Semangat kerja berpasukan dapat melaksanakan pendekatan syura atau perbincangan dalam menangani sesuatu tugas dan di samping itu dapat mengurang kerenah pekerja dalam menjalani tugas organisasi.
Hasil menerajui pengurusan mengikut pendekatan semangat keadilan akan dapat diterapkan dalam pengurusan organisasi. Pelaksanaan roh keadilan akan memperkukuhkan suasana dan budaya muafakat dalam segala bentuk urusan tugas serta tanggungjawab.
Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment